Melalui zaman kanak-kanak merupakan sebuah tempoh masa yang amat berharga dalam kehidupan seseorang manusia. Hal ini kerana apa yang dilalui pada masa tersebut mempunyai pengaruh yang amat besar dalam mencorakkan kehidupan sehinggalah dewasa.
Ketika zaman kanak-kanak, antara memori yang paling dikenang sudah semestinya semasa berada di alam persekolahan. Seawal pagi sudah bangun untuk bersiap ke sekolah, kemudiannya berjumpa dengan kawan-kawan serta belajar di dalam kelas dengan tunjuk ajar guru-guru serta pelbagai lagi memori suka dan duka.
Secara asasnya, sistem pendidikan formal yang diamalkan di Malaysia terbahagi kepada empat peringkat; pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidikan tertiari. Sesi persekolahan biasanya bermula seawal usia lima tahun di pra sekolah, diikuti dengan sekolah rendah ketika umur tujuh tahun dan berterusan ke sekolah menengah sehinggalah tamat persekolahan di usia 17 tahun (atau 19 tahun untuk mereka yang menduduki STPM).
Ini bermakna, seorang rakyat Malaysia perlu menempuh tempoh persekolahan sekurang-kurangnya selama 12 tahun dalam hidupnya. Walau bagaimanapun, adakah 12 tahun tempoh pembelajaran yang dilalui ini memberi jaminan bahawa ia mampu membentuk seorang individu yang holistik, dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, sebagaimana yang disasarkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan?
Kanak-Kanak di Malaysia Mempunyai Asas Pembelajaran yang Lemah – Bank Dunia
Untuk menjawab persoalan ini, perkara utama yang perlu dilihat ialah dari segi kualiti sistem pendidikan yang tersedia di negara ini. Laporan Bank Dunia yang diterbitkan baru-baru ini mendedahkan beberapa penemuan yang agak merisaukan terhadap kualiti sistem pendidikan di Malaysia. Menurut kajian yang dibuat oleh Bank Dunia, meskipun secara puratanya kanak-kanak di Malaysia mengikuti sesi persekolahan selama 12.5 tahun, apa yang dipelajari oleh mereka hanyalah bersamaan dengan 8.9 tahun sahaja.

Ini bermaksud wujudnya jurang sebanyak 3.6 tahun antara tempoh pembelajaran di sekolah dengan apa yang sebenar-benarnya dapat dipelajari oleh murid tersebut. Dalam erti kata lain, meskipun murid-murid ini hadir ke sekolah selama lebih daripada 12 tahun, mereka tidak dapat menghadam sepenuhnya silibus pendidikan yang telah dirangka serta memanfaatkan waktu pembelajaran tersebut.
Jurang tersebut adalah lebih besar jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Singapura (1.1 tahun) dan Korea Selatan (1.9 tahun). Bukan itu sahaja, malah negara jiran, Vietnam, yang berstatus negara berpendapatan sederhana bawah, turut memiliki prestasi yang lebih baik daripada Malaysia, iaitu sebanyak 2.2 tahun.

Antara punca utama yang dikenal pasti menyebabkan berlakunya masalah ini ialah kerana pelajar-pelajar di Malaysia mempunyai asas pembelajaran yang lemah di awal persekolahan. Kajian yang sama mendapati bahawa 4 daripada 10 murid di Malaysia tidak boleh membaca dengan lancar sejurus tamat sekolah rendah. Situasi tersebut adalah lebih buruk dalam kalangan kanak-kanak dari keluarga miskin, apabila 61% daripada mereka tidak dapat membaca dengan lancar.

Kelemahan dalam menguasai teknik-teknik asas pembelajaran 3M; membaca, mengira dan menulis, telah menyebabkan mereka sukar untuk memahami apa yang telah diajarkan dalam bilik darjah dengan sebaiknya. Masalah ini terus menerus wujud memasuki tahun-tahun berikutnya di sekolah. Akibatnya, prestasi akademik murid-murid di negara ini agak ketinggalan berbanding dengan rakan-rakan sebaya mereka di negara-negara lain. Ia dapat dilihat menerusi prestasi Malaysia dalam penilaian PISA 2022 yang merekodkan kejatuhan terburuk berbanding negara-negara serantau seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, termasuk Malaysia, dikatakan menjadi faktor utama yang menyebabkan penurunan ini. Krisis kesihatan tersebut yang telah menyebabkan penutupan sekolah-sekolah untuk tempoh yang lama telah memburukkan fenomena kemiskinan pembelajaran (learning poverty) dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.
Misalnya, kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) mendedahkan bahawa kanak-kanak di Malaysia hilang 1.3 tahun pembelajaran akibat penutupan sekolah selama 42 minggu ketika pandemik (baca disini). Jika dibandingkan dengan kajian Bank Dunia sebentar tadi, secara kasarnya ini menunjukkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 2.3 tahun pembelajaran yang hilang ini berlaku di luar waktu pandemik. Dalam erti kata lainnya, isu kemiskinan pembelajaran ini telah berlaku di Malaysia sejak sebelum tercetusnya COVID-19 lagi.
Namun, Ketua Pengarah Pendidikan dilihat kekal tenang dengan mengatakan bahawa kemerosotan prestasi dalam penilaian PISA bukanlah sesuatu yang hanya berlaku kepada Malaysia. Menurut beliau, negara-negara lain juga turut merosot. Meskipun ada kebenarannya, persoalannya yang perlu dijawab ialah mengapa prestasi Malaysia lebih teruk berbanding negara-negara jiran lain?
Bagi merungkai apakah sebenarnya masalah-masalah yang membelenggu kanak-kanak di sekolah-sekolah di Malaysia, Ekonomi Rakyat telah menemu ramah aktivis dan pejuang pendidikan, Tuan Hasrizal Abdul Jamil, baru-baru ini.
Artikel ini merupakan kesinambungan daripada artikel sebelum ini yang membincangkan mengenai cabaran dan halangan reformasi pendidikan di Malaysia (baca disini).
Sistem Pendidikan di Malaysia Gagal Membina Motivasi Dalaman Murid Untuk Minat dan Suka Belajar
Menurut Tuan Hasrizal, sistem pendidikan Malaysia yang terlalu lama bergantung pada model berorientasikan peperiksaan telah menyebabkan kanak-kanak tidak dapat membina motivasi dari dalam diri mereka sendiri untuk minat belajar. Motivasi-motivasi yang ada untuk mendorong mereka belajar adalah lebih kepada bersifat luaran (ekstrinsik) semata-mata.
Sebagai contoh, peperiksaan-peperiksaan besar seperti UPSR, PT3 dan SPM dijadikan sebagai pendorong utama untuk kanak-kanak ini belajar. Apa yang sering ditekankan ialah kanak-kanak ini perlu belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang untuk membanggakan ibu bapa dan sekolah.
Akibatnya, ketiadaan peperiksaan (seperti UPSR dan PT3 yang telah dimansuhkan ketika ini) telah menyebabkan mereka bertambah tidak berminat untuk belajar. Kegagalan untuk mewujudkan motivasi dalaman (intrinsik) dengan memupuk kanak-kanak ini untuk suka belajar serta menghayati proses pembelajaran telah menyebabkan kanak-kanak ini menjadi ‘tak tentu hala’ ketika mana peperiksaan ini dimansuhkan kerana selama ini mereka lebih bergantung kepada peperiksaan sebagai pendorong untuk belajar, jelas Tuan Hasrizal.
Akibatnya, peralihan daripada sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan ini tidak berlaku seperti apa yang diharapkan. Kanak-kanak ini tidak bersedia untuk mengharungi alam persekolahan dan kurang minat untuk belajar tanpa adanya peperiksaan sebagai pendorong untuk mereka.
Lebih bertambah parah, kanak-kanak ini yang majoritinya terpaksa mengharungi sesi persekolahan secara atas talian ketika pandemik COVID-19 telah mengalami keciciran pembelajaran apabila motivasi tersebut tidak berjaya dibangunkan terlebih dahulu dari dalam diri mereka untuk minat dan suka belajar.
Maka, tidak hairanlah ada sesetengah ibu-bapa yang meminta supaya UPSR dan PT3 dikembalikan semula dengan berhujah bahawa tanpa peperiksaan-peperiksaan ini, anak-anak mereka menjadi semakin malas untuk belajar. Tinjauan yang dilakukan Sinar Harian secara atas talian pada awal tahun ini mendapati 90% responden bersetuju bahawa UPSR dan PT3 perlu dikembalikan di sekolah.
