Dari Kenaikan Gaji ke Rombakan Sistem Cukai: Belanjawan 2025 dan Masa Depan Ekonomi Malaysia

Share it

Buat kesekian kalinya, Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober baru-baru ini terus menjadi bajet yang terbesar* dalam sejarah negara.

*Pada kebiasaannya, bajet tahunan Kerajaan akan sentiasa menjadi bajet terbesar seiring dengan peningkatan saiz ekonomi.

Dengan membawa tema “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”, Belanjawan 2025 memperuntukkan sejumlah RM421 bilion, yang terdiri daripada perbelanjaan mengurus (RM335 bilion), perbelanjaan pembangunan (RM86 bilion) dan simpanan luar jangka (RM2 bilion).

Hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat 5.5% kepada RM340 bilion pada tahun 2025.

Belanjawan 2025 dibentangkan dengan mengambil kira unjuran ekonomi Malaysia akan terus mencatatkan pertumbuhan positif antara 4.5% dan 5.5% pada tahun hadapan. Kerajaan Persekutuan menjangkakan dapat mengutip hasil sebanyak RM340 bilion, iaitu 5.5% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya (2024: RM322 bilion). Perbezaan antara perbelanjaan dan hasil membawa kepada unjuran defisit fiskal yang lebih rendah pada kadar 3.8% daripada KDNK, berbanding 4.3% dan 5.0% yang direkodkan pada dua tahun sebelumnya. 

Cukai pendapatan syarikat (CITA) merupakan penyumbang terbesar (31.4%) kepada hasil Kerajaan Persekutuan. Manakala, cukai SST dijangka menyumbangkan sebanyak RM46.7 juta, atau 13.8% daripada keseluruhan hasil Kerajaan Persekutuan.

Peningkatan hasil pada tahun 2025 bakal diterajui oleh peningkatan kutipan cukai langsung sebanyak 6.6% atau RM188.8 bilion, terutamanya cukai pendapatan korporat dan individu. Selain itu, cukai tidak langsung turut dianggarkan meningkat sebanyak 9.8% kepada RM70.2 bilion, yang disumbangkan sebahagian besarnya daripada kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lebih tinggi (2024: RM40.9 bilion; 2025: RM46.7 bilion) susulan daripada peluasan skop kutipan cukai SST.

Walau bagaimanapun, hasil bukan cukai dianggarkan turun sebanyak 2.2% kepada RM80.7 bilion yang berpunca daripada pendapatan pelaburan yang lebih rendah. Dividen daripada PETRONAS kepada Kerajaan Persekutuan dijangka kekal pada RM32 bilion sama seperti tahun sebelumnya. Dividen daripada PETRONAS merupakan komponen terbesar dalam hasil bukan cukai, iaitu sekitar 40%.

Umum diketahui, cukai merupakan instrumen yang sangat penting untuk menjana hasil kepada negara. Daripada hasil tersebut, ia akan digunakan untuk membiayai perkhidmatan-perkhidmatan awam yang penting seperti penjagaan kesihatan, sekolah, keselamatan awam, infrastruktur serta program-program kebajikan untuk rakyat yang memerlukan. Oleh yang demikian, cukai bukan sahaja berperanan sebagai alat untuk mengutip wang semata-mata untuk memenuhi kantung kewangan negara, akan tetapi ia sepatutnya berfungsi untuk membuat pengagihan semula kekayaan ekonomi secara lebih adil.

Isu dan Cabaran Kutipan Cukai yang Rendah di Malaysia

Kutipan cukai di Malaysia hanya menyamai 12.2% kepada KDNK negara pada tahun 2022, lebih rendah berbanding purata Asia Pasifik (19.3%).

Walau bagaimanapun, salah satu isu besar yang telah melanda Malaysia sejak beberapa dekad yang lalu ialah kutipan cukai yang rendah. Menurut OECD, nisbah kutipan cukai kepada KDNK di Malaysia hanyalah sebanyak 12.2% pada tahun 2022, lebih rendah berbanding purata rantau Asia dan Pasifik (19.3%). Malah, beberapa buah negara yang kurang membangun berbanding Malaysia memiliki nisbah kutipan cukai kepada KDNK yang lebih baik, iaitu negara-negara seperti Kemboja (14.7%) dan Timor-Leste (19.8%).

