” Biarkan Data Berbicara ” – Bolehkah Kita Percaya Dengan Tinjauan Politik?

Share it
67% Responden Berpuas Hati Dengan Prestasi Perdana Menteri

Kajian Merdeka Center mengenai persepsi orang ramai terhadap pentadbiran Perikatan Nasional dipertikaikan kerana data menunjukkan bahawa populariti Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri berada di paras yang tinggi.

Menurut Merdeka Center, data terbaru mereka mendapati populariti Perdana Menteri berada pada kadar 67%. Hanya 30% sahaja rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri manakala selebihnya enggan menjawab ataupun tidak pasti.

Berita ini sudah pasti mengukir senyuman buat ahli politik Perikatan Nasional kerana angka sokongan yang kekal tinggi dalam kalangan rakyat. Namun, ada sebilangan pihak mempertikaikan integriti dan kredibiliti bancian ini yang kononnya tidak representatif.

Menurut mereka, hanya lebih kurang 2,000 responden yang terlibat dengan soal jawab ini. Oleh itu, tinjauan ini tidak boleh disamakan dengan persepsi sebenar lebih kurang 30 juta rakyat Malaysia.

Ini merupakan satu kritikan yang tidak tepat kerana di dalam statisitk, bilangan sampel yang kecil bukan satu masalah yang besar untuk melakukan bancian yang baik. Apa yang penting, sampel ataupun responden yang diambil haruslah mencerminkan populasi rakyat Malaysia dari segi etnik, umur, lokasi, jantina dan sebagainya.

Pengelola data terbesar negara, Jabatan Perangkaan Malaysia sebagai contoh mengambil sampel daripada 85,000 isi rumah saja di seluruh Malaysia bagi menyiapkan Laporan Pendapatan Isi Rumah 2019 meskipun terdapat lebih tujuh juta isi rumah di Malaysia.

Manakala agensi analitik Amerika Syarikat, Gallup pula hanya mengambil lebih kurang 1,000 responden bagi mengukur tahap sokongan Presiden Amerika Syarikat walaupun negara Uncle Sam itu mempunyai populasi melebihi 300 juta orang.

Gallup Hanya Ambil Sampel Dari 1,023 Responden Untuk Tinjauan Politik di Amerika Syarikat

Selain Merdeka Center, Kajian INVOKE yang dibuat kepada Malay Mail turut meraih dapatan yang serupa. 69% responden menyatakan mereka berpuas hati dengan Perdana Menteri dan kerajaan persekutuan dalam menangani Covid-19 pada bancian yang dibuat Februari lalu.

Hanya 23% menyatakan mereka tidak berpuas hati manakala 8% enggan menjawab ataupun masih tidak pasti.

Mengapa Survei Dipertikaikan?

Survei selalu dipertikaikan oleh orang awam kerana ia tidak mengambarkan sentimen politik yang diperhatikan di dalam kehidupan harian seseorang. Pada masa kini, orang ramai terdedah dengan media-media sosial seperti Facebook dan Twitter yang menjadi medan kebebasan bersuara mengambil tempat.

Rata-rata komen di Facebook dan Twitter terhadap kerajaan ketika ini bernada negatif yang didorong kuat oleh isu kompaun dan pengurusan Covid-19. Hantaran Facebook isu peniaga Burger dikompaun di Kelantan minggu lalu umpamanya telah meraih 6,800 perkongsian dengan 8,600 komen-komen pedas daripada pengguna di sebuah laman Facebook.

Benteng kuat pembangkang, Twitter, juga mempunyai sentimen negatif berterusan terhadap pemerintahan sedia ada walaupun secara peratusannya, pengguna Twitter di Malaysia hanyalah 20% berbanding keseluruhan pengguna internet.

Berdasarkan kedua-dua platform tersebut, sebilangan pengguna media sosial merasakan terdapat sentimen negatif terhadap pentadbiran kerajaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun dapatan kajian menunjukkan sebaliknya.

Jadi apa yang berlaku sebenarnya?

Kajian diatas mempunyai limitasi-limitasi yang sememangnya diketahui oleh badan penyelidik. Sebagai contoh, kedua-dua bancian diatas dibuat menggunakan telefon sekaligus sukar untuk mendapatkan pandangan tepat daripada mereka.

Misalnya, jika seorang responden itu ingin menghabiskan sesi temubual dengan segera, dia mungkin hanya menjawab ‘ya’ untuk kesemua soalan yang ditanya.

” Adakah anda berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri? ” “Ya”

Terdapat juga isu ketidakjujuran dalam kalangan responden terutamanya rakyat Malaysia yang begitu sopan. Misalnya, penyokong kerajaan mungkin lebih senang untuk menyuarakan sentimen positif mereka kepada enumerator berbanding mereka yang kritikal dengan kerajaan.

69% Responden Berpuas Hati Dengan Prestasi Perdana Menteri Menurut Tinjauan Invoke-MalayMail

Golongan yang kritikal ataupun anti-kerajaan pula mungkin teragak-agak untuk menyuarakan pandangan politik mereka atas faktor-faktor keselamatan dan sebagainya. Oleh itu, di dalam bancian seperti ini, amat mudah untuk kita mendapati bahawa populariti terhadap kerajaan berada di paras yang tinggi.

Jadi, Bolehkah Kita Percaya Dengan Tinjauan Politik?

Secara amnya, tinjauan yang dilakukan adalah untuk mengukur sentimen terhadap sesuatu pihak. Ia tidak boleh diterjemahkan terhadap tahap sokongan sebenar terhadap mana-mana pihak politik oleh kerana limitasi-limitasi yang tertentu.

Meskipun tinjauan mempunyai pelbagai kelemahan yang boleh diperbaiki, ia satu petunjuk yang boleh dipertimbangkan untuk mengukur tahap sokongan rakyat terhadap sesuatu pentadbiran. Data Merdeka Center contohnya menunjukkan trend populariti Perdana Menteri menurun dari 74% pada Jun 2020 kepada 67% pada baru-baru ini.

Manakala kajian INVOKE-MalayMail turut menunjukkan populariti Perdana Menteri turun dari 75% pada Disember 2020 kepada 69% pada Februari 2021.

Bagi orang ramai, kita perlu meraikan kajian dan tinjauan yang dibuat oleh pelbagai organisasi ini. Di Amerika Syarikat, pelbagai pihak berkepentingan membelanjakan jutaan dolar untuk mendapatkan tinjauan politik yang boleh dipercayai. Meskipun dengan teknologi canggih, ramai pembanci membuat ramalan yang salah pada Pilihan Raya Presiden 2016 dimana mereka menjangkakan Hillary Clinton bakal menang.

Di Malaysia, hanya sejak tahun 2013 kita dapat lihat pelbagai pihak melakukan tinjauan politik.

Dari Institut Darul Ehsan, Ilham Center, Merdeka Center hinggalah INVOKE. Kini pelbagai kajiselidik dikongsikan dengan orang awam secara percuma. Ini merupakan satu perkembangan menarik terutamanya daripada penggemar isu politik dan sosial di negara ini meskipun kita perlu berwaspada dengan kajian-kajian yang dikeluarkan.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY