Sarawak, negeri terbesar di Malaysia dengan keluasan 124,450 kilometer persegi, merupakan sebuah wilayah yang kaya dengan kepelbagaian budaya, sejarah dan keindahan alam. Turut dikenali sebagai ‘Bumi Kenyalang’, negeri yang terletak di kepulauan Borneo ini memiliki limpahan sumber semula jadi yang sangat berharga.
Baru-baru ini, Sarawak telah diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi, setaraf dengan Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Pada tahun 2023, KDNK per kapita Sarawak mencecah RM72,411, jauh lebih tinggi berbanding KDNK nasional (RM54,612) sekali gus mencerminkan kekuatan ekonomi wilayah tersebut.
Sarawak juga berdaya saing di pentas antarabangsa dengan jumlah perdagangan sebanyak RM193.4 bilion pada tahun lalu, menjadikannya penyumbang keempat terbesar kepada keseluruhan jumlah eksport negara. Eksport utama Sarawak ialah produk petroleum dan gas asli cecair (LNG).
Kekayaan sumber semula jadi dan kekuatan ekonomi ini menyebabkan Sarawak sentiasa menarik minat pelbagai pihak sejak dahulu sehinggalah kini. Walau bagaimanapun, di sebalik potensi ekonominya yang besar, Sarawak sejak sekian lama sering dikaitkan dengan isu-isu sosioekonomi seperti kemunduran pembangunan dan kemiskinan.
Era Taib Mahmud: Legasi yang Kompleks

Isu kemiskinan berlaku dengan ketara semasa di bawah pentadbiran bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud (1981-2014). Pada tahun 1987, hampir satu daripada empat isi rumah di Sarawak masih hidup dalam kemiskinan, walaupun kadar kemiskinan di peringkat nasional telah berjaya diturunkan di bawah 20%.

Kadar pengangguran di Sarawak juga berada pada tahap yang tinggi, dengan purata 7.8% antara 1982 dan 1990. Hanya separuh penduduk di Sarawak menikmati bekalan elektrik pada tahun 1990, walaupun pada ketika itu 80% rakyat Malaysia sudah memiliki akses elektrik.
Sarawak memiliki KDNK per kapita yang secara konsisten lebih tinggi daripada Malaysia.
Kesemua ini berlaku walaupun Sarawak sebenarnya menikmati pertumbuhan ekonomi yang agak baik pada ketika itu. Sepanjang tempoh pemerintahan beliau, nilai KDNK Sarawak telah meningkat hampir 20 kali ganda, daripada RM6,503 juta (1981) kepada RM118,862 juta (2014). KDNK per kapita Sarawak turut sentiasa mengatasi Malaysia saban tahun. Sarawak juga merupakan negeri penerima pelaburan langsung asing (FDI) kelima terbesar di Malaysia antara tahun 1980 dan 1995.
Sarawak terus bergelut dengan masalah sosioekonomi yang berpunca sebahagian besarnya daripada kegagalan untuk mengagihkan hasil ekonomi dengan lebih saksama. Sepanjang tempoh pemerintahan beliau, Taib dikaitkan dengan pelbagai kontroversi termasuk tuduhan penyelewengan, pengumpulan kekayaan yang melampau dan pemusnahan alam sekitar melalui aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.
Sepertimana yang pernah dilaporkan dalam The Edge, Tun Abdul Taib Mahmud dan keluarganya dianggarkan memiliki pegangan dalam 400 syarikat di Malaysia dan memiliki aset di luar negara berjumlah lebih RM800 juta. NGO Bruno Manser Fund pula mendakwa Taib dan keluarganya mempunyai kekayaan bernilai $21 bilion pada tahun 2012.
Tambahan pula, pentadbiran Taib terlalu selesa kerana tidak berusaha mendapatkan semula hak minyak Sarawak yang diserahkan kepada Petronas melalui Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974. Walaupun pentadbiran beliau berlangsung selama tiga dekad, tidak banyak inisiatif proaktif yang dilakukan untuk menuntut kembali autonomi negeri berkaitan minyak dan gas.
Tempoh pentadbiran Taib selama lebih tiga dekad juga kelihatan lebih fokus dalam memperkukuhkan pengaruhnya di Bumi Kenyalang. Tiada sebarang inisiatif signifikan yang dilakukan beliau dalam mengembalikan hak-hak Sarawak seperti yang berlaku pada ketika ini.
