JDT Belanja Hampir RM120 Juta Setahun

Share it

Bola sepak boleh dikatakan sebagai sukan paling popular di Malaysia sejak dulu sehinggalah kini. Popularitinya mengatasi sukan-sukan lain seperti badminton, ragbi dan hoki, meskipun pada kebanyakan masanya sukan-sukan tersebut memiliki pencapaian di peringkat antarabangsa yang lebih baik berbanding bola sepak.

Era 1970-an sehingga 1980-an merupakan antara tempoh yang paling gemilang buat sukan bola sepak negara. Antara pencapaian yang paling dikenang sudah semestinya apabila dua kali Malaysia layak ke Olimpik dalam acara bola sepak secara merit, iaitu pada edisi Olimpik 1972 di Munich dan Olimpik 1980 di Moscow.

Aksi memukau yang ditonjolkan oleh legenda-legenda bola sepak tanah air seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh dan Soh Chin Aun di atas padang terus menggamit memori dan nostalgia dalam kalangan rakyat, lantas memperkukuhkan lagi populariti sukan bola sepak di Malaysia sampailah ke hari ini.

Walau bagaimanapun, prestasi skuad bola sepak kebangsaan mula merosot memasuki tahun 1990-an. Keadaan ini dapat dilihat apabila ranking FIFA bagi skuad bola sepak kebangsaan telah jatuh merudum sebanyak 43 anak tangga antara Ogos 1993 (75) dan Jun 1999 (118). Setakat kemaskini terakhir pada 18 Julai 2024, Malaysia kini berada di ranking ke-134 dunia. Kali terakhir Malaysia berada dalam kelompok 100 pasukan negara terbaik dunia ialah pada 27 tahun yang lepas.

Malah, saingan liga tempatan pada sekitar pertengahan tahun 1990-an turut dicemari dengan insiden hitam membabitkan pengaturan perlawanan (match-fixing) yang dilakukan oleh bookie. Gejala rasuah yang berleluasa pada ketika itu telah menyebabkan ada antara pemain dan jurulatih digantung seumur hidup oleh Lembaga Disiplin FAM. 

Masa bersilih ganti menyaksikan banyak penambahbaikan yang telah dilaksanakan bagi memperbaiki mutu skuad bola sepak kebangsaan. Ia termasuklah dengan penubuhan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) pada tahun 2014 bagi membangunkan bakat baharu sukan bola sepak. Program naturalisasi juga telah diperkenalkan dengan memberi peluang kepada pemain-pemain luar yang berbakat untuk menyarung jersi kebangsaan. Pelaksanaan liga tempatan juga telah ditambah baik dengan adanya badan pengurusan seperti Malaysian Football League (MFL) yang berganding bahu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam menguruskan liga secara lebih efektif dan profesional. 

Namun, di sebalik usaha-usaha ini, liga bola sepak profesional di Malaysia pada hari ini terus dihantui oleh pelbagai isu, terutamanya membabitkan soal kemampanan kewangan yang membelenggu kebanyakan kelab, sehingga menyebabkan berlakunya masalah tunggakan gaji pemain.

Berbelanja Melebihi Kemampuan

Menurut Shazwan Wong, seorang jurulatih bola sepak, keadaan ini berlaku disebabkan sesetengah kelab bola sepak di Malaysia cenderung untuk berbelanja melebihi kemampuan mereka. Ia termasuklah dengan membeli pemain-pemain import yang menelan belanja besar kepada kelab, ujar beliau dalam episod podcast sulung “Saja Nak Tanya” Ekonomi Rakyat yang dihoskan oleh Farah Hanis dan Anis Nabilah. 

Menurut Shazwan, sikap ini yang ditambah pula dengan ketiadaan model perniagaan yang jelas, telah menyebabkan kelab-kelab bola sepak ini sukar untuk menguruskan perbelanjaan dengan baik dan menjana pendapatan yang mencukupi untuk meneruskan operasi. Keadaan ini berterusan berlaku sehinggalah pada akhirnya kebanyakan kelab ini terperangkap dalam hutang yang besar dan tidak lagi mampu membayar gaji pemain.

“Terlebih belanja. Saya rasa sekarang ini mungkin ada pasukan yang mempunyai pendapatan RM1 juta atau RM2 juta setahun, tetapi memilih untuk membelanjakan RM15 juta. Ini tidak akan berfungsi. Wang itu mungkin cukup untuk membayar gaji selama dua bulan sahaja dan selepas itu sudah habis. Itulah sebabnya ada (kelab) yang tiga bulan tidak bayar gaji, empat bulan tidak bayar gaji.”  – Shazwan Wong

Pandangan yang sama turut disokong oleh wartawan sukan, Haresh Deol. Menurut beliau, perkara ini tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan kelab bola sepak ini menerima peruntukan yang besar daripada kerajaan negeri masing-masing. Sebahagian daripada peruntukan tersebut datangnya daripada wang pembayar cukai dan rakyat, kata Haresh yang juga merupakan pengasas bersama produksi media TwentyTwo13.

“Terlalu banyak kebergantungan kepada duit kerajaan negeri. Sekarang persoalannya adalah duit kerajaan negeri itu adalah duit pembayar cukai. Kamu, saya, kita semua pembayar cukai… Apa kepentingan yang kita ada? Apa suara yang kita ada kita dalam hal ini?” – Haresh Deol

Misalnya, pada tahun 2021, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menerima peruntukan sebanyak RM20 juta daripada kerajaan negeri Selangor. Di sebelah utara, Kedah Darul Aman (KDA FC) menerusi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) juga menerima sejumlah RM16 juta daripada kerajaan negeri.

Kebergantungan yang tinggi terhadap duit kerajaan negeri atuapun syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri mungkin tidak mendatangkan masalah buat negeri-negeri yang mempunyai hasil dan pendapatan yang kukuh. Namun, lain pula ceritanya untuk kelab-kelab bola sepak yang datang daripada negeri-negeri yang mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Haresh turut memberi contoh Kelantan FA (KAFA) yang cukup gah suatu ketika dahulu mendominasi saingan liga tempatan sekitar era 2010 hingga 2013. KAFA yang pada ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Annuar Musa selaku Presiden telah merekodkan prestasi cemerlang selepas meraih kejuaraan demi kejuaraan. Pasukan yang turut dikenali sebagai The Red Warriors ini berjaya melengkapkan treble dengan memenangi Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA pada tahun 2012. 

Namun, apa yang berlaku selepas itu menyaksikan kelab daripada Pantai Timur ini gagal untuk meneruskan kecemerlangannya apabila dibelenggu dengan masalah kewangan kelab, tunggakan gaji pemain, kualiti pengurusan kelab yang lemah dan pelbagai isu lain. Kelab tersebut kini digantung daripada menyertai saingan liga musim baharu 2024/2025 selepas gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan, berikutan isu tunggakan gaji pemain yang dihadapinya.

“Selepas itu, apa yang berlaku? Jika anda melakukan sesuatu yang besar, seharusnya ada kesinambungan, betul? Masalahnya adalah kita selalu melihat pada situasi yang ada pada masa itu, tetapi tiada perancangan untuk kemampanan. Dan anda tanya orang, bukan sahaja jika anda seorang jurulatih, tetapi sebagai seorang ahli perniagaan, tanya Shazwan, betapa pentingnya untuk anda mempunyai pelan kemampanan. Kerana anda tidak boleh fikir tentang hari ini dan esok sahaja. Anda kena fikir tentang minggu depan, tahun depan, lima tahun yang akan datang. Jadi saya tidak nampak perbincangan tersebut berlaku.”  – Haresh Deol 

Tiada Masalah Untuk Berhutang, Namun Perlu Diimbangi Dengan Sumber Pendapatan yang Stabil

Haresh dan Shazwan turut menjelaskan bahawa isu keberhutangan kelab-kelab bola sepak ini sebenarnya bukanlah sebuah masalah yang hanya berlaku di Malaysia. Bahkan, ada sesetengah kelab ternama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) turut memiliki hutang yang besar. Namun, mereka mempunyai sumber pendapatan dan keupayaan kewangan yang kukuh untuk membayar semula liabiliti-labiliti tersebut. 

