Bekas CEO Kumpulan Tabung Haji, Datuk Nik Hasyudeen mencadangkan Kerajaan mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji kepada umum yang sepatutnya telah siap dimuktamadkan pada Julai lalu. Menurut beliau yang memegang jawatan CEO Tabung Haji di antara tahun 2019 sehingga 2021, langkah ini mungkin boleh menjadi jalan keluar terhadap segala dakwaan dan tuduhan yang telah dilemparkan terhadap Tabung Haji.
” Kalau ikut perancangan, RCI ini sepatutnya sudah dimuktamadkan pada bulan Julai tahun ini lagi. Sekarang kita sudah bulan Disember. Jadi bagi saya, sekiranya perlu, Kerajaan boleh membuat keputusan sama ada mahu berkongsi dengan rakyat tentang apakah hasil daripada RCI itu. Saya sebenarnya pun tak tahu apa sebenarnya kedudukan RCI itu. Tapi disebabkan banyak pihak telah membuat pelbagai dakwaan, mungkin jalan keluarnya ialah dengan menzahirkan apakah penemuan RCI ini. “
Terdahulu semasa tahun 2018, kedudukan kewangan Tabung Haji mendapat perhatian ramai setelah Pakatan Harapan mengambilalih pentadbiran di Putrajaya. Isu berkenaan Tabung Haji juga hangat diperkatakan sekali lagi apabila menjadi bahan politik semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.
Tabung Haji dilaporkan mengalami defisit disebabkan oleh tanggungan, iaitu deposit penyimpan yang telah meningkat melebihi aset bersih antara tahun 2014 hingga 2016. Dalam tempoh itu, defisit telah meningkat daripada RM352 juta kepada RM4.131 bilion.
Keadaan ini menyebabkan pengurusan Tabung Haji turut ditegur oleh Gabenor Bank Negara (BNM) pada Disember 2015 kerana paras rizab Tabung Haji pada ketika itu rendah akibat amalan pengagihan dividen dan bonus yang melebihi kadar keuntungan semasa.
Laporan Tahunan Tabung Haji 2018 juga mendapati Tabung Haji mengalami defisit sekitar RM10.9 bilion susulan kejatuhan besar nilai sebahagian besar aset-aset Tabung Haji terutamanya di dalam sektor ekuiti yang mengalami kerugian purata sebanyak 55%.
Bagi menyelamatkan kedudukan kewangan Tabung Haji, Kerajaan mengambil keputusan untuk memindahkan sebahagian aset-aset Tabung Haji yang tidak menguntungkan pada nilai premium iaitu sebanyak RM19.9 bilion kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd.
Mekanisme penstrukturan semula aset Tabung Haji
Sebagai balasan, Urusharta Jamaah yang merupakan syarikat tujuan khas (SPV) milik Kerajaan menerbitkan dua sukuk yang dilanggan Tabung Haji bernilai RM19.6 bilion yang memberi pulangan 4.05%-4.10% setahun. Tabung Haji juga menerima suntikan tunai sebanyak RM300 juta bagi mengukuhkan semula kedudukan kewangan.
*Kerajaan memperuntukkan RM500 juta pada tahun 2020 dan RM1.73 bilion setahun kepada Urusharta Jamaah sehingga tahun 2030
Pelan penstrukturan ini membolehkan Tabung Haji mempunyai lebihan aset sebanyak RM1 bilion berbanding defisit RM10.9 bilion pada Disember 2018.
Ketika ditanya Ekonomi Rakyat mengenai punca berlakunya isu ini, Datuk Nik menjelaskan bahawa polisi pelaburan Tabung Haji dahulu yang memfokuskan terhadap pulangan tinggi telah menyebabkan institusi itu terdedah kepada kerugian dalam pelaburan.
Hal ini kerana sebahagian besar pelaburan Tabung Haji dibuat terhadap aset-aset ekuiti yang mampu memberikan pulangan tinggi tetapi terdedah kepada risiko yang lebih besar. Beliau juga berkata pelaburan-pelaburan strategik yang dibuat oleh institusi kewangan boleh mengakibatkan institusi tersebut mengalami kerugian besar jika mereka tidak mempunyai kepakaran dalam menjalankan perniagaan.
” Kita semua tahu ekuiti ini risikonya lebih tinggi daripada pendapatan tetap. Jadi sekiranya ada tekanan untuk mana-mana institusi memberi pulangan yang lebih tinggi, biasanya pelaburan ekuiti akan dibesarkan. Dan dalam pelaburan ekuiti ada dua jenis iaitu pelaburan portfolio yang mana dia jual beli, satu lagi dipanggil ekuiti strategik, dimana sesuati institusi itu bukan saja setakat melabur tetapi dia nak mengawal dan menjalankan perniagaan.
Pada pandangan saya lah, biasanya ekuiti strategik ini boleh menimbulkan masalah kerana sekiranya insititusi berkenaan tidak ada kepakaran, kemahiran, orang-orang yang faham tentang industri itu, jadi mereka mungkin tidak mempunyai keupayaan untuk mengawal perniagaan-perniagan yang dilaburkan secara strategik “
Datuk Nik juga berpendapat bahawa Tabung Haji perlu kembali kepada tujual asal penubuhannya sebagai sebuah institusi tabungan dan penyimpanan bagi umat Islam menunaikan Haji, dan bukannya sebagai sebuah institusi pelaburan.
Jelasnya lagi, pelaburan-pelaburan Tabung Haji perlu dibuat di dalam portfolio-portfolio yang selamat dan berisiko rendah, namun tetap kompetitif bagi menjanjikan pulangan yang lebih tinggi berbanding inflasi agar pelabur tidak rugi.
” Kalau kita tengok balik, Tabung Haji ini sebenarnya bukan institusi pelaburan. Tabung Haji ialah institusi penyimpanan kerana tujuan asal Tabung Haji adalah supaya umat Islam yang mahu melaksanakan ibadah Haji dapat menabung dan menyimpan. Jadi oleh itu, pelaburan yang dibuat Tabung Haji sepatutnya pelaburan-pelaburan yang lebih selamat dan biasanya pelaburan yang lebih selamat ini tidak memberi pulangan yang tinggi. Cuma kalau boleh mungkin sekadar lebih tinggi daripada inflasi. Jadi sekurang-kurangnya pendeposit tidak rugi. Jadi bagi saya itulah sepatutnya falsafah pelaburan Tabung Haji “
Menurut data yang diperolehi, 106 saham yang dipindahkan Tabung Haji kepada Urusharta Jamaah mengalami purata kerugian sebanyak 55%. Urusharta Jamaah terpaksa membeli aset-aset ini pada harga premium iaitu pada nilai RM16.85 bilion berbanding nilai sebenar pada ketika itu iaitu pada RM7.6 bilion.
Antara pelaburan-pelaburan TH yang merugikan adalah melalui pegangan di dalam Felda Global Ventures Holdings dimana TH mengalami kerugian atas kertas sebanyak RM1.1 bilion apabila nilai pasaran semasa saham pada 31 Disember 2018 hanya tinggal RM202.3 juta berbanding kos asal pelaburan sebanyak RM1.31 bilion.
Turut mengalami kerugian besar adalah TH Heavy Engineering yang merekodkan kerugian atas kertas sebanyak RM370 juta apabila nilai saham yang dipegang Tabung Haji jatuh kepada RM10 juta berbanding pelaburan asal sebanyak RM380 juta.
Datuk Nik yang pernah berkhidmat sebagai pengarah eksekutif di Suruhanjaya Sekuriti turut berharap agar Kerajaan memperkenalkan akta-akta spesifik bagi mengawalselia agensi-agensi pelaburan berkaitan Kerajaan seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan lain-lain.
