” Graduan kita tidak ada skill, tidak pandai Berbahasa Inggeris ” itulah tohmahan yang selalu menimpa graduan baru di Malaysia. Tidak kira berapa gred CGPA mereka atau dari institusi mana mereka graduate, graduan di Malaysia secara amnya dianggap sebagai tidak kompeten terutamanya dalam kalangan majikan dan tak lupa juga dengan sebilangan ahli akademik.
Hakikatnya, semua orang tahu. Ini hanyalah alasan sebilangan pihak untuk meletakkan kesalahan kepada graduan apabila isu graduan-graduan tidak bekerja atau underemployed timbul. Underemployed adalah suatu keadaan merujuk kepada pekerja yang bekerja di bawah kelayakan yang mereka ada.
Sebagai contoh, anak Mak Cik Kiah, Wan Faisal yang bekerja sebagai pemandu e-kelui meskipun mempunyai ijazah kejuruteraan dari universiti. Golongan seperti ini bekerja di suatu sektor yang mana kelayakan akademiknya tidak diperlukan pun.
Ada pula yang kata, ” baguslah anak-anak kita berniaga… Jadi usahawan “. Ya. Memang kita harus menggalakkan anak-anak muda menceburi bidang keusahawanan. Namun menjadi pemandu atau penghantar makanan bukanlah suatu langkah keusahawanan.
Apakah Sebenarnya Berlaku dengan Graduan?
Kadar graduan menganggur di Malaysia secara amnya rendah pada kadar 3.9%. Namun ini tidak mengambarkan realiti yang berlaku di negara ini. Pada tahun 2018, 25.3% dari pemegang ijazah pertama dilaporkan masih belum bekerja. Saban tahun, ratusan ribu pelajar telah graduate daripada institusi pengajian mereka. Sebagai contoh, pada tahun yang sama, seramai 341,000 pelajar telah bergraduasi dengan kebanyakkan mereka lepasan diploma dan ijazah.
Dengan jumlah keluar universiti yang begitu tinggi, industri tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan buat mereka ini. Laporan Bank Negara pada tahun telah mendedahkan masalah struktur tenaga buruh di Malaysia. Menurut mereka, jumlah pekerjaan yang dicipta kebanyakkannya adalah bukan untuk graduan tetapi lebih kepada pekerja berkemahiran rendah.
Dari tahun 2011 hingga 2017, hanya 37% pekerjaan baru merupakan pekerjaan berkemahiran tinggi. Selebihnya adalah pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah. Angka ini lebih rendah dari peratusan yang dicatatkan iaitu 45% untuk tahun 2002-2010.
Untuk melihat bertapa parahnya lagi isu graduan menganggur atau underemployed, dari tahun 2011 hingga 2016, terdapat 880,000 pelajar telah graduate namun hanya 650,000 pekerjaan berkemahiran tinggi yang mampu dicipta oleh industri.
Kegagalan industri mencipta peluang pekerjaan yang sewajarnya ini seringkali didiamkan bahkan mereka kemudiannya meletakkan kesalahan kepada anak muda yang baru keluar universiti. Ya, mungkin ada ramai yang tidak mempunyai kemahiran dalam beberapa aspek di alam pekerjaan. Namun perkara ini merupakan lumrah buat mana-mana pekerja baru untuk mula belajar apabila memulakan pekerjaan baru.
Tanya kepada ibu dan bapa kita? Adakah kita mereka memulakan kerja dahulu mereka tahu semua perkara untuk dibuat di pejabat. Mestilah tidak. Anda perlu mengambil beberapa minggu untuk membiasakan diri dengan benda-benda baru di pejabat.
Graduan masa kini bukan sahaja dihimpit dengan masalah tiada pekerjaan, mereka juga dibebani dengan hutang pengajian sehingga puluhan ribu ringgit terutamanya mereka yang melanjutkan pengajian di universiti swasta.
Menurut data Kementerian Pengajian Tinggi, hampir separuh daripada graduan yang belum bekerja ini membiayai pengajian mereka melalui PTPTN. Hanya kira-kira 25% daripada keseluruhan mereka yang membiayai pengajian mereka menggunakan wang sendiri atau lebih tepat lagi wang ibu bapa. Ini menunjukkan bahawa sebilangan besar graduan kita telah dibebani hutang untuk sesuatu yang sepatutnya menjadi hak mereka iaitu pendidikan.
Meskipun PTPTN tidak pernah mengeluarkan statistik rasmi mengenai jumlah purata hutang PTPTN peminjam mereka, pihak Ekonomi Rakyat telah membuat kiraan rambang berdasarkan jumlah peminjam PTPTN.
Laporan akhbar menyatakan terdapat kira-kira 2.9 juta peminjam PTPTN dan jumlah hutang PTPTN yang dijamin kerajaan adalah sebanyak RM40 bilion. Ini bermaksud secara purata, peminjam PTPTN mempunyai jumlah pinjaman sebanyak RM13,800 setiap orang. Angka ini adalah angka yang konservatif kerana ia turut melibatkan peminjam-peminjam lama.
Untuk graduan yang baru tamat belajar, sudah semestinya mereka dibebani hutang yang lebih tinggi.
Bayangkan situasi graduan tersebut… Pasti kecewa dengan hakikat dunia yang tidak seperti diuar-uarkan dahulu.
Tujuh tahun lalu, selesai saja SPM, mereka begitu teruja untuk melanjutkan pengajian di universiti. Kononnya apabila tamat belajar, mereka akan memperoleh pekerjaan yang bagus dan mendapat gaji yang setimpal. Ini memberikan mereka peluang untuk membina kehidupan yang bermakna dengan gaji yang lebih tinggi.
Realitinya, setelah bertungkus lumus memerah otak bertahun-tahun di universiti, tiada pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan ditawarkan apabila tamat belajar. Jika ada sekali, gaji yang dibayar pula rendah. Dalam masa yang sama, perlu berikhtiar pula untuk membayar ansuran bulanan PTPTN.
Artikel bahagian kedua mengenai graduan boleh dibaca di [ klik sini ]