Bagaimana Menguruskan Subsidi Bersasar Supaya Tidak Tersasar?

Share it

Subsidi telah menjadi sebuah topik hangat di negara ini sejak sekian lamanya. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa subsidi yang diberikan secara universal dan berterusan berisiko mendatangkan pelbagai keburukan kepada negara, industri dan juga alam sekitar.

Kebiasaannya, pemberian subsidi menelan kos yang sangat besar, terutamanya subsidi bahan api yang dipengaruhi oleh turun naik harga pasaran global. Pada tahun 2022, Kerajaan membelanjakan RM45.2 bilion untuk subsidi bahan api yang terdiri daripada RON95 (RM23.1 bilion), diesel (RM18.7 bilion) dan LPG (RM3.4 bilion). 

Kos Subsidi Bahan Api melonjak kepada RM45.2 bilion

Kos subsidi bahan api untuk tahun 2022 adalah 350.8% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya (2021: RM10.0 bilion). Perang Rusia-Ukraine yang tercetus pada awal tahun 2022 telah melonjakkan harga minyak mentah global. Akibatnya, Kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk menampung kenaikan harga minyak yang mendadak untuk memastikan rakyat dapat membelinya dengan harga yang murah menerusi subsidi.

Kos Subsidi Bahan Api yang Tinggi Mengehadkan Peruntukan untuk Perbelanjaan Sosial yang Lain 

Perbelanjaan subsidi bahan api yang menelan kos berbilion-bilion ringgit telah menyempitkan ruang fiskal negara. Ia menyebabkan peruntukan untuk perbelanjaan-perbelanjaan sosial yang lebih produktif dan pro-golongan miskin menjadi semakin terhad. Sebagai contoh, perbelanjaan-perbelanjaan untuk program perlindungan sosial, kesihatan dan pendidikan yang mendatangkan manfaat lebih besar kepada rakyat tidak memperoleh dana yang secukupnya kerana sebahagian besar daripada perbelanjaan Kerajaan telah digunakan untuk subsidi.

Kos Subsidi Bahan Api lebih tinggi berbanding peruntukan perbelanjaan Kementerian Kesihatan Malaysia

Sebagai perbandingan, Kerajaan membelanjakan sebanyak RM33.0 bilion untuk Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun 2022, meliputi kedua-dua perbelanjaan pembangunan (DE) dan perbelanjaan mengurus (OE). Apa yang dibelanjakan untuk sektor kesihatan negara adalah lebih kecil daripada perbelanjaan subsidi bahan api sebanyak RM45.2 bilion pada tahun yang sama.

Kenapa Subsidi Bahan Api Lebih Menguntungkan Golongan Kaya?

Pada asalnya, pemberian subsidi bahan api merupakan satu kaedah untuk Kerajaan berkongsi limpahan hasil bumi bersama rakyat, terutamanya dalam kalangan negara-negara pengeluar minyak. Namun, apa yang sering berlaku ialah manfaat daripada pemberian subsidi ini kebiasaannya tidak dapat dirasai dengan saksama oleh semua pihak. 

Walaupun pemberian subsidi bahan api terbukti mampu menstabilkan tekanan inflasi, manfaat yang dirasai sebenarnya adalah lebih condong ke arah menguntungkan golongan berpendapatan tinggi, berbanding dengan golongan berpendapatan rendah. Ini kerana golongan berpendapatan tinggi kebiasaannya menggunakan lebih banyak petrol kerana mereka lebih cenderung menggunakan kereta sebagai medium pengangkutan utama, berbanding golongan berpendapatan rendah, yang rata-ratanya hanya menggunakan motosikal.

Memetik kenyataan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, daripada keseluruhan subsidi bahan api yang diberikan Kerajaan, golongan B40 hanya menggunakan sebanyak 24% sahaja. Manakala golongan T20 pula menggunakan sebanyak 35%.

Secara purata, golongan T20 jimat RM196 sebulan melalui subsidi petrol RON95

Menurut kajian oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, secara puratanya, golongan T20 membelanjakan RM399 bagi petrol RON95 dalam sebulan, 64% lebih tinggi berbanding golongan B40 (RM243). Golongan T20 juga mampu jimat sehingga RM196 sebulan hasil daripada subsidi yang dinikmati. Penjimatan tersebut adalah yang terbesar jika dibandingkan dengan kumpulan B40 (RM119) dan M40 (RM156). 

