Isu Veveonah : Realiti di Pitas, Daerah Termiskin di Malaysia
Beberapa minggu lalu, seorang gadis bernama Veveonah Mosibin telah memuatnaik sebuah video yang menarik perhatian ramai sehingga ke luar negara. Pelajar Universiti Malaysia Sabah ini berkongsi pengalamannya mengambil peperiksaan dari atas pokok di Sabah kerana liputan internet yang terhad di rumahnya.
Setelah sekian lama, Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin telah mengeluarkan kenyataan di Dewan Negara yang mengatakan Veveonah berkongsikan video tersebut untuk mendapat perhatian di Youtube dan cuba mengelirukan orang ramai.
Kenyataan tersebut dikecam majoriti pengguna internet di Malaysia sekaligus menyebabkan Timbalan Menteri berkenaan memohon maaf atas kesilapan kenyataannya di Dewan Negara. Beliau kemudiannya menjelaskan bahawa beliau menerima maklumat berkenaan dari Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri.
Ini menyebabkan Datuk Abdul Rahim Bakri menulis sebuah hantaran di Facebook yang turut mempunyai nada yang serupa seperti kenyataan awal Timbalan Menteri KKMM dimana tindakan Veveonah dianggap sebagai cubaan menarik perhatian serta ingin mengelirukan orang ramai. Isu yang berpanjangan ini mengakibatkan kemarahan ramai anak muda terutamanya di media sosial yang menganggap ia sebagai serangan peribadi terhadap Veveonah.

Pihak Ekonomi Rakyat menyemak perangkaan rasmi mengenai Pitas, daerah yang didiami oleh anak muda Veveonah ini. Daerah Pitas terletak di utara Sabah dimana perjalanan dari Kota Kinabalu mengambil masa lebih kurang tiga jam.
Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Pitas merupakan daerah yang paling miskin di Malaysia mengikut pendapatan penengah isi rumah yang terkini. Pendapatan penengah isi rumah di Pitas hanya RM1,999 sebulan pada tahun 2019. Angka ini agak mengejutkan kerana pendapatan isi rumah di daerah ini jatuh berbanding tahun 2016.
Pada tahun 2016, pendapatan penengah di Pitas adalah RM2,105, namun jatuh 5% pada tahun 2019 kepada RM1,999. Dari sudut pendapatan purata, Pitas kedua tercorot selepas Tongod dengan pendapatan purata RM3,378 sebulan manakala daerah Tongod RM3,364.
Pitas juga mempunyai kadar kemiskinan kedua tertinggi di Sabah dengan insiden kemiskinan sebanyak 53.6%. Jurang antara miskin dan kaya yang diukur menggunakan pekali Gini turut menunjukkan jurang yang lebar di daerah ini. Pekali Gini di Pitas adalah setinggi 0.458 iaitu lebih tinggi dari Sabah yang merekodkan pekali Gini sebanyak 0.402.
Dalam kata lain, isu yang disuarakan oleh Veveonah bukanlah suatu kisah rekaan tetapi merupakan realiti sebenar yang dihadapi oleh penduduk Pitas. Angka-angka yang dikongsikan diatas bukanlah dari data-data peribadi tetapi dari data rasmi kerajaan sendiri.
Wakil rakyat sepatutnya mengambil maklum dan cuba untuk menyelesaikan masalah yang diutarakan dan bukannya cuba untuk memperlekehkan aduan dan permasalahan yang disuarakan oleh rakyat. Liputan internet harus dilihat sebagai sebuah hak yang perlu disediakan kepada rakyat oleh kerajaan, sama penting seperti elektrik dan bekalan air bersih.