Kutipan cukai yang rendah memberikan risiko kepada keupayaan kerajaan untuk terus membiayai perbelanjaan sosial bagi menyokong kelangsungan program-program pembangunan dan kebajikan yang dijalankan di Malaysia. Ini terutamanya apabila perbelanjaan untuk program-program tersebut kian bertambah saban tahun. Sebagai contoh, perbelanjaan untuk program bantuan tunai terbesar di Malaysia, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah meningkat sebanyak RM3 bilion untuk tahun 2025. 

Begitu juga dengan perkhidmatan-perkhidmatan asas seperti kesihatan dan sekolah yang mungkin tidak dapat beroperasi dengan kapasiti yang optimal kerana menerima peruntukan yang tidak mencukupi disebabkan oleh hasil negara yang rendah. Peruntukan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) misalnya, walaupun telah dinaikkan daripada RM41.2 bilion kepada RM45.2 bilion, sudah tentunya masih tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melanda sektor kesihatan awam negara seperti isu kekurangan doktor serta prasarana kesihatan yang sudah uzur – yang mana kesemuanya ini berisiko menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam yang baik kepada rakyat. Peratusan perbelanjaan kesihatan ini juga jauh lebih rendah berbanding beberapa cadangan antarabangsa yang menggariskan perbelanjaan kesihatan yang diperuntukan kerajaan sewajarnya diletakkan sekitar 4%-5%.

Contoh-contoh yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa kutipan cukai yang rendah dikhuatiri akan menyebabkan ruang fiskal negara menjadi sempit untuk terus menyampaikan perkhidmatan awam serta menjalankan program-program pembangunan dan kebajikan dengan lebih berkesan dan mampan untuk rakyat.

Punca Kutipan Cukai Rendah? Struktur Gaji yang Rendah dan Dasar Percukaian yang Regresif

Jika diperhatikan dengan lebih mendalam, masalah kutipan cukai yang rendah di Malaysia ini berpunca sebahagian besarnya akibat daripada isu-isu struktur yang berlaku dalam dasar ekonomi negara sejak sekian lama. Dua isu utama yang dikenal pasti ialah (i) struktur gaji rendah dalam pasaran buruh di Malaysia serta (ii) dasar percukaian yang bersifat regresif serta lebih mesra terhadap sektor korporat dan golongan kaya.

Bahagian pampasan pekerja (CoE) di Malaysia hanya berada pada 32.4% daripada KDNK negara pada tahun 2022.

Gaji pekerja kekal berada tahap yang rendah, meskipun Malaysia terus merekodkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dan bakal menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dalam masa beberapa tahun akan datang. Ia dapat dilihat pada bahagian pampasan pekerja yang hanya berada pada 32.4% kepada KDNK pada tahun 2022, lebih rendah berbanding apa yang direkodkan oleh negara-negara maju seperti Singapura (35.2%), UK (49.6%), Jerman (52.1%) dan Amerika Syarikat (52.2%). 

Penengah gaji bagi pekerja sektor formal di Malaysia lebih rendah berbanding gaji kehidupan wajar BNM dan Belanjawanku KWSP selepas ditolak caruman mandatori.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), secara puratanya, seorang pekerja sektor formal di Malaysia hanya menerima gaji sebanyak RM2,745 sebulan. Walaupun angka ini telah melebihi gaji kehidupan wajar dan panduan perbelanjaan Belanjawanku yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hakikat bahawa gaji bersih yang diterima oleh mereka adalah lebih rendah (selepas mengambil kira potongan caruman mandatori seperti KWSP dan PERKESO), ternyata memberi isyarat bahawa rata-rata pekerja di Malaysia masih menerima gaji yang tidak seiring untuk hidup dengan lebih bermakna. 

Gaji kehidupan wajar yang dicadangkan BNM pada tahun 2018 ialah sebanyak RM2,700 bagi seorang individu bujang yang menetap di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, angka ini sepatutnya sudah naik ke sekurang-kurangnya RM2,943 sekiranya mengambil kira faktor inflasi.

Malah, kajian oleh Bank Negara Malaysia (BNM) turut mendedahkan bahawa gaji median benar bagi setiap pekerja di Malaysia telah ketinggalan di belakang pertumbuhan produktiviti sejak pandemik. Ini bererti bahawa peningkatan produktiviti yang berlaku dalam pasaran buruh tidak berjaya diterjemahkan dalam bentuk peningkatan gaji yang lebih setimpal kepada pekerja.

