Cukai – Untuk Menekan Rakyat Atau Membantu Rakyat?

Belanjawan 2024 telah dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Untuk kesekian kalinya, bajet yang dibentangkan merupakan yang terbesar dalam sejarah negara, iaitu mencecah RM393.8 bilion. Daripada jumlah tersebut, lebih dua pertiga atau sebanyak RM303.8 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus. Manakala RM90 bilion pula adalah untuk perbelanjaan pembangunan. Selebihnya baki RM2 bilion disediakan sebagai simpanan luar jangka.

Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat 1.5% pada tahun depan, menjadikan kedudukan kewangan Kerajaan terus kekal dalam defisit (-4.3%).

Meskipun perbelanjaan negara terus meningkat, hasil Kerajaan hanya diunjur akan berkembang 1.5% sahaja kepada RM307.6 juta pada tahun hadapan. Lantaran itu, kedudukan kewangan Kerajaan dijangka terus kekal berada dalam defisit, iaitu sekitar 4.3% daripada KDNK Malaysia pada tahun 2024 akibat perbelanjaan yang lebih besar berbanding hasil yang akan dijana.  

Secara rangkuman keseluruhannya, Belanjawan 2024 menampilkan beberapa perubahan polisi yang boleh menjadi asas yang baik bagi merawat isu-isu struktur ekonomi negara. Meskipun ada antara pelan-pelan ini tidak popular, namun ia wajar diteruskan demi kelangsungan dan kemampanan kewangan Kerajaan untuk jangka masa panjang. 

Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Oktober lalu Kredit : FB Anwar Ibrahim

Antara yang menjadi tumpuan pada pembentangan belanjawan pada kali ini ialah kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8%. Selain itu, beberapa jenis perkhidmatan akan turut dikenakan cukai termasuklah perkhidmatan logistik dan karaoke. 

Kenaikan Kadar Cukai Bakal Membebankan Rakyat?

Namun, kerisauan tetap timbul kerana kenaikan kadar cukai ini dikhuatiri mampu membebankan rakyat. Apa yang sering berlaku ialah pihak pengeluar atau penjual akan memindahkan kos tambahan cukai yang ditanggung mereka dengan cara menaikkan harga di pasaran. Akibatnya, para pengguna mungkin berdepan dengan kenaikan harga dan tekanan inflasi.

Sebahagian besar daripada Belanjawan 2024 disumbangkan oleh cukai pendapatan (44.4%).

Antara tujuan utama cukai dikutip ialah supaya Kerajaan dapat memiliki dana yang mencukupi untuk menguruskan perbelanjaan negara. Sebagai contoh, sebahagian besar atau 44% daripada peruntukan Bajet 2024 datangnya daripada cukai pendapatan. Cukai tidak langsung seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST), duti eksais, duti import dan duti eksport pula menyumbang sebanyak 14.9% kepada perbelanjaan negara.

Selain itu, cukai juga bertindak sebagai mekanisme penting bagi memastikan agihan kekayaan adalah lebih seimbang dan adil di negara ini. Dalam erti kata lain, cukai yang dikutip daripada syarikat-syarikat dan individu-individu yang layak dicukai akan dipulangkan semula bagi membiayai projek-projek pembangunan, mahupun program-program sosial seperti bantuan kewangan dan subsidi. 

Peranan cukai dalam mengagihkan kekayaan secara lebih adil adalah penting bagi memastikan pembangunan ekonomi negara adalah lebih menyeluruh dan inklusif, serta dalam masa yang sama mengurangkan ketegangan sosial yang mungkin berlaku akibat jurang kekayaan yang melampau. 

Meskipun cukai penggunaan seperti SST dan GST adalah bersifat regresif (kerana dikenakan ke atas semua individu tanpa mengira kaya atau miskin), langkah menaikkan kadar cukai ini dapat membantu Kerajaan dalam mengutip lebih banyak hasil buat negara. Menurut analisis Deloitte Malaysia, Kerajaan dijangka mampu mengutip tambahan hasil cukai perkhidmatan sebanyak RM900 juta pada tahun hadapan menerusi kenaikan kadar cukai tersebut.

Antara alternatif lain yang mungkin boleh turut dipertimbangkan ialah dengan menaikkan kadar cukai pendapatan. Namun, hanya 16.5% daripada sekitar 15 juta pekerja di Malaysia layak untuk membayar cukai pendapatan.

Separuh daripada pekerja sektor formal di Malaysia menerima gaji lebih rendah daripada RM2,600 setakat Mac 2023, sehingga menyebabkan kebanyakan mereka tidak layak untuk membayar cukai pendapatan. Penengah gaji tersebut adalah lebih rendah berbanding gaji kehidupan wajar sebanyak RM2,700 yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2017. Sekiranya kadar cukai pendapatan dinaikkan sekalipun, ia mungkin tidak akan memberi sumbangan yang begitu signifikan kepada hasil negara. 