 

 

Di Malaysia misalnya, kelab bola sepak gergasi seperti JDT juga mempunyai kos operasi yang besar. Pada tahun 2022, kos operasi yang ditanggung oleh JDT dianggarkan mencecah RM9.7 juta sebulan, atau bersamaan hampir RM120 juta setahun menurut analisis terhadap penyata kewangan yang diperoleh Ekonomi Rakyat melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Namun, apa yang membezakan JDT dengan kelab-kelab bola sepak yang lain di negara ini ialah kos operasi tersebut dibelanjakan pada perkara yang betul menurut Shazwan. Ini termasuklah dengan melantik pemantau bakat (scout) yang berkualiti, membina kemudahan dan fasiliti latihan yang bertaraf dunia, mewujudkan sistem akademi bola sepak – yang mana kesemuanya ini merupakan satu bentuk pelaburan yang bakal mendatangkan impak positif yang bernilai tinggi kepada kelab.

Meskipun JDT memperoleh pendapatan tahunan sehingga RM110 sejuta pada tahun 2022, namun kelab ini masih lagi merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM6.2 juta. Situasi ini menunjukkan bahawa kelab gergasi ini berbelanja lebih daripada pendapatan yang diperoleh mereka.

Pencabar utama JDT, Selangor pula meraih pendapatan sebanyak RM38.8 juta pada tahun 2022 dan merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM280,000. Ini bermaksud perbelanjaan operasi Selangor yang dianggarkan sekitar RM3.2 juta masih lagi boleh ditampung oleh hasil tahuann yang diperoleh oleh kelab berkenaan.

*tanpa mengira sebarang pendapatan-pendapatan lain (other income) kelab.

Dari sudut lain, statistik ini juga menunjukkan terdapat jurang yang besar diantara pasukan bola sepak di Malaysia. Pasukan JDT yang mengungguli arena bola sepak negara sejak hampir 10 tahun yang lalu mempunyai pendapatan tahunan tiga kali lebih besar berbanding Selangor, pencabar terdekat mereka.

Manakala, pasukan kompetitif lain seperti Kedah hanya meraih hasil sebanyak RM14 juta pada tahun 2022, hanya 12% berbanding hasil yang diraih JDT. Tidak mengejutkan jika pemilik pasukan Kedah, Tan Sri Daud Bakar terpaksa menyuntik wangnya sendiri bagi memastikan kelab terus beroperasi.

 

Keadaan ini juga menunjukkan bertapa kukuhnya kedudukan kewangan JDT jika dibandingkan dengan kelab bola sepak yang lain. Dari kekuatan kewangan ini, tidak hairanlah bagaimana JDT mampu mendominasi arena bola sepak tempatan melalui pilihan pemain terbaik negara sehingga sukar digugat pasukan-pasukan besar lain seperti Selangor FC.

Kelab Bola Sepak Harus Jujur Terhadap Kedudukan Kewangan Masing-Masing

Apa yang sepatutnya dilakukan ialah kelab-kelab bola sepak ini seharusnya lebih sedar diri terhadap kedudukan kewangan masing-masing, terutamanya dalam merancang perbelanjaan-perbelanjaan yang ingin dilakukan. Perancangan serta pengurusan kewangan juga perlu dilakukan secara lebih strategik dan terancang. 

Shazwan Wong, yang juga merupakan Pengurus Besar Akademi Little League Soccer, memberikan contoh sekiranya musim baharu akan bermula dalam kalendar bola sepak, usaha untuk mencari penaja harus dilakukan dengan lebih awal, sebelum musim tersebut bermula lagi. Hal ini kerana kelab-kelab bola sepak ini sudah semestinya mempunyai anggaran perbelanjaan tahunan masing-masing. Oleh itu, kelab-kelab bola sepak ini sudah sepatutnya mula mencari penaja dengan lebih awal agar perbelanjaan-perbelanjaan tersebut dapat dipenuhi kelak.