Selama lebih tiga dekad, Sarawak diperintah oleh Tun Abdul Taib Mahmud yang mengambil alih kuasa daripada bapa saudara merangkap mentornya, Tun Abdul Rahman Ya’kub. Walaupun beliau juga berpeluang untuk meneruskan karier dalam politik persekutuan, Taib memilih untuk kekal di Sarawak dan membina dinasti politik di sana.
Adenan Satem: “Sarawak for Sarawakian”
Pendekatan tersebut berubah apabila Tan Sri Adenan Satem dilantik menjadi Ketua Menteri pada tahun 2014. Dengan membina naratif “Sarawak untuk Orang Sarawak”, Adenan menjadi harapan bagi ramai rakyat Sarawak yang ingin melihat perubahan selepas puluhan tahun pemerintahan di bawah Taib. Antara yang diketengahkan Adenan termasuklah perjuangan untuk menuntut hak autonomi Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selain itu, Adenan juga dikenang kerana membuka lembaran baharu untuk Sarawak dengan menitikberatkan aspek ketelusan serta membanteras pembalakan haram yang berleluasa di Sarawak, sesuatu yang tidak begitu berlaku semasa era Taib.
Walau bagaimanapun, pentadbiran Adenan hanya bertahan selama tiga tahun sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 2017. Namun, pengaruh serta usaha yang dilakukan oleh beliau dalam menuntut hak autonomi Sarawak telah meletakkan batu asas yang kukuh kepada legasi pemerintahan yang seterusnya.
Abang Jo: Memposisikan Semula Sarawak di Peringkat Nasional
Transformasi yang dimulakan oleh Adenan Satem telah dikembangkan oleh Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Di bawah kepimpinan beliau, Sarawak semakin lantang dalam menuntut hak-haknya, terutama dalam royalti minyak dan hasil daripada sumber asli. Misalnya, baru-baru ini Petroleum Sarawak Bhd (Petros) diumumkan akan mengambil alih peranan Petronas dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak. Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha Sarawak untuk meningkatkan autonomi terhadap sektor minyak dan gas di wilayah tersebut.
Sarawak juga telah memperkenalkan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum sejak tahun 2019, yang mana ianya telah memberikan hasil yang signifikan kepada Sarawak. Langkah sebegini memberi peluang kepada Sarawak untuk meningkatkan asas pendapatannya, lantas membolehkan kerajaan negeri menyalurkan lebih banyak dana kepada projek pembangunan dan kebajikan tanpa perlu terlalu bergantung kepada peruntukan daripada persekutuan.
Apa yang telah dilakukan oleh Abang Jo telah memposisikan Sarawak sebagai rakan kongsi utama yang ternyata mampu mempengaruhi dinamik politik dan ekonomi persekutuan. Terma Kerajaan Sarawak digunakan bagi menggambarkan kedudukannya setara dengan Persekutuan Tanah Melayu, bukan salah sebuah negeri di bawah Malaysia.

Pengaruh ini dibentuk menerusi kestabilan politik yang dimiliki oleh Sarawak, khususnya dengan penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pasca PRU-14. Di sebalik kecelaruan politik di peringkat persekutuan ketika era 2018-2022, Sarawak telah tampil muncul membawa model pemerintahan yang efektif, berlandaskan kestabilan politik dan ekonomi. Semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak 2021, GPS berjaya memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.
GPS yang ditubuhkan oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak pasca PRU-14 telah menjadi king-maker di dalam menentukan halatuju kepimpinan negara serta penggerak dalam memperkukuhkan kestabilan politik dan ekonomi negeri.
GPS kini menyumbang 23 kerusi Parlimen bagi mengukuhkan sokongan terhadap gabungan politik PH-BN, lebih tinggi berbanding 19 kerusi yang dimenangi pada tahun 2018 ketika menjadi parti komponen Barisan Nasional.
Penubuhan GPS membolehkan Sarawak membuat penjajaran semula politik tempatan pasca pilihan raya dengan lancar, lantas memastikan kesinambungan pentadbiran yang lebih stabil di wilayah tersebut tanpa perlu berhadapan dengan drama-drama politik di Semenanjung yang tidak berkesudahan. Kesan positif antaranya dapat dilihat pada usaha memulihkan semula ekonomi menerusi pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS 2030) yang mungkin tidak dapat berjalan dengan baik sekiranya keadaan politik tidak stabil.