Namun, sebuah lagi persoalan yang perlu dijawab ialah apakah benar murid-murid ini yang sememangnya malas untuk belajar? Ataupun sistem pendidikan ini yang sebenarnya telah membunuh rasa minat dan suka untuk belajar?
Kepadatan Jadual Sekolah Menyebabkan Murid Hilang Minat Untuk Belajar
Tuan Hasrizal turut mengulas isu kepadatan jadual persekolahan yang dihadapi murid-murid di Malaysia. Secara purata, seorang murid di sekolah-sekolah di Malaysia mengikuti sesi pembelajaran selama lebih kurang lima hingga enam jam sehari, atau bersamaan antara 25 ke 30 jam seminggu. Dalam masa sehari, mereka perlu belajar sehingga lima subjek yang berbeza.
Seorang pelajar di sekolah rendah (Tahun 1-3) perlu belajar hampir lapan subjek yang berbeza dalam masa setahun, termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Pendidikan Islam/Moral, Pendidikan Jasmani & Kesihatan dan Pendidikan Seni. Untuk murid Tahun 4-6, subjek yang perlu mereka pelajari adalah lebih banyak, ditambah dengan subjek Sejarah, Reka Bentuk dan Teknologi. Selain itu, ada juga subjek-subjek tambahan seperti Bahasa Arab, Jawi serta pelbagai lagi. Manakala bagi pelajar-pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), mereka turut perlu mempelajari Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
Kesemua subjek-subjek ini telah menyebabkan jadual persekolahan menjadi padat. Tuan Hasrizal telah melontarkan sebuah soalan terhadap isu ini, iaitu adakah kesemua subjek-subjek ini perlu dipelajari seawal sekolah rendah? Hal ini kerana menurut beliau, kepadatan jadual persekolahan ini boleh menyebabkan kanak-kanak ini hilang minat untuk belajar.
“Darjah satu, dua, tiga pelajar semua curious kan, (masuk) sekolah tadi semua suka nak tanya ini, nak tanya itu. Tapi bila masuk darjah 1, subjek STEM yang kita buat kena tahu istilah-istilah, kena tahu kaedah macam mana nak buat pemerhatian. Kenapa darjah 1 nak kena tahu semua benda itu? Apa yang dilakukan oleh kurikulum kita, istilahnya adalah mathematantic. Jadi mathematantic ialah when teaching kills learning. Pengajaran membunuh pelajaran.”
Kepadatan jadual pembelajaran di sekolah-sekolah turut menyebabkan kanak-kanak ini lebih banyak belajar semata-mata, tanpa ruang dan masa yang mencukupi untuk bermain. Idea ini mungkin kedengaran agak aneh, kerana biasanya tanggapannya ialah “sekolah tempat untuk belajar, bukan untuk bermain”.
Namun, menurut Tuan Hasrizal, apa yang dilakukan oleh sistem pendidikan di Finland ialah mereka memberikan ruang dan masa untuk kanak-kanak ini berehat di antara satu sesi kelas dan sesi kelas yang berikutnya.
“Bermula dari tahun 2000, Finland secara sistematik meletakkan bahawa setiap selepas 45 minit kelas, 15 minit rehat. 15 minit rehat itu bukan break yang tidak tentu hala. Cikgu memang keluarkan budak daripada kelas, kunci pintu kelas, budak-budak kena pakai baju sejuk, kena pakai but dan semua, keluar daripada bangunan, main dekat luar.”
Tuan Hasrizal turut memetik beberapa buah kajian yang menyebut bahawa rehat di antara sesi kelas ini memberikan manfaat yang besar kepada murid. Antaranya, ia memberikan peluang kepada murid-murid ini untuk reset semula otak mereka, sebelum meneruskan sesi pembelajaran yang berikutnya. Hasilnya, mereka dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan lebih tenang dan fokus, terutamanya dalam kalangan murid-murid lelaki.
Apa yang menariknya, Tuan Hasrizal menghuraikan bahawa konsep berehat di antara sesi pembelajaran ini bukanlah sesuatu yang dicipta oleh Finland. Akan tetapi, konsep tersebut dipelopori oleh ilmuwan Islam, Ibnu Abbas.