Akibatnya, tahap gaji yang rendah menyebabkan cukai pendapatan individu tidak dapat dikutip dengan lebih meluas. Ketika ini, hanya kira-kira 15% pekerja di Malaysia yang layak dikenakan cukai pendapatan. Menurut Bank Dunia, kutipan cukai pendapatan individu di Malaysia juga didapati telah menurun sejak pandemik COVID-19, mewakili hanya 1.9% daripada KDNK. Keadaan ini turut menyebabkan kerajaan terpaksa mengalihkan perhatian kepada cukai tidak langsung yang lebih mudah untuk dikutip, dengan memperluaskan skop kutipan SST misalnya, walaupun ia memiliki ciri-ciri regresif. 

Sebenarnya, jika kadar gaji ditingkatkan, ia bukan sahaja akan membolehkan pekerja menikmati taraf hidup yang lebih baik, malah ia membolehkan kerajaan menjana hasil yang lebih tinggi menerusi kutipan cukai, sebagaimana yang diterangkan dalam model aliran pusingan pendapatan (circular flow of income). Hal ini kerana menerusi kenaikan gaji, lebih ramai pekerja yang akan layak untuk membayar cukai pendapatan. Selain itu, pekerja juga akan mempunyai pendapatan boleh guna yang lebih besar untuk dibelanjakan bagi membeli barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi – yang mana ianya boleh dicukai menerusi SST dan memberikan hasil yang lebih tinggi kepada kerajaan.

Sebuah lagi faktor yang turut menyumbangkan kepada kutipan cukai yang rendah di Malaysia ialah berpunca daripada sektor informal yang semakin berkembang pesat. Sektor informal wujud tanpa berdaftar dengan badan-badan profesional seperti  Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Pekerja-pekerja yang bekerja di bawah sektor informal juga kebiasaannya tidak membuat caruman seperti KWSP dan PERKESO, seperti mana yang dilakukan dalam sektor formal. Keadaan ini menyebabkan pendapatan yang diterima menerusi sektor informal sukar untuk dikesan dan berkemungkinan menyebabkan kutipan cukai pendapatan tidak dapat dilaksanakan.

Selain itu, wujud juga ekonomi bayangan (shadow economy) yang turut meliputi aktiviti-aktiviti seperti jenayah seperti  penyeludupan di sempadan negara, pengubahan wang haram, perjudian haram, pengedaran dadah dan pemerdagangan manusia. Aktiviti-aktiviti ini melibatkan jumlah wang yang sangat besar, namun dilakukan secara tidak sah dan melanggar undang-undang.

Harus diingati bahawa saiz sektor informal dan ekonomi bayangan ialah agak besar di Malaysia. Menurut LHDN, saiz ekonomi bayangan di Malaysia dianggarkan menyamai sekitar 21% daripada KDNK negara. Pada tahun 2021, seramai 3.5 juta pekerja dianggarkan bekerja dalam sektor informal di Malaysia, bersamaan hampir 23% daripada keseluruhan tenaga kerja di negara ini. 

Dasar percukaian yang bersifat regresif serta lebih mesra sektor korporat dan golongan kaya turut mengakibatkan asas percukaian dan hasil negara menjadi kecil. Sebagai contoh, amalan memberikan pelbagai bentuk pengecualian cukai yang sering dilakukan oleh kerajaan setiap kali melancarkan sesuatu inisiatif baharu sebenarnya menyebabkan negara berpotensi kehilangan hasil yang begitu signifikan. Kebiasaannya, pengecualian cukai ini diberikan sebagai galakan kepada individu atau korporat untuk menyertai inisiatif baharu tersebut. Walau bagaimanapun, ada sesetengah pengecualian cukai yang diberikan sedikit sebanyak menimbulkan persoalan dari segi kewajarannya, apatah lagi apabila pengecualian tersebut ditawarkan kepada individu-individu atau syarikat-syarikat korporat yang berpendapatan tinggi.

Antara contoh yang paling jelas ialah pengecualian cukai yang diberikan terhadap pembelian kenderaan elektrik (EV). Pengecualian cukai ini diberikan untuk menggalakkan lebih ramai orang membeli EV, yang dikatakan lebih mesra alam sekitar kerana mampu mengurangkan penggunaan bahan api tidak boleh diperbaharui seperti petrol. Namun, hakikat bahawa harga kebanyakan EV ini sendiri mencecah ratusan ribu ringgit bermakna hanya golongan berpendapatan tinggi yang mampu untuk membelinya. Malah, model EV tempatan keluaran Proton yang dilancarkan baru-baru ini, Proton e.MAS 7 dijual pada harga bermula RM120,000.