Nisbah Kutipan Cukai Kepada KDNK Malaysia adalah Antara yang Terendah di Asia Tenggara

Nisbah kutipan cukai kepada KDNK Malaysia adalah 11.8% pada tahun 2021, antara yang terendah di ASEAN

Jika dibandingkan, nisbah kutipan cukai kepada KDNK bagi Malaysia hanyalah 11.8% bagi tahun 2021, iaitu antara yang terendah jika dibandingkan dalam kalangan negara-negara ASEAN seperti Singapura (12.6%), Thailand (16.4%), Kemboja (18.0%), Filipina (18.1%) dan Vietnam (18.2%). Kutipan cukai haruslah selari dengan pertumbuhan KDNK supaya pembangunan negara dapat terus kekal mampan dalam jangka masa panjang. 

Antara indikator yang sesuai untuk menilai sama ada kutipan cukai mampu menyokong kemampanan fiskal ialah keapungan cukai (tax buoyancy), yang dikira berdasarkan perubahan pada hasil cukai dibahagikan dengan perubahan pada KDNK negara. 

Terdapat tiga situasi bagi menggambarkan keapungan cukai bagi sesebuah negara. Pertama, sekiranya keapungan cukai melebihi satu, ia bermaksud bahawa hasil cukai berkembang lebih pantas berbanding peningkatan KDNK. Walaubagaimanapun, senario ini tidak begitu mampan kerana hasil cukai tidak selama-lamanya mampu untuk berkembang lebih pantas daripada KDNK. 

Kedua, jika keapungan cukai kurang daripada satu, hasil cukai berkembang lebih perlahan daripada KDNK. Akibatnya, hasil cukai menjadi semakin lemah dan berisiko menyebabkan Kerajaan tidak mampu untuk terus menampung perbelanjaan-perbelanjaan negara. 

Senario ketiga merupakan yang paling optimum, iaitu apabila keapungan cukai bersamaan dengan satu. Dalam erti kata lain, struktur hasil cukai adalah stabil kerana ia berkembang selari dengan KDNK, sekali gus mampu menyokong kemampanan fiskal negara dalam jangka masa panjang.

Nisbah kutipan cukai kepada KDNK bagi Malaysia dijangka akan turun kepada 10.8% menjelang 2030, sekiranya tiada polisi percukaian yang efektif.

Analisis yang dilakukan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) mendapati keapungan cukai bagi tempoh jangka panjang di Malaysia adalah agak baik, iaitu 1.10. Namun, kajian yang sama turut mengunjurkan nisbah kutipan cukai kepada KDNK bagi Malaysia akan turun kepada 10.8% menjelang 2030, iaitu 1.3% lebih rendah berbanding pada tahun 2019. Situasi ini akan bertambah buruk sekiranya Kerajaan tiada perancangan yang efektif untuk meningkatkan hasil negara menerusi kutipan cukai.

Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia edisi Oktober 2023 yang diterbitkan oleh Bank Dunia turut mendedahkan bahawa antara punca kutipan cukai di Malaysia terlalu rendah adalah disebabkan kurangnya kutipan cukai penggunaan dan pendapatan. Malah, kutipan cukai tidak langsung di Malaysia adalah tiga peratus lebih rendah jika dibandingkan dengan purata kutipan di negara-negara berpendapatan rendah. Hasil negara yang rendah akan menyebabkan perbelanjaan sosial turut menjadi rendah serta tidak begitu efektif dalam mengurangkan jurang ketidaksamaan. 

Maka, keputusan untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8%, beserta perancangan-perancangan lain seperti pelaksanaan cukai keuntungan modal (CGT), cukai barang bernilai tinggi dan cukai minimum global (GMT) mungkin boleh menjadi langkah permulaan dalam menambah baik hasil negara, selain membantu meningkatkan nisbah kutipan cukai kepada KNDK bagi Malaysia serta mencapai sasaran pengurangan defisit fiskal.

Polisi Percukaian Kerajaan Harus Lebih Konsisten

Namun begitu, langkah menaikkan atau memperkenalkan cukai baharu haruslah konsisten dengan inisiatif-inisiatif lain yang diumumkan Kerajaan. Antara yang wajar disemak semula ialah pelepasan cukai yang terus-menerus diberikan kepada pembeli kenderaan elektrik (EV) di negara ini. Meskipun pelepasan cukai ini diberi bertujuan menyokong perkembangan industri EV di Malaysia, langkah ini telah menyebabkan Kerajaan terlepas peluang untuk mengutip hasil cukai. 

