Bola sepak mempunyai pengaruh yang cukup besar di Malaysia, sehingga digelar sebagai ‘sukan nombor satu’ dalam negara. Walau bagaimanapun, di sebalik popularitinya, sukan bola sepak di Malaysia tidak terkecuali daripada berhadapan dengan pelbagai kontroversi. Antara isu yang paling besar ialah masalah kewangan yang telah berlarutan sejak sekian lama sehingga menyaksikan beberapa kelab bola sepak telah ‘bungkus’.
Ekonomi Rakyat telah berkesempatan menemu ramah wartawan sukan, Haresh Deol dan jurulatih bola sepak, Shazwan Wong menerusi episod podcast sulung ‘Saja Nak Tanya’ bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap situasi bola sepak tempatan. Dalam artikel sebelum ini, Haresh dan Shazwan telah mengulas mengenai apakah yang menyebabkan kelab-kelab bola sepak di Malaysia terperangkap dalam masalah kewangan dan apakah rahsia kejayaan JDT dalam mendominasi arena sukan bola sepak di Malaysia.
Antara kes terbaru kelab-kelab bola sepak tempatan yang menghadapi masalah kewangan termasuklah Kedah Darul Aman FC, Kelantan FC dan Perlis United. Sebahagian besar kelab ini dibelenggu oleh masalah hutang yang besar, sehingga menyebabkan mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk meneruskan operasi.
KDA FC umpamanya menanggung hutang RM20.9 juta menurut penyata pendapatan pada tahun 2022.
Akibatnya, ada sebilangan pemain bola sepak yang terpaksa mengikat perut kerana tidak menerima gaji sehingga berbulan-bulan lamanya sehinggakan ada pemain pasukan utama yang bertindak memboikot perlawanan liga.
Haresh Deol menjelaskan bahawa isu hutang dalam kalangan kelab bola sepak ini bukanlah sesuatu yang hanya berlaku dalam arena sukan bola sepak di Malaysia semata-mata. Menurut beliau, isu yang sama turut dihadapi dalam liga-liga utama seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila sesetengah kelab bola sepak dalam liga tersebut memiliki hutang yang amat besar.
Namun, apa yang membezakan ialah kelab-kelab bola sepak yang bersaing dalam EPL ini mempunyai para pelabur yang mampu membekalkan sumber kewangan yang kukuh kepada kelab, meskipun ada kalanya mereka berdepan dengan kerugian.
Menurut Deloitte, hanya empat kelab EPL yang merekodkan keuntungan sebelum cukai pada musim 2022/23, iaitu Brighton Hove & Albion (£133 juta), Manchester City (£80 juta), AFC Bournemouth (£44 juta) dan Brentford (£9 juta). Selebihnya kelab-kelab yang lain mencatatkan kerugian dengan purata sebanyak £58 juta. Aston Villa merekodkan kerugian sebelum cukai terbesar sebanyak £120 juta antara kesemua kelab EPL.
Walau bagaimanapun, di Malaysia, sumber kewangan adalah terhad apabila kebanyakan kelab bola sepak ini bergantung besar kepada wang daripada Kerajaan Negeri semata-mata.
“Di sini, kita terlalu bergantung terhadap duit Kerajaan Negeri. Persoalannya ialah, duit Kerajaan Negeri itu adalah duit pembayar cukai. Awak, saya, kami semua pembayar cukai. Adakah duit kami yang kita bayar cukai tiap-tiap tahun itu, terpaksa bayar, khidmat untuk negara kan. Adakah anda rasa berbaloi tak kita berbelanja duit tersebut untuk bola? Dan hanya bola semata-mata, kerana sukan lain tidak dapat dana sebegitu. Betul tak?” – Haresh Deol
Pendapat yang sama turut dikongsikan oleh Shazwan Wong. Kebergantungan yang tinggi terhadap duit daripada Kerajaan Negeri ialah sesuatu yang tidak mampan untuk jangka panjang. Hal ini kerana menurut Shazwan, apabila duit tersebut habis, kebanyakan kelab bola sepak ini tidak lagi mampu meneruskan operasi mereka.
Populariti sukan bola sepak dalam negara sepatutnya memberi ruang kepada kelab-kelab ini untuk menjana pendapatan dengan konsisten. Sebagai contoh, di England, yang terkenal dengan jolokan ‘The Home of Football’, bola sepak telah menjadi sebuah perniagaan besar-besaran yang menjana pendapatan berjuta, bahkan berbilion pound sterling kepada kelab-kelab bola sepak.
Menurut analisis Deloitte, hasil (revenue) kelab-kelab EPL mencecah £6.1 bilion (RM34.5 bilion) pada musim 2022/2023. Secara puratanya, sebuah kelab EPL menjana hasil sebanyak £303 juta bagi musim tersebut.
Tidak dinafikan hakikat bahawa liga EPL adalah jauh begitu popular jika dibandingkan dengan Liga Super di Malaysia, lantas membolehkan mereka merekodkan hasil dan pendapatan yang sangat besar. Namun begitu, populariti semata-mata bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan kejayaan dalam menjana sumber pendapatan yang konsisten dan seterusnya menguruskan kewangan kelab dengan baik. Hal ini kerana di Malaysia juga sukan bola sepak cukup popular, namun mengapa Liga Super sukar untuk ditransformasikan seperti apa yang dilihat di EPL?
Apa yang lebih penting selain populariti ialah memiliki pelan serta strategi yang jelas dalam menguruskan kelab bola sepak. Ini termasuklah dengan menitikberatkan aspek pengurusan kewangan yang telus dan bertanggungjawab, pembangunan bakat pemain muda, inisiatif secara aktif untuk mencari penaja kelab dan sebagainya. Perkara-perkara sebegini adalah apa yang ditekankan dalam kalangan kelab-kelab bola sepak yang bersaing di liga-liga utama seperti EPL, yang mana ianya membawa natijah kepada pengurusan kelab yang lebih cekap dan efektif.
Bagi menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi oleh sesetengah kelab bola sepak di Malaysia, Shazwan yang juga merupakan Pengurus Besar Akademi Little League Soccer, menegaskan bahawa kelab-kelab bola sepak ini harus lebih kreatif untuk memikirkan jalan bagi mencari sumber kewangan alternatif dan tidak hanya bergantung kepada duit daripada Kerajaan Negeri semata-mata. Shazwan turut memberikan sebuah contoh baik yang dilakukan oleh Selangor FC dengan membuka pusat fisio mereka kepada orang awam sebagai salah satu cara untuk mencari pendapatan bagi kelab.
Turut sama pentingnya juga ialah peranan institusi-institusi yang terlibat dalam mengawal selia kelab bola sepak seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL). Badan-badan ini harus memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menyediakan kerangka serta menguatkuasakan undang-undang dengan tegas agar pengurusan kelab bola sepak lebih teratur. Ketiadaan garis panduan serta peraturan yang jelas, terutamanya berkaitan pengurusan kewangan kelab bola sepak, hanyalah akan menyebabkan masalah kewangan yang melanda kelab-kelab bola sepak tempatan terus berlarutan.
Di UK, kebanyakan kelab bola sepak dimiliki oleh ahli-ahli perniagaan yang kaya-raya. Malah, ada antara mereka merupakan jutawan atau billionaire yang sememangnya tidak mempunyai masalah untuk menghabiskan wang mereka kepada kelab. Misalnya, salah seorang pemilik utama Manchester United, Sir Jim Ratcliffe, merupakan seorang billionaire UK yang dianggarkan memiliki nilai kekayaan berjumlah AS$16.7 billion.
Pemilik Manchester City, Abu Dhabi Group pula membelanjakan RM2 bilion pada tahun 2018 untuk membeli barisan pemain bintang di bahagian pertahanan. Bahkan, perbelanjaan pertahanan Manchester City pada ketika itu lebih besar berbanding perbelanjaan pertahanan ketenteteraan di 50 negara.
Di Malaysia, walaupun ada di antara kelab-kelab bola sepak tempatan yang telah diswastakan dan dimiliki oleh ahli-ahli perniagaan dan tokoh korporat, misalnya seperti Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Dato’ Sri Vida dan Norizam Tukiman (Zamburger), masalah kewangan tetap tidak dapat dielakkan.
Mungkin kerana pemilik-pemilik ini tidak mempunyai poket setebal pemilik-pemilik kelab bola sepak di Eropah yang kebanyakannya berstatus bilionair.
Daripada satu sudut, pengurusan kelab bola sepak yang cekap adalah penting untuk memastikan kelab dapat terus beroperasi dengan mampan. Namun, di satu sudut yang lain, kelab tidak akan mampu bertahan sekiranya tiada sokongan yang padu daripada warga tempatan. Hal ini kerana apa yang menjadikan kelab-kelab bola sepak di England berjaya, termasuk kelab-kelab kecil sekalipun, ialah disebabkan oleh sokongan yang mantap daripada masyarakat setempat. Antara bentuk sokongan yang ditonjolkan oleh mereka ialah dengan hadir menonton perlawanan di stadium, membeli merchandise kelab yang asli (seperti jersi) dan sebagainya.