Katanya, akta-akta sedia ada yang terpakai ketika ini tidak mengambilkira aspek urus tadbir korporat moden memandangkan konsep itu hanya mula popular setelah Krisis Kewangan Asia melanda pada tahun 1998.
” Kalau kita tengok Akta KWSP, Akta Tabung Haji, Akta KWAP dan seumpamanya, isu-isu tadbir urus yang kita bincang tadi tidak jelas dalam akta-akta yang menubuhkan institusi-institusi berkenaan. Dia tidak ada elemen-elemen tadbir urus moden yang digunapakai untuk syarikat-syarikat yang tersenarai sedangkan syarikat-syarikat pelaburan Kerajaan ini menguruskan dana berbilion Ringgit. Jadi sepatutnya sudah sampai masalnya kita mewujudkan akta khusus berkenaan tadbir urus di institusi pelaburan berkaitan Kerajaan. “
Beliau menekankan bahawa tadbir urus di dalam syarikat-syarikat adalah penting bagi memastikan setiap organisasi-organisasi ini mencapai matlamat penubuhannya. Langkah ini menurutnya membolehkan organisasi itu berjalan lancar melalui susun atur dan sistem yang telah ditetapkan.
Ekonomi Rakyat juga sempat mengutarakan persoalan mengenai budaya lantikan politik sebagai Ahli Lembaga Pengarah kepada Datuk Nik. Menurut laporan IDEAS dan BERSIH, pentadbiran Perikatan Nasional yang terdahulu melantik 39 Ahli Parlimen bagi mengisi kedudukan di dalam lembaga pengarah di syarikat berkaitan Kerajaan dan badan berkanun.
Pentadbiran Pakatan Harapan juga ketika berkuasa pada penggal pertama dahulu turut dilaporkan melantik 25 wakil politik ke dalam entiti-entiti berkenaan.
Datuk Nik Hasyudeen berpendapat bahawa jawatan-jawatan tersebut sewajarnya diisi oleh golongan profesional.
” Pada pandangan saya, kalau boleh eloklah yang diletakkan itu benar-benar profesional. Ada kelayakan, pengalaman dan yang lebih penting jantung hatinya itu mempunyai ketelusan dan kejujuran kerana banyak institusi ataupun perniagaan ini memegang dana berbilion Ringgi yang dimiliki rakyat
Sekiranya jawatan-jawatan itu dijadikan habuan politik, maka kita tidak pasti sama ada orang-orang yang diletakkan itu mempunyai kelayakan yang sepatutnya. Jadi ini merupakan satu perkara yang penting dalam pentadbiran dan pengurusan. Kalau kita tidak letakkan orang yang sesuai, maka tentunya hasilnya tidak akan seperti yang kita kehendaki. “
Apabila ditanya mengenai penglibatan tokoh-tokoh korporat yang berpengalaman di dalam beberapa skandal kewangan besar di negara ini yang mengakibatkan rakyat kerugian berbilion Ringgit, Datuk Nik menjelaskan bahawa kepakaran tidak bermaksud golongan ini mempunyai keberanian untuk melakukan perkara-perkara yang betul.
” Ramai orang tahu apa yang betul. Tetapi persoalannya adakah mereka berani melakukan apa yang betul….. Isunya, ada keberanian atau tidak. Sebab dari segi nak tahu apa yang betul dan apa yang salah, saya rasa tidak begitu susah. Dalam membuat keputusan pelaburan misalnya, kita mesti ada maklumat tentang mengapa pelaburan itu baik. Tetapi sekiranya tidak ada maklumat langsung, tapi kita nak teruskan juga, itu sudah menjadi satu perkara yang nampak aneh.
Jadi sebenarnya bukan isu tahu atau tidak tahu, bukan isu faham atau tidak faham, tapi isunya keberanian untuk membuat keputusan dan keberanian untuk menanggung hasil daripada keputusan itu. Disitu lah ujian yang sebenarnya. Dan saya rasa tidak ramai orang yang telah menunjukkan bahawa mereka berani melalui perkara-perkara yang betul. “