Ketika ini, pembeli EV diberikan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500. Selain itu, mereka turut dikecualikan daripada menanggung kos duti import, duti eksais cukai jualan dan cukai jalan sehingga 31 Disember 2025. Pelepasan cukai yang diberikan secara ‘total’ sebegini wajar dinilai semula keperluannya memandangkan rata-rata pembeli EV merupakan golongan kaya, sedangkan pembeli kereta Axia pun turut dikenakan cukai jualan dan cukai jalan. 

Menurut Persatuan Automobil Malaysia (MAA), sebanyak 2,631 unit EV telah terjual di Malaysia sepanjang tahun lalu, iaitu peningkatan 860% berbanding tahun sebelumnya. Angka penjualan EV ini dijangka akan terus meningkat pada tahun-tahun yang berikutnya. Untuk tahun 2022, dianggarkan bahawa Kerajaan telah kehilangan sekurang-kurangnya RM3 bilion hasil pengecualian cukai yang menyeluruh untuk kenderaan-kenderaan elektrik.

Untung Berbilion Ringgit, Tetapi Hanya Bayar Cukai 1% Dari Keuntungan

MyEG hanya bayar cukai sekitar 1% sahaja daripada keseluruhan keuntungan RM1.63 bilion yang diraih antara 2017-2022.

Beberapa syarikat besar turut diberikan pelepasan cukai pendapatan sehingga 100%, meskipun merekodkan keuntungan ratusan juta setiap tahun. Sebagai contoh, MyEG dilaporkan hanya membayar cukai sebanyak RM18.4 juta, atau sekitar 1% sahaja antara tahun 2017-2022, walaupun meraih keuntungan berjumlah hampir RM1.63 bilion dalam tempoh yang sama. Pemberian pelepasan cukai ini diberikan kerana MyEG merupakan syarikat MSC (atau kini dikenali sebagai Malaysia Digital Status), iaitu syarikat-syarikat yang menyokong aktiviti ekonomi digital di negara ini. 

Syarikat-syarikat yang diiktiraf sebagai Malaysia Digital Status ini turut diberikan keistimewaan pioneer status (PS) di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986, yang membolehkan mereka menikmati pelepasan 100% bagi cukai pendapatan untuk tempoh sehingga 10 tahun. Ketika ini, terdapat lebih 2,700 syarikat Malaysia Digital Status, menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Tadbir Urus yang Baik Penting Untuk Elak Ketirisan dan Penyelewengan 

Apa yang paling penting dalam menguruskan hasil negara ialah memiliki tadbir urus yang baik supaya tidak berlakunya sebarang ketirisan dan penyelewengan. Tadbir urus yang cekap akan membantu memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan. Antara yang patut menjadi keutamaan ialah Kerajaan haruslah membelanjakan hasil-hasil yang dikutip ini untuk membantu rakyat seperti menambah peruntukan bagi bantuan tunai isi rumah dan melaksanakan projek-projek infrastruktur asas, terutamanya di kawasan luar bandar.

Urus tadbir yang baik juga dapat memastikan tahap pematuhan cukai dalam kalangan rakyat berada di paras yang baik. Perkara ini mustahak, lebih-lebih lagi memandangkan berbilion-bilion hasil kutipan cukai bocor akibat pengelakan cukai. Menurut statistik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), lebih 31,000 entiti dikenal pasti telah melakukan pengelakan cukai, terdiri daripada individu, perniagaan dan syarikat. Kerugian akibat pengelakan cukai ini sahaja dianggarkan berjumlah RM665 juta.

Sekiranya wang cukai yang dikutip ini telah diselewengkan, rakyat mungkin hilang rasa percaya terhadap kredibiliti Kerajaan. Sebagai contoh, skandal 1MDB yang berlaku telah menyebabkan Kerajaan Malaysia menanggung hutang besar (dan juga malu besar di peringkat antarabangsa). Jumlah hutang yang terpaksa dibayar akibat skandal 1MDB dijangka mencecah RM53.5 bilion. Daripada jumlah tersebut, 81.9% atau sebanyak RM43.8 bilion telah dilangsaikan Kerajaan setakat pertengahan Mac tahun ini. 

Jika dicampur dengan bantuan-bantuan ala ‘bailout’ yang disalurkan Kerajaan terhadap institusi-institusi yang mengalami masalah urus tadbir seperti Lembaga Tabung Haji, FELDA dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), hampir RM85 bilion wang pembayar cukai telah dibelanjakan bagi menyelamatkan entiti-entiti ini.

Apa yang dikesalkan ialah setiap kali berlakunya insiden-insiden skandal sebegini, Kerajaan akan terpaksa menanggung beban kewangan, tenaga dan masa yang begitu banyak untuk memperbetulkan semula kesilapan ini. Sedangkan, sumber-sumber wang, masa dan tenaga yang terhad ini sepatutnya boleh digunakan untuk membiayai program-program sosial atau projek-projek pembangunan yang lebih produktif dan bermanfaat buat rakyat.

Share via
Copy link