Di samping itu, kelab-kelab bola sepak juga harus lebih kreatif dalam mencari jalan bagi menambah pendapatan kelab. Mengulas perkara ini, Haresh Deol memetik sebuah contoh baik yang dilakukan oleh kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) beberapa tahun yang lepas.

“Ada satu musim, di mana dalam masa lebih kurang sepuluh hari atau lima hari, mereka (JDT) telah meraih keuntungan berjuta ringgit hanya daripada hasil penjualan baju sahaja. Anda lihat, itu menunjukkan adanya aliran pendapatan.” – Haresh Deol

Perlu Ada Kawal Selia yang Tegas Terhadap Kelab-Kelab Bola Sepak

Di samping pengurusan kewangan kelab yang efisien, kawal selia yang tegas juga amat diperlukan. Ketiadaan kawal selia yang tegas akan menyebabkan isu-isu seperti tunggakan gaji pemain dan kelab bola sepak tidak cukup wang untuk beroperasi terus berulang tanpa berkesudahan. 

MFL selaku badan yang menguruskan liga profesional di Malaysia telah pun mengambil langkah dengan memperkenalkan Peraturan Kewangan Adil (Financial Fair Play, FFP) bermula musim 2024/2025. Namun, sejauh manakah inisiatif ini boleh membantu menyelesaikan masalah kewangan segelintir kelab bola sepak di Malaysia belum dapat terjawab ketika ini. Hal ini kerana kerana apa yang berlaku boleh diibaratkan “seperti nasi sudah menjadi bubur”, apabila sudah begitu banyak kelab bola sepak di Malaysia yang kini terperangkap dalam isu tunggakan gaji pemain dan masalah hutang. 

Berkemungkinan besar impak daripada pelaksanaan FFP ini hanya akan membuahkan hasil dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dengan syarat adanya kawal selia dan tindakan yang tegas daripada MFL untuk mencegah budaya berbelanja melebihi kemampuan yang sering dilakukan segelintir kelab bola sepak di Malaysia. Sebagai contoh, apa yang dilakukan di EPL ialah kelab-kelab yang didapati melanggar peraturan FFP akan dikenakan tindakan tegas termasuk pemotongan mata dan larangan daripada terlibat dalam aktiviti penjualan dan pembelian pemain semasa musim perpindahan.

“Saya rasa untuk mengubah keadaan itu, saya rasa ramai orang bercakap di media sosial tentang “Big Reset”. Maksud saya “Big Reset” dari segi gaji pemain. Anda tidak boleh ikut struktur gaji JDT jika anda tidak mempunyai wang sebanyak itu. Jika JDT membayar (gaji) RM50,000, RM60,000, RM80,000 untuk pemain ini, anda tidak boleh cuba untuk bersaing sebegitu. Anda mahu membayar jumlah ini, tetapi anda tiada duit.” – Shazwan Wong

Baru-baru ini, FAM dan MFL telah disiasat oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) kerana didakwa tidak mematuhi peraturan pelesenan kelab yang telah ditetapkan. Siasatan tersebut dibuat apabila Kuala Lumpur City FC yang berdepan isu tunggakan gaji dan caruman KWSP pemain telah diberikan kebenaran oleh MFL untuk terus menyertai saingan Liga Malaysia.

Antara hukuman yang mungkin akan dikenakan AFC terhadap FAM dan MFL ialah mereka berdepan risiko untuk digantung kuasa daripada memberikan lesen kebangsaan kepada kelab-kelab bola sepak di Malaysia. Tiada wakil daripada Malaysia juga akan dibenarkan untuk beraksi di pentas Asia.

Insiden-insiden sebegini membuktikan bahawa pengurusan liga bola sepak tempatan masih mempunyai jalan yang panjang untuk diperbaiki. Hakikat bahawa FAM dan MFL disiasat oleh AFC yang beribu pejabat di Malaysia, merupakan sesuatu yang tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia boleh mencalarkan reputasi dan imej bola sepak negara, malah mungkin menurunkan lagi daya tarikan liga bola sepak tempatan di peringkat antarabangsa. 

Episod penuh podcast “Saja Nak Tanya”