“Jadi Ibnu Abbas memberikan nasihat mengatakan bahawa di antara dua waktu belajar, kanak-kanak ini perlulah diberikan peluang untuk mereka beraktiviti. Lebih kurang macam itu nasihat Ibnu Abbas yang dipetik dalam satu kajian. Saya tertarik dengan benda itu dan saya dapati negara yang menjayakan apa yang Ibnu Abbas sebutkan itu ialah Finland.”
Walau bagaimanapun, kepadatan jadual persekolahan di Malaysia menyebabkan perkara ini sukar untuk dilaksanakan. Malah, ia juga antara punca yang menyebabkan kanak-kanak di Malaysia tidak begitu aktif secara fizikal, apabila mereka dibebani dengan jadual persekolahan yang padat, ditambah pula dengan kelas agama di waktu petang, kelas tambahan di waktu malam, kelas mengaji, dan sebagainya.

Kajian yang dilakukan UKM bersama Active Healthy Kids Global Alliance (AHKGA) dan Sun Life Malaysia telah berjaya menghasilkan Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-Kanak dan Remaja 2022. Secara keseluruhannya, prestasi aktiviti fizikal dan kesihatan kanak-kanak serta remaja berusia lima hingga 17 tahun di Malaysia adalah tidak memuaskan, dengan gred D tolak (D-). Kajian yang sama turut melaporkan bahawa hanya satu dari lima remaja Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun aktif secara fizikal sekurang-kurangnya 60 minit sehari.
Kekurangan aktiviti fizikal turut membawa kepada risiko-risiko kesihatan yang membimbangkan, termasuk obesiti. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, hampir 30% kanak-kanak berusia lima hingga 17 tahun di Malaysia mengalami masalah berlebihan berat badan dan obesiti.
Walaupun adanya subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), ianya tidak mencukupi untuk kanak-kanak ini bermain. Malah, di sesetengah buah sekolah yang obses terhadap pencapaian akademik, slot aktiviti sukan ini dihapuskan dan digantikan dengan kelas tambahan untuk subjek-subjek yang dirasakan lebih kritikal seperti Sains dan Matematik, terutamanya ketika menghampiri musim peperiksaan.
Bagi menyelesaikan isu kepadatan jadual persekolahan ini, ianya tidaklah semudah itu, kata Tuan Hasrizal. Hal ini kerana subjek yang ingin dihapuskan bagi mengurangkan kepadatan jadual persekolahan harus diteliti implikasinya dengan wajar terhadap murid-murid, serta persepsi dan penerimaan masyarakat umum. Oleh yang demikian, persoalan yang lebih utama untuk dibincangkan bukanlah pada memilih subjek mana yang perlu dibuang, akan tetapi sama ada adakah subjek-subjek ini kesemuanya perlu dipelajari ketika sekolah rendah?
“Nak kurangkan agama, dah orang Melayu muslim mengamuk marah kan. Oh yang subjek bahasa Inggeris banyak pula, yang matematik banyak pula, yang agama ini ditinggalkan. Nak lebih kan agama, kurang kan pula bahagian matematik ke, data-data pula bagitau kemahiran literasi ada masalah. Jadi akhirnya nak buang di mana? Jadi benda itu sangat sistemik, untuk menyelesaikannya kita kena berpatah sepatah, selangkah balik ke belakang, iaitu jawab dulu soalan masa sekolah nak belajar banyak-banyak ke, nak belajar cara belajar dan suka belajar?“
Sekiranya sistem pendidikan ini tidak berjaya membangkitkan rasa minat dan suka untuk belajar dalam diri kanak-kanak, tidak mustahil isu keciciran persekolahan akan menjadi lebih teruk.
Ketika ini, kadar enrolmen murid di sekolah rendah di Malaysia mencecah lebih 90%. Namun, situasinya agak berbeza untuk sekolah menengah, apabila mempunyai kadar enrolmen hanya 78%. Masalah ini bertambah buruk dengan ketiadaan undang-undang setakat ini yang mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah, sebagaimana yang wujud untuk sekolah rendah.
Dalam masa jangka panjang, ketiadaan motivasi dalaman (intrinsik) untuk suka dan minat belajar dalam kalangan kanak-kanak ini juga akan menyebabkan sukar untuk budaya pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) dipupuk dalam diri mereka.