Derma Untuk Disakau

Share it

Derma, sumbangan ataupun sedekah merupakan sebuah amalan yang sangat dianjurkan dalam kebanyakan budaya dan agama. Di dalam agama Islam misalnya, sedekah disebut sebagai antara amalan kebaikan yang mendatangkan pahala besar serta berterusan kepada si pemberi walaupun setelah mati.

Sebanyak 36% atau 30,782 pertubuhan aktif di Malaysia terdiri daripada kategori pertubuhan kebajikan.

Sesetengah organisasi, terutamanya badan amal dan yayasan kebajikan, bergantung besar kepada derma sebagai sumber kewangan utama untuk menggerakkan operasi serta agenda masing-masing. Menurut statistik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), terdapat 86,297 pertubuhan aktif di Malaysia setakat 23 Ogos 2024. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 36% atau 30,782 pertubuhan terdiri daripada kategori pertubuhan kebajikan.

Walau bagaimanapun, ketiadaan garis panduan dan undang-undang yang jelas telah menyebabkan wang derma mudah untuk diselewengkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Baru-baru ini, sebuah pasangan pempengaruh media sosial didakwa telah menyelewengkan wang derma yang dikutip daripada orang ramai dengan membeli barangan-barangan mewah untuk kegunaan peribadi. Kes seumpama ini bukanlah pertama kali yang berlaku di Malaysia. Hujung tahun lalu, sebuah organisasi kemanusiaan Palestin yang ternama dalam negara telah diserbu SPRM kerana terlibat dalam kesalahan yang hampir sama. 

Wang-wang yang sepatutnya disalurkan untuk aktiviti kemanusiaan di Gaza digunakan untuk tujuan lain seperti pelaburan emas, pembelian tanah dan sebagainya.

Begitu juga dengan pelbagai lagi modus operandi yang digunakan. Antaranya termasuklah dengan berselindung di sebalik aktiviti keagamaan seperti menubuhkan pusat tahfiz dan pondok pengajian agama. Kira-kira lima tahun lalu, sebuah pusat tahfiz di Kedah diarahkan tutup oleh pihak berkuasa selepas para pelajarnya dipaksa untuk mengutip sedekah dan menjual produk bagi mencari dana. Terdapat juga kes-kes yang dilaporkan sebelum ini di mana mudir pusat-pusat tahfiz ini yang menjalani hidup secara mewah hasil kutipan derma yang dilakukan oleh pelajar-pelajarnya, yang mana secara kebiasaanya terdiri daripada anak-anak yatim dan fakir miskin.

Kenapa Perlu Pantau Aktiviti Derma?

Antara sebab utama mengapa aktiviti derma perlu dipantau ialah bagi memastikan wang derma yang dikutip dapat dimanfaatkan mengikut tujuannya yang sebenar. Memandangkan aktiviti derma selalunya melibatkan jumlah wang yang besar sehingga ada yang mencecah ratusan ribu, malahan jutaan ringgit, kawal selia yang ketat daripada pihak berkuasa perlu wujud agar tatakelola dan pengurusan wang tersebut adalah lebih telus dan beretika. 

Ketelusan dalam melaporkan ke manakah duit-duit derma ini pergi juga akan memastikan penderma berasa lebih yakin untuk menderma lagi di masa hadapan. Buat masa ini, Malaysia tidak mempunyai sebarang badan yang khas bagi memantau aktiviti kutipan derma. Undang-undang sedia ada berkaitan aktiviti kutipan derma juga tidak diseragamkan dengan baik. Terdapat sekurang-kurangnya empat akta dan pelbagai agensi berbeza yang terlibat dalam mengawal selia aktiviti derma di Malaysia, berdasarkan Jadual 1. 

Terdapat sekurang-kurangnya empat akta dan pelbagai agensi berbeza yang terlibat dalam mengawal selia aktiviti derma di Malaysia.

Bagi aktiviti kutipan derma untuk aktiviti agama Islam, ia tertakluk di bawah bidang kuasa majlis agama negeri masing-masing, contohnya seperti Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah yang menetapkan denda sebanyak RM1,000 dan penjara tidak melebihi 1 tahun bagi kesalahan menjalankan pungutan khairat tanpa kebenaran.

Kebiasaannya, sebahagian daripada wang derma digunakan untuk menampung keperluan kos pentadbiran (administration cost). Namun, ketiadaan peraturan yang berkuat kuasa telah menyebabkan wujudnya ‘grey area’ yang membimbangkan dalam soal penggunaan wang derma. Ada juga sesetengah organisasi dan individu yang mengambil sebahagian daripada wang derma dalam bentuk komisyen sebagai upah kerana berjaya menarik ramai orang untuk menderma.

Ada juga organisasi yang secara terang-terangan berbelanja untuk tujuan pemasaran bagi tujuan kutipan derma.

Peraturan yang ada pada ketika ini hanyalah wujud sekadar garis panduan semata-mata. Misalnya, menurut Surat Pekeliling Am Bil. 6 Tahun 1987 “Peraturan Mengutip Derma oleh Pertubuhan Dari Orang Ramai” yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), perbelanjaan untuk kutipan derma disarankan tidak melebihi 1/12 (8.3%) daripada jumlah keseluruhan kutipan. Kod Tadbir Urus Baik Pertubuhan oleh ROS turut menetapkan bahawa perbelanjaan pentadbiran bagi pertubuhan-pertubuhan hendaklah tidak melebihi 30% daripada belanjawan tahunan.