Ketika ini, terdapat kira-kira 3.2 juta isi rumah yang dikategorikan sebagai B40. Bagi golongan T20 pula, jumlah isi rumah ialah sebanyak 1.6 juta. Meskipun jumlah mereka tidak ramai berbanding isi rumah B40, mereka menggunakan lebih banyak subsidi bahan api.

Subsidi Bahan Api Menggalakkan Penyeludupan dan Pembaziran

Di samping kesan terhadap kedudukan fiskal negara, pemberian subsidi bahan api secara berterusan juga menggalakkan berlakunya kegiatan penyeludupan haram ke negara-negara jiran. Perbezaan harga yang wujud mendorong segelintir individu tidak bertanggungjawab untuk menjual bahan api bersubsidi ini ke negara-negara jiran bagi mengaut keuntungan. 

Boleh dikatakan hampir setiap minggu pasti terpampang berita-berita pembongkaran aktiviti penyeludupan diesel di sempadan-sempadan negara. Kesemuanya ini mendatangkan pembaziran yang amat besar terhadap wang pembayar cukai dan Kerajaan. Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Kerajaan menanggung kerugian RM4.5 juta sehari akibat ketirisan diesel.

Semenjak Kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun lalu, jualan diesel harian di stesen-stesen minyak di kawasan sempadan negara dilaporkan telah turun antara 40% hingga 50%, seperti yang dilaporkan dalam media. Penurunan tersebut menandakan bahawa aktiviti penyeludupan diesel selama ini wujud dengan sangat rancak.

Selain penyeludupan, subsidi bahan api juga menggalakkan penggunaan sumber tenaga tidak boleh diperbaharui secara berlebihan, lantas berisiko mengurangkan sumber tersebut untuk kegunaan generasi masa akan datang. Dengan adanya subsidi bahan api, akan lebih banyak kenderaan di atas jalan raya dan seterusnya meningkatkan kesesakan trafik, pencemaran alam sekitar, kadar kemalangan jalan raya dan sebagainya. Pelaburan dalam aktiviti R&D bagi meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui dalam kalangan industri juga mungkin akan berkurang kerana wujudnya subsidi bahan api sepanjang masa.

Walaupun telah ditunjukkan pelbagai kesan negatif, namun disebabkan ramai yang menikmati manfaatnya, reformasi subsidi sering menjadi sebuah topik kontroversi. Misalnya, langkah Kerajaan membuat pengapungan harga dan penyasaran subsidi diesel baru-baru ini turut tidak terkecuali daripada menerima kritikan hebat daripada sesetengah ahli politik dan rakyat. 

Antara hujah yang dibangkitkan ialah mereka bimbang penyasaran subsidi ini akan meningkatkan kos kepada perniagaan dan seterusnya membawa kepada kenaikan harga barangan di pasaran. Akibatnya, rakyat terpaksa menanggung bebanan kos sara hidup yang lebih tinggi.

Apa yang Diperlukan Untuk Memastikan Kejayaan Reformasi Subsidi? 

Di sebalik matlamat-matlamat murni yang ingin dicapai, pelaksanaan reformasi subsidi bahan api perlu diuruskan dengan efektif. Ia agar kesan negatifnya dapat dikurangkan, terutamanya kepada golongan yang mudah terjejas.

Kegagalan dalam menguruskan kesan-kesan negatif yang mungkin timbul akibat reformasi subsidi, terutamanya membabitkan aspek tekanan inflasi dan kos sara hidup, hanyalah akan membawa kepada ketegangan sosial dan kejutan terhadap pasaran serta rakyat, terutamanya golongan miskin. Lebih membimbangkan, reformasi subsidi yang dilaksanakan mungkin dapat bertahan ‘sekerat jalan’ sahaja, lantas menggagalkan usaha ke arah memperbaiki kedudukan fiskal negara.