Mungkin tidaklah keterlaluan sekiranya hanya satu atau dua jenis pengecualian cukai yang diberikan untuk pembelian EV. Namun begitu, pembeli EV dikecualikan daripada menanggung (i) kos duti import, (ii) duti eksais dan (iii) cukai jualan. Mereka juga menerima (iv) pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian, dan pemasangan; sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Insentif-insentif ini ditawarkan dalam keadaan cukai jualan misalnya, tidak pun diberikan pengecualian ketika golongan berpendapatan lebih rendah membeli kereta-kereta yang berharga lebih murah seperti Perodua Axia dan Proton Saga. Pelepasan cukai individu juga diberikan tanpa ada sebarang had di Malaysia, sekali gus menguntungkan golongan kaya di negara ini apabila mereka mampu memaksimakan pelepasan cukai sebanyak yang mungkin. 

Sebuah lagi contoh ialah apabila kerajaan mengumumkan pelbagai insentif seperti elaun bangunan industri, pengecualian cukai 70% daripada pendapatan berkanun selama lima tahun dan pengecualian duti setem untuk perjanjian pinjaman dan perkhidmatan kepada syarikat yang memindahkan operasi mereka ke bangunan Tun Razak Exchange (TRX). Syarikat-syarikat yang mampu untuk memindahkan operasi mereka ke TRX sudah tentunya bukanlah syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana.

Bagi memastikan hasil negara terus mampan, antara reformasi yang paling kritikal perlu dilakukan ialah terhadap struktur pasaran buruh negara dan sistem percukaian. Langkah ini penting bagi memastikan isu-isu seperti gaji pekerja dan kutipan cukai yang rendah dapat diatasi dan seterusnya membolehkan negara menjana hasil yang lebih tinggi bagi terus menyokong perbelanjaan-perbelanjaan sosial.

Reformasi Pasaran Buruh Untuk Meningkatkan Gaji Pekerja

Antara inisiatif yang telah diketengahkan ialah kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,7000 yang diumumkan dalam Belanjawan 2025. Walau bagaimanapun, gaji minimum ini hanyalah bertindak sebagai asas penentuan gaji minima sahaja dan mungkin tidak cukup untuk mengatasi masalah struktur gaji rendah yang telah lama membelenggu pekerja di pelbagai sektor. Ini bererti polisi yang lebih proaktif perlu digerakkan untuk memperbetulkan struktur gaji yang rendah dalam kalangan pekerja sedia ada di Malaysia agar lebih progresif.  

Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif mungkin boleh dipertimbangkan untuk diperluaskan meliputi lebih banyak industri. Buat masa ini, penyertaan hanyalah dilakukan secara sukarela. Sekiranya ia diperluaskan, ia akan mewujudkan ekosistem persaingan bakat dalam pasaran buruh yang lebih sihat dan produktif. Ini bermakna, syarikat yang mahu mengekalkan dan menarik bakat yang terbaik dalam industri perlu menawarkan gaji yang lebih progresif. 

Walau bagaimanapun, inisiatif ini tidak akan lengkap sekiranya tiada langkah susulan seperti program-program latihan dan peningkatan kemahiran yang diberikan kepada para pekerja. Hal ini kerana sesuai dengan namanya, gaji yang progresif haruslah selaras dengan produktiviti pekerja, terutamanya dalam mendepani cabaran era baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi. Dalam jangka panjang, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif juga wajar mengambil kira aspek kesejahteraan sosial, sebagaimana yang digariskan dalam panduan Belanjawanku yang turut mengambil kira perbelanjaan-perbelanjaan tambahan seperti penglibatan sosial serta simpanan peribadi, bagi memastikan gaji yang diterima ialah setimpal dan boleh membantu pekerja mencapai kehidupan yang lebih bermakna.

Trend guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran meningkat daripada 1.52 juta pekerja kepada 2.0 juta pekerja antara tahun 2019 dan 2023. Ia merujuk kepada mereka yang mempunyai pendidikan tertiari, tetapi bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah.

Peluang pekerjaan yang berkemahiran tinggi juga perlu diwujudkan dengan lebih banyak bagi memastikan tangga gaji dapat ditingkatkan. Ketika ini, terdapat kira-kira 2 juta rakyat Malaysia yang bekerja di bawah tahap kemahiran masing-masing, sekali gus menyebabkan mereka menerima gaji yang lebih rendah. Transformasi model pengeluaran yang lebih berintensifkan modal seperti pelaburan dalam teknologi perlulah diutamakan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Kebanyakan peluang pekerjaan yang dicipta di Malaysia ialah separuh mahir. Misalnya, hanya satu per empat daripada kekosongan jawatan yang wujud pada tahun 2023 ialah pekerjaan mahir.