Pelaporan Kewangan dan Audit bagi Bendung Penyelewengan Duit Dema

Berbeza dengan syarikat-syarikat korporat, organisasi-organisasi bukan keuntungan (NPO) dan bukan kerajaan (NGO) tidak diwajibkan untuk membuat pelaporan kewangan dan audit. Walaupun organisasi-organisasi ini dikehendaki untuk menghantar laporan tahunan kepada ROS, namun maklumat ini hanya terhad kepada ahli-ahli pertubuhan sahaja. Ini bermakna wang-wang derma yang diterima ini tidak dipertanggungjawabkan untuk dilaporkan kepada umum. 

Kes-kes yang disebutkan di atas menjadi bukti bahawa ketiadaan undang-undang dan kawal selia yang tegas terhadap aktiviti kutipan derma di Malaysia telah membuka ruang kepada berlakunya eksploitasi serta penyelewengan. Lantaran itu, antara aspek yang perlu diberi penekanan untuk memastikan pengurusan wang derma yang lebih beretika ialah dengan menguatkuasakan pelaporan kewangan yang telus serta audit secara berkala. 

Misalnya, di Amerika Syarikat, Akta Integriti Bukan Keuntungan California 2004 telah mewajibkan organisasi-organisasi bukan keuntungan (NPO) yang mempunyai hasil menyamai AS$2 juta atau lebih untuk menjalani audit yang disediakan oleh firma bebas. Begitu juga di beberapa buah negara seperti Australia, Singapura dan UK, Suruhanjaya Amal telah ditubuhkan khas bagi memantau pendaftaran pertubuhan-pertubuhan serta aktiviti derma yang dilakukan oleh mereka. 

Walau bagaimanapun, peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan tidak seharusnya mengekang kebebasan NPO dan NGO dalam menjalankan aktiviti kutipan derma. Hal ini kerana organisasi-organisasi ini tidak beroperasi sebagaimana syarikat-syarikat swasta yang terlibat dalam aktiviti urus niaga secara langsung bagi menjana pendapatan. Ada antara organisasi ini yang mempunyai sumber kewangan yang terhad, lantas memerlukan sumbangan daripada penderma untuk terus beroperasi. Oleh itu, sebarang peraturan dan garis panduan yang ingin diperkenalkan harus mengambil kira perbezaan ini. 

Sebagai contoh, Singapura telah memperkenalkan Charities Accounting Standards (CAS) pada tahun 2011 sebagai garis panduan dan kerangka kerja pelaporan kewangan yang khas untuk diikuti oleh badan-badan amal di negara tersebut. Mana-mana badal amal yang tidak mematuhi CAS dalam membuat pelaporan kewangan boleh dikenakan denda.

Peraturan yang terlalu ketat juga mungkin menyukarkan individu perseorangan atau pertubuhan-pertubuhan kecil untuk membuat kutipan derma kilat, terutamanya dalam situasi yang mendesak seperti ditimpa musibah kebakaran rumah, kemalangan atau kematian. 

Derma Atas Talian, Cabaran Baharu

Ledakan teknologi akhir ini turut menyaksikan aktiviti kutipan derma telah berubah menjadi lebih kompleks. Jika dahulu, aktiviti menderma hanya terhad dalam transaksi wang tunai secara fizikal. Namun, kini seseorang itu boleh menderma dengan memindahkan wang mereka secara atas talian, sama ada secara langsung kepada akaun bank organisasi atau individu, atau melalui platform-platform ‘crowdfunding’ seperti JomDonate, KitaFund dan GoFundMe.

Derma atas talian mendatangkan cabaran baharu yang cukup besar kepada pihak berkuasa kerana ianya lebih mudah untuk dijalankan, lantas menjadikannya lebih sukar dipantau. Permit polis adalah diperlukan sekiranya aktiviti derma dilakukan secara fizikal, seperti yang dinyatakan dalam Akta Pungutan Rumah ke Rumah Dan Di Jalan 1947. Namun, akta ini hanya terpakai untuk aktiviti kutipan derma yang dilakukan dari rumah ke rumah dan di tempat-tempat awam. Akta yang kali terakhir disemak pada tahun 1978 ini tidak terpakai bagi mengawal selia aktiviti kutipan derma atas talian.

Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan bahawa Kerajaan sedang melaksanakan kajian untuk menggubal Akta Khairat (Charities Act) dan menubuhkan Suruhanjaya Khairat (Charities Commission) sebagai sebahagian daripada usaha untuk membendung isu penyelewengan wang derma.

Sudah tiba masanya untuk akta ini disemak semula, di samping mewujudkan sebuah badan khas bagi mengawal selia aktiviti mengutip derma di Malaysia. Ini lebih-lebih lagi dengan wujudnya banyak cubaan scam yang dilakukan dengan berselindung di sebalik kempen kutipan derma. Antara taktik yang biasa digunakan ialah dengan mengambil kesempatan terhadap isu-isu kemanusiaan atau bencana yang berlaku. 

Kesedaran rakyat dan masyarakat umum juga perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan aktiviti kutipan scam derma ini daripada terus berleluasa. Hal ini kerana sikap rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat pemurah sering dijadikan sasaran untuk diperdaya oleh segelintir pihak. 

Antara yang perlu dilakukan ialah dengan menyelidik terlebih dahulu organisasi atau individu yang mengutip derma berkenaan sebelum memberikan sebarang sumbangan. Memupuk sikap berhati-hati dalam kalangan rakyat adalah sangat penting dalam membanteras aktiviti scam derma kerana mereka akan menjadi lebih berwaspada dan melaporkannya kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat perkara yang mencurigakan.