Di Penjara Swasta

Share it
115,000 banduan ditempatkan di penjara swasta pada tahun 2019

Di Malaysia, penjara merupakan sebuah agensi dibawah kelolaan Kementerian Dalam Negeri. Namun di Amerika Syarikat, penjara merupakan sebuah industri yang turut melibatkan sektor swasta dan dianggarkan bernilai sekitar $80 bilion setahun.

Lebih 115,000 banduan ditempatkan di penjara swasta di negara Uncle Sam itu pada tahun 2019 yang mewakili 8% daripada keseluruhan populasi banduan. Ramai pihak mengkritik kewujudan penjara swasta kerana berpendapat bahawa hal ehwal keselamatan awam sewajarnya diuruskan oleh pemerintah.

Konflik kepentingan antara isu yang dibangkitkan. Apakah terdapat komitmen daripada pemegang konsesi penjara untuk membantu pemulihan banduan agar mereka tidak mengulangi kesalahan di masa hadapan.

Sebagai penyedia perkhidmatan penjara, sudah semestinya mereka akan meraih keuntungan setiap kali pemerintah menghantar banduan ke penjara mereka. Oleh itu, kesalahan jenayah boleh dikatakan sebagai lubuk wang buat tauke-tauke penjara.

Salah sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan penjara di Amerika Syarikat, CoreCivic meraih pendapatan $1.9 bilion pada tahun 2020 dengan keuntungan sebanyak $54 juta. Apa yang menariknya, syarikat ini juga tersenarai di New York Stock Exchange dan sahamnya boleh dibeli pada harga $10.9 sesaham.

Pada zaman kegemilangannya sekitar lewat 90-an, saham CoreCivic didagangkan pada harga $140 sesaham. Selain CoreCivic, sebuah lagi syarikat yang menawarkan perkhidmatan penjara yang turut tersenarai adalah GEO Group yang mempunyai 54 fasiliti penjara di Amerika Syarikat.

CoreCivic & Geo Group antara syarikat pengendali penjara swasta yang tersenarai di pasaran saham Amerika Syarikat

Di Malaysia, perbincangan untuk mewujudkan penjara swasta pernah dibangkitkan pada tahun 2019 bagi mengatasi isu kesesakan banduan di penjara-penjara seluruh negara.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman, terdapat 74,000 banduan yang ditempatkan di penjara-penjara di seluruh Malaysia walaupun penjara di negara ini hanya mempunyai kapasiti sebanyak 52,000 orang.

Pengenalan penjara swasta boleh dikatakan agak cost-effective buat Kerajaan Malaysia. Hal ini kerana Kerajaan tidak perlu mengeluarkan belanja bagi membiayai pembinaan kemudahan penjara. Sebaliknya, kos pembinaan akan dibiayai oleh sektor swasta dengan modal serta keuntungan bakal diperoleh oleh pemilik penjara melalui caj yang dikenakan kepada Kerajaan terhadap banduan yang sedang menjalani hukuman.

Bilionair-bilionair baru mungkin juga boleh diwujudkan melalui kaedah ini jika ahli-ahli perniagaan yang bertuah mendapat hak memegang konsesi perkhidmatan penjara. Situasi ini bukanlah asing buat Malaysia yang mempunyai struktur ekonomi rent-seeking yang luas.

[ Baca sini ]

Namun hakikatnya, apa jua cadangan untuk mewujudkan penjara swasta mungkin sukar untuk diterima baik oleh masyarakat. Soal etika dan moral akan menjadi hujah utama mengapa sistem penjara swasta tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia.