Ekonomi Malaysia menguncup 0.5% pada suku pertama 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lalu menurut Bank Negara Malaysia. Berbanding suku sebelumnya, Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) Malaysia meningkat 2.7%.
Pertumbuhan suku ke suku ini dipacu dengan pertumbuhan permintaan domestik selain prestasi eksport yang memberangsangkan. Kesemua sektor dilihat berkembang terutamanya sektor pembuatan yang menunjukkan pertumbuhan sebanyak 6.6%.
Inflasi meningkat 0.5% pada suku pertama dan dijangka bakal meningkat tinggi diantara 6.5% hingga 7.0% pada April dan Mac tahun ini berikutan peningkatan harga minyak.
Bank Negara Malaysia masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara diantara 6.0% hingga 7.5% untuk tahun ini. Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 kembali dilaksanakan, BNM menjangkakan impak ekonomi PKP3.0 tidak seteruk PKP pertama yang dilaksanakan pada tahun lalu.
Rakyat dilihat selesa beralih dengan digitalisasi susulan pandemik dimana transaksi perbankan atas talian telah meningkat dari 3.9 bilion pada suku pertama 2020 kepada 6.1 bilion pada suku pertama tahun ini. Transaksi e-dompet juga naik 48% kepada 209 juta transaksi.
Pasaran buruh pula menunjukkan tanda pemulihan awal dimana kadar pengangguran menurun dari 4.8% kepada 4.7%. Bilangan individu yang mendapat pekerjaan baru juga telah meningkat dari 37 orang kepada 40 orang bagi setiap 100 orang yang kehilangan kerja.
Bank Negara turut menyatakan beberapa isu yang mungkin merencatkan pertumbuhan Malaysia. Peningkatan kes Covid-19 yang menjurus kepada langkah-langkah pencegahan penularan Covid-19 yang semakin ketat selain pelaksanaan program vaksin yang perlahan mungkin memberi risiko terhadap pemulihan ekonomi negara.
Laporan untuk suku kedua tahun ini dijangka bakal dikeluarkan pada pertengahan Ogos kelak.
Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY