Ekonomi Malaysia Berkembang 5.0% Pada Q1-2022, Kadar Faedah Dijangka Dinaikkan Secara Berkala

Share it
Ekonomi tumbuh 5.0% pada suku pertama 2022

Ekonomi Malaysia meningkat 5.0% pada suku pertama 2022 dipacu oleh aktiviti di sektor perkhidmatan dan pembuatan. Pada suku pertama tahun sebelumnya, Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) Malaysia susut 0.5% setelah Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Sektor perkhidmatan dan pembuatan masing-masing tumbuh 6.5% dan 6.6% berikutan ekonomi dibuka semula setelah pelbagai perintah pencegahan Covid-19 dibatalkan. Walaubagaimanapun, aktiviti sektor perlombongan dan pengkuarian serta pembinaan menguncup pada suku pertama tahun ini.

Bank Negara Malaysia ( BNM ) masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun ini sekitar 5.3% hingga 6.3%. Beberapa faktor dijangka bakal merancakkan aktiviti ekonomi termasuklah pembukaan semula sempadan serta peningkatan permintaan domestik dan luar.

Walaubagaimanapun, isu konflik geopolitik, penularan varian baru Covid-19 serta peningkatan kos dikenalpasti oleh BNM sebagai risiko yang berpotensi merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Inflasi dijangka meningkat sekitar 2.2% hingga 3.2%

Inflasi pula diunjurkan untuk naik diantara 2.2% hingga 3.2% pada tahun ini setelah merekodkan inflasi sebanyak 2.5% pada tahun lalu.

BNM jelaskan bahawa pengetatan dasar monetari telah bermula setelah Jawatankuasa Dasar Monetari meningkatkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 2.00% didorong oleh peningkatan permintaan domestik.

BNM beri bayangan pengetatan dasar monetari yang bakal menyaksikan kadar faedah meningkat akan dilaksanakan secara berkala bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta memastikan harga kekal stabil.

Kewangan Kerajaan menyaksikan hasil yang diterima Kerajaan Malaysia naik 26.7% kepada RM62.8 bilion pada suku pertama 2022 berbanding RM49.5 bilion pada suku pertama tahun lalu. Manakala perbelanjaan operasi pula naik 3.8% kepada RM64.6 bilion.

Hutang Kerajaan pula meningkat 2.7% dari RM979.8 bilion pada tahun 2021 kepada RM1.006 trilion pada suku pertama 2022.

Keuntungan sektor perbankan meningkat pada suku pertama 2022

Sektor perbankan juga menyaksikan perkembangan positif apabila pendapatan faedah bersih telah naik  daripada RM14.7 bilion pada suku keempat 2021 kepada RM14.8 bilion pada suku pertama tahun ini. Manakala keuntungan sebelum cukai meningkat tinggi sebanyak 11.7% dari RM8.7 bilion kepada RM9.8 bilion.