Dengan populasi seramai 7.5 juta orang, Hong Kong sebuah wilayah yang termaju di Asia dinobatkan sebagai lokasi paling mahal untuk didiami bagi pekerja yang bekerja luar negara menurut firma perundingan Mercer.
Purata kos sara hidup bulanan di Hong Kong mencecah HK$20,400 (RM11,800) seorang dengan 43.6% wang dibelanjakan untuk tujuan sewa kediaman. Kos perbelanjaan ini lebih tinggi berbanding gaji penengah HK$19,800 yang direkodkan oleh pekerja di sana.
Persoalannya, mengapa kos sara hidup di negara tersebut begitu tinggi, hinggakan rata-rata warga Hong Kong berasa tidak gembira. Kaji selidik oleh HK.WeCARE menunjukkan skor kebahagiaan isi rumah di Hong Kong merudum kepada 5.63 mata pada tahun 2024, terendah sejak tujuh tahun yang lalu walaupun wilayah berkenaan merupakan antara wilayah dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita tertinggi di Asia.
Tanah Terhad
Sejarah perkembangan Hong Kong antara faktor yang menyumbang kepada kos sara hidup yang begitu tinggi di wilayah berkenaan. British telah menguasai Hong Kong pada tahun 1841 dan secara rasmi melalui Perjanjian Nanking (setelah Perang Candu Pertama) pada tahun 1843 apabila Dinasti Qing menyerahkan pulau Hong Kong kepada British.
Wilayah berkenaan mula dibangunkan oleh British untuk tujuan perdagangan yang kemudiannya menjadi hab dagangan utama mereka di Asia Timur.
Kekalahan Dinasti Qing pada Perang Candu Kedua pada tahun 1860 mengakibatkan wilayah Kowloon, yang berada di utara pulau Hong Kong turut diserahkan kepada British. British juga memajak selama 99 tahun tanah-tanah di New Territories pada tahun 1898 bagi memperkukuhkan kedudukan pertahanan mereka di Hong Kong susulan keberadaan empayar-empayar Barat yang lain di rantau itu.
Tempoh pemerintahan British di Hong Kong ini berakhir pada tahun 1997, apabila British menyerahkan kembali Hong Kong kepada China setelah tamatnya tempoh pajakan 99 tahun di New Territories.
Walaupun pulau Hong Kong dan Kowloon diserahkan selama-lamanya buat kepada British mengikut perjanjian, namun British yang telah lama melaksanakan dasar dekolonisasi berpendapat hampir mustahil untuk meneruskan penguasaan di wilayah berkenaan, memandangkan China juga langsung tidak berminat untuk memanjangkan tempoh pajakan New Territories kepada British.
Dalam tempoh 156 tahun pentadbiran British di Hong Kong dan sehingga kini, isu ketidakcukupan tanah merupakan masalah utama yang dihadapi oleh pentadbiran Hong Kong memandangkan wilayah berkenaan hanya berkeluasan 1,100km² dimana ¾ tanah-tanahnya tidak sesuai dibangunkan.
Keadaan ini menyebabkan tanah, yang merupakan komponen utama untuk tujuan pembangunan termasuk rumah menjadi terhad sekaligus menyebabkan kos pembinaan kediaman menjadi tinggi dan menyebabkan rumah dibina pada kadar saiz yang begitu kecil.
Hampir kesemua warga Hong Kong tinggal di apartment dengan saiz rumah yang didiami mereka hanyalah sebesar 483kps. Harga setiap kaki per segi juga tinggi, iaitu pada HK$12,523 bagi setiap kaki per segi.
Ini bermaksud secara amnya, rumah di Hong Kong yang saiznya lebih kecil berbanding flat Projek Perumahan Rakyat di Malaysia, adalah berharga sekitar RM6 juta.
