Miskin Bandar Terjejas Teruk Ketika PKP, Hilang 1/3 Pendapatan

Share it

Minggu lalu, UNICEF dan UNFPA ( United Nations Populations Fund ) telah mengeluarkan laporan bertajuk Families on The Edge bagi mengetahui kesan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) terhadap penghuni PPR di Kuala Lumpur.

Antara dapatan utama kajian ini adalah kejatuhan ketara pendapatan isi rumah akibat PKP dimana pendapatan penengah ketua isi rumah jatuh 1/3 dari RM1,500 pada Disember 2019 kepada RM1,000 pada Jun 2020.

Isi rumah dengan wanita sebagai ketua keluarga antara yang paling terkesan dengan PKP apabila pendapatan mereka jatuh dari RM1,000 sebulan kepada RM675 sebulan dalam tempoh yang sama.

Dapatan kajian turut menunjukkan bahawa tempoh bekerja mereka berkurang 31% ketika PKP. Hal ini sekaligus memberi tekanan kewangan kepada keluarga ini dalam memperoleh wang belanja yang mencukupi bagi meneruskan kehidupan.

Tekanan kewangan yang dialami oleh isi rumah di PPR ini boleh dilihat dari pengambilan makanan mereka. Sebagai contoh, banyak isi rumah meningkatkan pengambilan telur sebagai sumber protein kerana kos yang lebih rendah. Pengambilan mi segera juga meningkat 40% dalam kalangan mereka bagi menjimatkan perbelanjaan.

Kajian ini juga menunjukkan terdapat tekanan emosi yang dialami oleh ketua isi rumah ketika PKP. Sekitar 66% isi rumah menyatakan merasai tekanan emosi ketika PKP dan dalam kalangan ketua isi rumah wanita, jumlahnya lebih parah pada kadar 80%.

Dapatan dari laporan ini turut menunjukkan bahawa dakwaan seperti orang miskin ramai anak adalah mitos semata-mata. Lebih kurang 65% keluarga di PPR hanya mempunyai anak diantara satu hingga dua orang manakala keluarga yang mempunyai 5 anak atau lebih hanyalah 5%. Purata anak di dalam isi rumah disini juga hanyalah 2.2 orang anak.

Laporan UNICEF & UNFPA ini merupakan antara laporan terawal di Malaysia yang mendedahkan kesan Covid-19 terhadap golongan yang paling terdedah dengan kejutan ekonomi. Pihak penyelidik telah pergi ke 15 PPR di sekitar Kuala Lumpur untuk mengambil maklumat bagi menyiapkan laporan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.