Kajian Kes Reformasi Subsidi

Antara langkah terbaik untuk memastikan kejayaan agenda reformasi subsidi di Malaysia ialah dengan mempelajari daripada pengalaman-pengalaman negara lain. Laporan IMF bertajuk Energy Subsidy Reform: Lessons and Implications yang diterbitkan pada tahun 2013 menampilkan case study terhadap 28 usaha reformasi subsidi tenaga yang pernah dijalankan di 22 buah negara.

Secara keseluruhannya, daripada 28 reformasi subsidi tersebut, hampir separuh (12) dikategorikan sebagai berjaya. Selebihnya 11 lagi adalah separa berjaya, manakala hanya lima sahaja yang benar-benar gagal sepenuhnya. Negara-negara yang berjaya melaksanakan reformasi subsidi melaporkan kesan-kesan positif terhadap ekonomi, kedudukan fiskal kerajaan serta alam sekitar.

Reformasi subsidi tersebut dianggap ‘berjaya’ jika pelaksanaannya berjaya mengurangkan perbelanjaan subsidi dengan konsisten. Ia dikategorikan sebagai ‘separa berjaya’ jika negara tersebut mampu mengurangkan perbelanjaan subsidi untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun, sebelum subsidi dikembalikan semula. Manakala, reformasi subsidi ‘gagal’ jika langkah-langkah reformasi subsidi ditarik semula sejurus selepas agenda reformasi tersebut dimulakan.

Secara rumusannya, IMF mengenal pasti empat isu utama yang sering menyebabkan usaha reformasi subsidi menemui kegagalan. Pertama, ketiadaan maklumat yang jelas bagi menilai kesan penarikan subsidi terhadap rakyat dan inflasi. Kedua, kekurangan kredibiliti dan kapasiti Kerajaan untuk melaksanakan reformasi subsidi dengan efektif. Ketiga, bangkangan daripada pihak-pihak yang menerima subsidi. Keempat, tahap ekonomi yang lemah.

Bagi mengatasi kekangan-kekangan ini, IMF menekankan beberapa langkah yang perlu dilakukan agar usaha reformasi subsidi lebih efisien. Pertama, reformasi subsidi perlu dilaksanakan secara berperingkat dan menyeluruh dengan objektif jangka panjang yang jelas. Golongan berpendapatan rendah juga harus diberikan bantuan kewangan yang mencukupi supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan penarikan subsidi.

IMF turut menyarankan agar Kerajaan mengamalkan komunikasi yang telus mengenai kos dan manfaat yang bakal diperolehi daripada reformasi subsidi yang dilakukan. Langkah ini penting dalam mengelakkan kekeliruan serta membantu meredakan persepsi negatif yang timbul akibat pelaksanaan reformasi subsidi. 

Sebagai contoh, antara yang dilakukan oleh Kerajaan Filipina dalam menjayakan reformasi subsidi bahan api sekitar hujung 1990-an ialah dengan mengadakan jelajah roadshow ke seluruh negara. Roadshow tersebut digunakan oleh Kerajaan Filipina sebagai platform untuk menerangkan kepada rakyat mengenai keburukan-keburukan sekiranya Kerajaan masih meneruskan pemberian subsidi petroleum.

Formula 4C Bank Dunia dalam memastikan Reformasi Subsidi berjaya

Selain IMF, Bank Dunia turut menekankan formula 4C bagi memastikan kejayaan reformasi subsidi, iaitu Credible commitment (komitmen yang berkredibiliti oleh Kerajaan dalam menjayakan reformasi subsidi); Consensus and Coordination (penyelarasan program sosial Kerajaan untuk terus menyokong kesejahteraan rakyat); serta Communications (komunikasi yang jelas dan terbuka).

Communication is The Key

Jika diperhatikan, kedua-dua badan antarabangsa ini menekankan betapa pentingnya komunikasi Kerajaan yang telus sebagai kunci utama dalam menjayakan reformasi subsidi. Oleh sebab itu, Kerajaan haruslah bersikap lebih jujur dalam menerangkan pros dan cons daripada pelaksanaan reformasi subsidi ini, terutamanya membabitkan soal kenaikan harga barang dan tekanan kos sara hidup.

