Benarkah Gaji Minimum Tingkatkan Pengangguran & Inflasi?

Share it
Kemungkinan-kemungkinan lain……

Keluk permintaan dan penawaran merupakan antara pelajaran yang pertama diajar di dalam kelas ekonomi. Guru di sekolah mahupun pensyarah di universiti akan menerangkan bahawa titik pertembungan diantara kedua-dua garisan tersebut akan merupakan harga dan kuantiti yang dipersetujui oleh pasaran.

Di dalam membicarakan isu gaji minimum, graf yang serupa juga digunakan bagi menggambarkan situasi apabila pemerintah campurtangan di dalam pasaran apabila menetapkan upah lantai buat pekerja-pekerja di Malaysia.

Mengikut teori ekonomi ini, gaji minimum akan mewujudkan lebihan penawaran ataupun pengangguran kerana permintaan yang rendah akibat gaji minimum yang tinggi.

Selain daripada itu, kumpulan yang lebih pro-pasaran juga sering mendakwa bahawa gaji minimum akan meningkatkan kadar inflasi akibat kos buruh yang lebih tinggi. Hal ini kerana buruh merupakan salah satu kos input bagi setiap perusahaan yang menjalankan perniagaan.

Adakah dakwaan-dakwaan ini benar?

Kajian David Card dan Alan Krueger antara yang popular dalam menidakkan teori diatas. Kedua-dua tokoh ekonomi berkenaan melakukan kajian di New Jersey dan Pennsylvania, Amerika Syarikat bagi mengetahui kesan kenaikan gaji minimum terhadap pekerjaan di restoran-restoran makanan segera.

Penemuan kajian mendapati peningkatan gaji minimum dari $4.25 kepada $5.05 di New Jersey tidak mengurangkan pekerjaan di negeri berkenaan sebaliknya meningkatkan bilangan pekerjaan.

Mungkinkah gaji pekerja di Malaysia telah ditekan akibat campurtangan Kerajaan di dalam dasar pengambilan pekerja asing

Selain itu, orang ramai juga boleh mempersoalkan bagaimana mereka mengetahui bahawa titik keseimbangan ( equilibrium point ) berada di bawah paras gaji minimum yang ditetapkan. Adakah tiada kemungkinan bahawa titik keseimbangan sebenarnya berada di atas paras gaji minimum?

Atau bagaimana pula dengan penawaran buruh di Malaysia, adakah berlaku campur tangan oleh Kerajaan. Misalnya, keluk penawaran buruh di Malaysia berkemungkinan beralih jauh ke kanan apabila Kerajaan membenarkan kemasukan pekerja asing di Malaysia sekaligus menekan gaji pekerja-pekerja di Malaysia.

Inflasi dan Gaji Minimum

Isu inflasi merupakan antara hujah utama mereka yang menentang kenaikan gaji minimum. Di negara-negara maju yang mempunyai gaji minimum tinggi, harga perkhidmatan sering kali dijual mahal bagi mencerminkan kos buruh yang terpaksa dibelanjakan.

Tidak hairanlah, anda mungkin terpaksa berbelas mahupun berpuluh dolar jika makan di restoran di Australia ataupun New Zealand. Situasi ini jauh berbeza di Malaysia dimana anda boleh menjamah makanan tengah hari anda pada kos sekitar RM6 ataupun RM7.

*Harga barangan mentah di negeri-negeri ini masih rendah jika dibandingkan dengan gaji minimum. Golongan berpendapatan rendah kurang makan di luar sekaligus dapat mengelak kos perkhidmatan yang tinggi dengan memasak sendiri makanan di rumah.

Hakikatnya, secara keseluruhan peningkatan gaji minimum tidak memberi kesan yang besar terhadap perubahan harga. Di Amerika Syarikat, kajian mendapati peningkatan 10% gaji minimum hanya meningkatkan harga keseluruhan barangan sekitar 0.4%.

Kajian di Vietnam turut mendapati peningkatan gaji minimum tidak meningkatkan kadar indeks harga pengguna.

Dalam erti kata lain, meskipun peningkatan gaji minimum mungkin akan memberi kesan terhadap harga barang, namun impaknya tidaklah sebesar seperti yang digembar-gemburkan.

Gaji & upah hanya 5% daripada keseluruhan nilai jualan sektor pembuatan

Kedua-dua petunjuk pengangguran dan indeks harga pengguna juga tidak terkesan apabila Kerajaan pertama sekali memperkenalkan gaji minimum pada tahun 2013.

Segala dakyah-dakyah tidak benar ini kerap kali disampaikan oleh media-media pro-peniaga yang dimiliki oleh bilionair-bilioanair kaya.

Di sektor pembuatan umpamanya, bagi setiap RM100 hasil yang diperoleh daripada jualan produk, hanya RM5 digunakan untuk membayar gaji pekerja. Dalam erti kata lain, peningkatan kecil gaji pekerja tidak akan memberikan kesan yang besar buat kos input syarikat-syarikat di sektor pembuatan.

Melangkaui Teori Ekonomi

Peningkatan gaji minimum di Malaysia sewajarnya dilihat sebagai satu hak buat pekerja-pekerja di Malaysia. Sejak tahun 2019, Malaysia tidak langsung menyemak semula kadar gaji minimum melainkan di kadar gaji minimum di bandar-bandar besar yang ditingkatkan pada tahun 2020.

Gaji minimum di Jakarta lebih tinggi berbanding gaji minimum di Malayisa

Perkembangan seperti ini bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Di Jakarta, gaji minimum telah meningkat hampir 18% dari 3.9 juta rupiah pada 2019 kepada 4.6 juta rupiah ( RM1,347 ) sebulan pada 2022.

Pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat di negara ini dapat diselesaikan jika gaji pekerja-pekerja dapat ditingkatkan kepada kadar yang sewajarnya. Dan langkah pertama dalam usaha untuk meningkatkan gaji-gaji pekerja adalah dengan menetapkan gaji minimum pada kadar yang lebih tinggi.