Di England, hatta kelab-kelab kecil yang bermain di divisyen ketiga Sky Bet League One masih mampu mencatatkan purata jumlah kehadiran penonton yang memberangsangkan. Contohnya, purata kehadiran tertinggi direkodkan oleh Birmingham City, seramai 27,561 orang bagi satu-satu perlawanan, diikuti dengan Bolton Wanderers (24,022) dan Huddersfield Town (18,367) bagi musim 2022/2023. Sembilan daripada 24 kelab yang bertanding dalam Sky Bet League One berjaya merekodkan purata kehadiran penonton yang lebih tinggi daripada purata liga. Jika diperhatikan, tidak wujud jurang yang ketara antara kapasiti stadium dan kehadiran penonton bagi kelab-kelab Sky Bet League One, sebagaimana yang berlaku dalam Liga Super di Malaysia.
Manakala di Malaysia, JDT yang mencatatkan purata jumlah penonton tertinggi hanya mampu menarik seramai 17,623 penonton di Stadium Sultan Ibrahim. Di tempat kedua ialah Stadium Likas (Sabah FC) seramai 9,867 penonton, diikuti dengan Stadium Darul Aman (Kedah Darul Aman FC) seramai 8,653 penonton bagi musim 2022/2023, menurut data Transfermarkt. Hanya lima daripada 14 kelab Liga Super mencatatkan purata kehadiran penonton yang lebih tinggi berbanding purata liga.
Kelab-kelab bola sepak di Malaysia sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk menarik sokongan daripada rakyat dan penduduk setempat, lebih-lebih lagi apabila majoriti kelab ini ditubuhkan berasaskan negeri-negeri. Namun, ia tidak berlaku seperti yang diharapkan selagi mana wujudnya sikap warga tempatan yang lebih gemar untuk mensabotaj kelab dengan membeli jersi tiruan serta menonton siaran langsung perlawanan secara haram.
Namun harus diingatkan, sukan seperti bola sepak ini lebih dikenali sebagai sukan rakyat, dengan majoriti pekerja di Malaysia meraih gaji kurang dari RM2,800 sebulan, adalah sukar untuk mereka berbelanja besar untuk menyokong industri bola sepak tempatan dengan membeli merchandise yang ada kalanya mencecah ratusan ringgit.
Di liga EPL, penyumbang utama bagi hasil kelab-kelab ialah datangnya daripada siaran perlawanan-perlawanan secara ‘live’ yang mendatangkan hasil sebanyak £3.2 bilion bagi musim 2022/2023. Namun di Malaysia, hak penyiaran yang dibayar kepada kelab-kelab yang bersaing di Liga Super hanyalah RM12 juta pada tahun 2023.
Wajarkah Penonton Dipersalahkan?
Ada yang menyalahkan sikap penonton di atas kemunduran industri bola sepak kerana tidak cukup memberikan sokongan terhadap pasukan-pasukan tempatan. Namun adakah wajar mereka dipersalahkan? Dari kaca mata penonton bola sepak, sukan ini merupakan salah satu bentuk hiburan, sama seperti sukan-sukan yang lain. Sekiranya apa yang disajikan itu tidak menarik, tidak cukup kompetitif, ditambah pula dengan pelbagai masalah yang melanda sukan bola sepak tanah air, sama ada atas padang mahupun di luar padang, maka sudah tentunya bukanlah salah mereka sekiranya mereka tidak memberikan sokongan yang secukupnya terhadap sukan bola sepak ini.
Oleh yang demikian, apa yang diperlukan ialah anjakan mentaliti penonton untuk terus menyokong kelab-kelab bola sepak ini secara lebih konsisten. Di samping itu, mereka yang bertanggungjawab dalam pengurusan kelab-kelab bola sepak ini haruslah menjalankan gerak kerja dengan lebih strategik dan amanah agar kelab dapat terus beroperasi dengan lebih mampan. Kesemuanya ini adalah penting agar dapat terus menyemarakkan semangat kesukanan secara sihat dalam negara.
Sebuah hakikat yang perlu disedari ialah liga bola sepak tempatan merupakan pengeluar dan menjadi medan utama untuk mengasah bakat-bakat yang diharapkan dapat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Sekiranya mutu dan kualiti liga tempatan dibiarkan terus merosot, sudah tentu prestasi skuad bola sepak negara akan terus kekal berada di takuk lama.
Dalam masa yang sama, sukan-sukan lain perlulah diberikan perhatian dan sokongan yang sewajarnya, terutamanya buat sukan-sukan yang telah berjaya mengharumkan nama negara dan berpotensi besar, seperti hoki, badminton, boling, ragbi dan angkat berat. Begitu juga dengan sukan paralimpik dan wanita, yang mana kesemuanya ini adalah penting demi mewujudkan ekosistem sukan yang lebih inklusif di Malaysia.