Di dalam laporan tersebut, IMF turut mengakui bahawa pelaksanaan reformasi subsidi di peringkat awal akan menyebabkan kenaikan harga. Namun, sekiranya polisi-polisi ekonomi yang dilaksanakan adalah tepat, ia lambat-laun akan mampu menstabilkan tekanan inflasi tersebut. Antara polisi yang perlu ditekankan ialah dengan memperkukuhkan sistem jaringan keselamatan sosial agar kelangsungan hidup rakyat dapat dilindungi, terutamanya golongan miskin.

Dalam masa yang sama, Kerajaan juga harus merancang dengan lebih strategik mengenai apa yang mahu dilakukan dengan wang yang diperolehi hasil penjimatan subsidi yang dilakukan. Ini penting supaya Kerajaan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan polisi yang sama seperti sebelum ini. 

Sebagai contoh, beberapa minggu yang lepas Kerajaan telah mengumumkan penurunan harga telur sebanyak tiga sen sebiji untuk telur gred A, B dan C. Langkah ini disebut sebagai salah satu usaha Kerajaan memulangkan semula hasil penjimatan subsidi kepada rakyat. Namun begitu, sejauh manakah langkah ini efektif dalam membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan. Hal ini kerana pengurangan harga yang diumumkan adalah begitu sedikit untuk rakyat merasai kesannya dengan bermakna. 

Pemberian subsidi telur yang diberikan secara universal sebegini juga masih bersifat regresif dan dijangka hanya akan memberi kesan positif yang minimal kepada rakyat. Andai kata, sebuah keluarga membeli satu papan telur gred A untuk dimakan dalam tempoh sebulan. Harga baru telur gred A yang diumumkan ialah 42 sen sebiji. Ini bererti penjimatan yang diperolehi oleh keluarga tersebut hanyalah sebanyak 90 sen sebulan, atau bersamaan RM10.80 setahun.

Pelaksanaan polisi sebegini juga masih merupakan satu bentuk campur tangan Kerajaan yang mengganggu pasaran. Perkara ini pernah ditegur oleh Bank Dunia sebelum ini menerusi laporannya yang turut mendedahkan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai polisi kawalan harga yang paling banyak di rantau ini. Polisi-polisi kawalan harga ini pada akhrinya menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan di pasaran dan menggalakkan aktiviti penyeludupan.

Apa yang lebih baik untuk dilakukan ialah dengan menggunakan wang hasil penjimatan subsidi tersebut untuk menaikkan jumlah bantuan kepada golongan yang memerlukan. Langkah ini boleh meningkatkan pendapatan dan kemampuan mereka untuk berbelanja, yang mana seterusnya akan merancakkan lagi ekonomi. Langkah ini adalah lebih efektif berbanding campur tangan Kerajaan secara langsung yang mengganggu pasaran. 

Satu lagi sebab mengapa Kerajaan perlu mempunyai perancangan yang jelas ialah untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat. Jika diimbas beberapa tahun yang lalu, langkah reformasi subsidi bahan api pernah dilakukan pada tahun 2014 ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Justifikasi pelaksanaan reformasi subsidi pada ketika itu adalah sama seperti sekarang ini, iaitu untuk memperbaiki kedudukan fiskal negara, mengurangkan ketirisan subsidi dan sebagainya. Namun, beberapa tahun kemudiannya, negara dikejutkan dengan skandal penyelewengan 1MDB yang menyebabkan negara menanggung kerugian berbilion ringgit.

Akhir sekali, punca-punca ketirisan hasil Kerajaan juga perlu dikenal pasti dengan lebih jujur agar pelaksanaan subsidi bersasar adalah lebih efektif. Misalnya, perbuatan semata-mata menyalahkan warga asing sebagai punca ketirisan subsidi adalah sebuah tindakan short-cut dan prejudis. Sedangkan dalam masa yang sama, golongan kaya di negara ini terus menerus diberikan pelbagai insentif dan rebat ketika membuat pembelian kenderaan elektrik (EV), yang mana menyebabkan kerajaan terlepas peluang untuk mengutip cukai dan meningkatkan hasil negara.