Dalam masa yang sama, model pengeluaran yang berasaskan buruh seperti kebergantungan yang tinggi kepada pekerja asing berkemahiran rendah perlulah dikurangkan secara beransur-ansur. Langkah-langkah ini juga amat penting dalam membantu Malaysia untuk menginjak keluar daripada rantaian nilai yang rendah dan seterusnya memposisikan negara untuk menjadi lebih berdaya saing di pentas antarabangsa.

Kerajaan melalui Belanjawan 2025 cuba menangani perkara ini, dengan mencadangkan untuk mewajibkan caruman KWSP kepada pekerja asing selain memperkenalkan polisi levi pelbagai peringkat buat mereka.

Selain itu, kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih efektif dalam memantau tadbir urus dan tata kelola, terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), terutamanya apabila melibatkan soal pengagihan gaji dan imbuhan. Amalan pengurusan yang tidak seimbang atau tumpuan imbuhan yang terlalu berat kepada golongan pengurusan atasan boleh mewujudkan ketidakseimbangan dan mengabaikan keperluan pekerja lain dalam organisasi tersebut. 

Ada sesetengah GLC dan GLIC yang meluluskan gaji dan imbuhan kepada golongan pengurusan atasan secara melampau sehingga boleh mencecah ratusan ribu ringgit, walaupun tidak mencapai KPI yang telah ditetapkan. Dalam masa yang sama, seorang pekerja skim PROTÉGÉ di syarikat GLC dan GLIC tersebut hanya menerima gaji permulaan sebanyak RM2,000. 

Untuk menyelesaikan isu gaji rendah di Malaysia, ia perlu diatasi bermula di pejabat-pejabat. Ini kerana hampir 80% penduduk bekerja di Malaysia merupakan golongan pekerja. Lebih 60% pendapatan isi rumah di Malaysia juga datangnya daripada sumber pekerjaan bergaji, sekali gus mencerminkan pengaruhnya yang besar dalam menentukan tahap pengagihan pendapatan di negara ini.

Keperluan Dasar Percukaian yang Progresif

Dasar percukaian di Malaysia juga perlu dirombak supaya lebih progresif. Antara yang disarankan oleh Bank Dunia dalam laporan Malaysia Economic Monitor edisi Oktober 2023 ialah dengan menyemak semula ambang pendapatan cukai bagi cukai pendapatan individu di negara ini yang dilihat terlalu lembut terhadap golongan kaya. Ketika ini, ambang pendapatan bercukai tertinggi ditetapkan pada RM2 juta, atau bersamaan 50 kali ganda daripada purata gaji di Malaysia. Kadar cukai maksimum yang ditetapkan ialah sebanyak 30% untuk kumpulan tersebut. Ini bererti hanya individu yang benar-benar kaya dengan pendapatan melebihi RM2 juta sahaja yang akan dikenakan kadar cukai maksimum 30%.

Apa yang disarankan oleh Bank Dunia ialah supaya ambang pendapatan tersebut diturunkan dengan lebih rendah. Ini bagi memastikan lebih ramai individu membayar cukai pada kadar maksimum, lantas mengagihkan kekayaan dengan lebih adil serta membolehkan lebih banyak hasil dijana. Ataupun ia boleh diimbangi dengan menetapkan kadar cukai maksimum yang lebih rendah. Seperti yang dilakukan oleh Singapura, ambang pendapatan bercukai tertinggi ditetapkan sebanyak SGD$1,000,000, manakala kadar cukai maksimum ialah 24%.

Secara keseluruhannya, langkah menaikkan gaji dan merombak sistem percukaian negara adalah saling melengkapi antara satu sama lain dan mempunyai potensi untuk meningkatkan hasil negara dengan signifikan.

Bukan sahaja langkah ini memperkukuhkan status ekonomi isi rumah melalui pendapatan boleh guna yang lebih tinggi, tetapi juga akan memberi ruang kepada Kerajaan untuk meraih lebih banyak hasil melalui aktiviti ekonomi dalam negara.

Namun reformasi-reformasi seperti ini tidak akan memberi sebarang impak yang signifikan buat kedudukan fiskal negara jika tiada sebarang tindakan oleh Kerajaan dalam menangani isu perbelanjaan negara, yang turut terdedah kepada ketirisan, rasuah dan perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak produktif.