Kuasa dan pengaruh GPS begitu signifikan selepas tumbangnya pemerintahan PH yang pertama sehingga pemimpin seperti Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke terpaksa terbang ke Sarawak untuk memohon maaf dan mendapatkan sokongan Sarawak bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.
Kepelbagaian Ekonomi Merentasi Sektor Minyak dan Gas: Identiti Baharu Sarawak
Sekiranya diperhatikan, fokus dan hala tuju ekonomi pasca PRU-14 di Sarawak tertumpu pada mempelbagaikan hasil ekonomi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sektor minyak dan gas. Ia dapat dilihat menerusi beberapa inisiatif dan pelaburan yang telah dilakukan dalam bidang-bidang baharu seperti ekonomi digital serta tenaga hijau dan boleh diperbaharui.
Misalnya, Sarawak telah melancarkan Strategi Ekonomi Digital (2018-2022) yang bermatlamat menjadikan negeri tersebut sebagai kuasa digital. Strategi ini memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi digital di semua sektor utama, daripada pertanian sehinggalah pembuatan dan perkhidmatan, di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang berasaskan pengetahuan. Agensi-agensi seperti Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad telah ditubuhkan bagi merangsang perkembangan ekonomi digital, di samping memupuk keusahawanan dan syarikat pemula (startups) yang berasaskan teknologi.
Kewujudan empangan-empangan utama yang besar seperti Bakun, Murum dan Baleh turut memberikan peluang kepada Sarawak untuk menjadi peneraju dalam tenaga boleh diperbaharui melalui sumber hidro yang luas. Empangan-empangan tersebut berpotensi untuk menyediakan tenaga yang murah dan mampan, selaras dengan agenda kelestarian negeri. Selain itu, inisiatif seperti Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan pelaburan hijau.
Walau bagaimanapun, inisiatif-inisiatif ini sukar untuk berjaya sekiranya tiada infrastruktur dan ketersambungan yang baik, terutamanya dengan keluasan Sarawak yang begitu besar. Lantaran itu, Sarawak turut memberi keutamaan kepada peningkatan infrastruktur, terutamanya di kawasan luar bandar. Projek-projek seperti Lebuhraya Pan Borneo, Rangkaian Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua (STR) telah direka bukan hanya untuk meningkatkan ketersambungan, akan tetapi juga untuk merangsang pembangunan di kawasan pedalaman. Pelaburan infrastruktur ini telah membuka koridor ekonomi baharu di wilayah tersebut dan menggalakkan aktiviti ekonomi rentas negeri.
Selain dominasi politik, Sarawak di bawah Abang Jo terus memberi fokus terhadap kekuatan ekonomi. Dengan rizab tunai sebanyak RM40 bilion, Sarawak berjaya mempamerkan kekuatan kewangannya. Salah satu contoh yang paling menarik adalah kejayaan Sarawak memiliki pegangan terbesar dalam Affin Bank, sebuah langkah yang jarang sekali berlaku dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia. Langkah ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan kewangan Sarawak, tetapi juga keupayaannya untuk menentukan hala tuju ekonominya sendiri serta mengurangkan kebergantungan kepada sokongan persekutuan.
Sarawak juga dilaporkan akan mengambilalih sayap perniagaan Maswings dari Malaysia Airlines, yang beroperasi bagi memastikan ketersambungan kawasan-kawasan terpencil di wilayah itu.
Ada juga desas desus yang mengatakan bahawa Sarawak turut ingin mengambilalih kesemua lapangan terbang yang beroperasi di negeri itu daripada Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), yang merupakan operator terbesar lapangan terbang di negara ini.
Terdahulu, Sarawak sudah pun di dalam proses untuk mengambilalih keseluruhan pegangan di dalam Bintulu Port Holdings Berhad yang merupakan pengendali pelabuhan kapal kontena terbesar di negeri itu. Sehingga kini, Sarawak merupakan pemegang saham syarikat ini yang merupakan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dengan penguasaan ekuiti sebanyak 41.71% melalui Setiausaha Kewangan Negeri dan Equisar Assets.
Masa Depan Sarawak dan Implikasi untuk Persekutuan
Perkembangan yang berlaku di Sarawak ternyata menimbulkan persoalan tentang masa hadapan kuasa dan pengaruh persekutuan, lebih-lebih lagi apabila Kerajaan Persekutuan bergantung besar kepada hasil daripada sektor minyak dan gas yang kebanyakannya adalah tertumpu di Sarawak. Apa yang berkemungkinan berlaku dalam masa beberapa tahun akan datang ialah sudah pastinya Sarawak akan terus menggunakan kelebihan mereka sebagai “kingmaker” dalam politik persekutuan untuk terus menuntut lebih banyak autonomi bagi urusan-urusan pentadbiran dan ekonomi negeri.
Kerajaan Persekutuan pula akan bergelut dari sudut kewangan jika mereka ingin memenuhi tuntutan Sarawak dalam memonopoli aktiviti minyak dan gas di negeri itu. Ini kerana Sarawak menyumbang 90% aktiviti perdagangan gas di Malaysia yang kini diselia oleh PETRONAS dengan keuntungan melalui segmen ini dianggarkan mencecah RM20 bilion setahun menurut laporan The Edge.
PETRONAS yang memonopoli aktiviti minyak dan gas di negara ini dijangka terkesan jika Sarawak berjaya dalam tuntutannya. Situasi ini sekaligus dibimbangi akan memberi kesan terhadap dividen yang disalurkan oleh PETRONAS tiap-tiap tahun kepada Kerajaan Persekutuan.
Tahun lalu, PETRONAS menyumbang RM40 bilion dividen kepada Malaysia, lebih rendah berbanding dividen RM50 bilion pada tahun sebelumnya dimana purata harga minyak mentah berada pada paras AS$100 setong.
Sarawak juga dikatakan bakal menuntut lebih banyak kerusi Parlimen ketika proses persempadanan semula kawasan Pilihan Raya yang kali terakhir berlangsung sebelum PRU-14. Sebahagian penganalisis politik berpendapat langkah ini dikatakan boleh mengubah landskap politik negara terutama sekali apabila persaingan sengit berlaku di Semenanjung Malaysia dalam kalangan PH, BN dan PN.
Apa yang dilakukan oleh Sarawak juga mencerminkan bahawa kestabilan politik mampu menjadikan pemerintahan lebih berfokus dalam menerajui transformasi ekonomi negeri. Lantaran itu, penekanan terhadap kestabilan politik ini sewajarnya menjadi pengajaran yang amat berharga kepada Kerajaan Persekutuan dan juga negeri-negeri lain di Malaysia. Pengalaman Sarawak menunjukkan bahawa pemimpin negeri yang mempunyai visi dan keazaman politik yang kuat boleh membawa perubahan besar dalam landskap ekonomi dan politik negeri.
Walau bagaimanapun, kestabilan politik semata-mata bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan kejayaan ekonomi. Hal ini kerana Sarawak sebelum ini turut berada dalam kedudukan politik yang agak stabil semasa pemerintahan selama lebih tiga dekad di bawah Tun Abdul Taib Mahmud, namun kekal terperangkap dalam pelbagai isu sosioekonomi.
*BN di Sarawak pada tahun 2008 menguasai 30 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan
Kesannya dapat dilihat sehingga ke hari ini. Meskipun Sarawak sudah diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi, tahap gaji dan pendapatan isi rumah kekal rendah.
Gaji penengah bagi pekerja sektor formal di Sarawak hanyalah sebanyak RM2,064 pada Mac 2024, hanya RM500 lebih tinggi daripada gaji minimum. Begitu juga dengan purata pendapatan isi rumah kasar yang hanya mencecah RM6,457 pada tahun 2022, 12 kali ganda jauh lebih rendah berbanding KDNK per kapitanya (RM81,342). Hanya enam negeri yang merekodkan purata pendapatan isi rumah lebih rendah daripada Sarawak, iaitu Sabah, Perlis, Perak, Pahang, Kelantan dan Kedah. Kadar kemiskinan di Sarawak juga mencecah 10.8% pada tahun 2022, keempat yang tertinggi antara semua negeri dan wilayah di Malaysia.
Keadaan ini berlaku walaupun Sarawak kini merupakan sebuah negeri berpendapatan tinggi, lantas mencerminkan isu pengagihan kekayaan dan pendapatan yang tidak setara. Isu-isu sebegini merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi oleh Sarawak bergerak ke hadapan. Sekiranya dasar yang dilaksanakan adalah tepat, isu-isu sosioekonomi ini akan dapat dirawat dengan lebih baik di masa depan.