Tidak hairan Hong Kong juga dikenali sebagai hutan konkrit, memandangkan bandar berkenaan dipenuhi dengan bangunan-bangunan tinggi, yang mana sebanyak 558 bangunan dilaporkan mempunyai ketinggian melebihi 150 meter.
Masalah ketidakcukupan ruang telah menyebabkan kadar sewa untuk premis-premis komersial juga meningkat tinggi, lantas menyumbang kepada harga barangan runcit yang tinggi.
Sebotol minuman Coca Cola dengan kapasiti 500ml dijual pada harga HK$15 ataupun sekitar RM8.70. Di Malaysia, botol Coca Cola 1.5l hanya dijual sekitar RM3.50 sebotol.
Dominasi dua supermarket, Park’n Shop dan Wellcome yang mengawal 84% jualan juga menyebabkan berlaku manipulasi harga yang menyebabkan warga Hong Kong membayar pada harga yang tinggi untuk barangan keperluan.
Banyak sektor lain juga hanya didominasi oleh sebilangan kecil pemain perniagaan. Barangan farmaseutikal dan penjagaan diri di Hong Kong hanya dimonopoli oleh Mannings (dikenali sebagai Guardian di Malaysia) dan Watsons.
Fenomena ini juga merupakan satu yang ironik buat Hong Kong, kerana wilayah tersebut seringkali diangkat sebagai contoh terbaik terhadap sistem kapitalisme, meskipun sebahagian besar sektor ekonomi di wilayah berkenaan hanya dimonopoli oleh sebilangan kecil entiti perniagaan.
Autonomi Semakin Terhakis
Setelah 28 tahun diserahkan kepada China, warga Hong Kong turut berdepan cabaran untuk mengekalkan autonomi mereka. Banyak autonomi yang diberikan kepada wilayah itu dihakis sedikit demi sedikit oleh pentadbiran China di Beijing, meskipun Undang-Undang Asas Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) Hong Kong yang ditandatangani bersama British berkait penyerahan Hong Kong kepada China menjamin autonomi wilayah itu sehingga tahun 2047 iaitu 50 tahun selepas tarikh penyerahan.
Calon yang ingin bertanding di dalam Majlis Legislatif (LegCo) harus melalui proses tapisan oleh vetting committee bagi sebelum dibenarkan bertanding. Kes-kes mahkamah berkaitan keselamatan negara harus dijalankan oleh hakim-hakim keselamatan negara yang dilantik oleh Ketua Eksekutif Hong Kong.
Terdahulu pada tahun 2020, Hong Kong juga ingin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Ekstradisi yang membenarkan penjenayah-penjenayah diekstradisi ke China, tetapi RUU ini ditarik balik setelah pentadbiran Hong Kong menerima protes besar-besaran warga Hong Kong.
Hong Kong Bakal Tenggelam, Dibayangi Bandar-Bandar Besar Lain Di China
Kini, Hong Kong bergelut dengan pertumbuhan yang rendah. Ekonomi Hong Kong yang merupakan Wilayah Pentadbiran Khas China diunjurkan hanya berkembang sekitar 2.5% untuk tahun 2024, jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan sekitar 5.0% di keseluruhan China.
Pada tahun 1997, Hong Kong menyumbang 18% kepada saiz ekonomi China. Kini, wilayah itu hanya menyumbang sekitar 2.0% kepada China. Prospek pertumbuhan yang rendah di Hong Kong ini didorong oleh kematangan ekonomi di wilayah berkenaan, dimana lebih 50% ekonomi Hong Kong disumbangkan oleh sektor perkhidmatan.
Hong Kong sukar mengekalkan momentum pertumbuhan oleh kerana sektor seperti kewangan tidak mempunyai trajektori pertumbuhan yang tinggi, berbeza dengan sektor-sektor lain seperti Sains dan Teknologi.
Fokus bagi pentadbiran Beijiing sekarang ini juga lebih tertumpu di rantau lain seperti bidang e-Dagang dan Ekonomi Digital di Hanzhou, Pertanian dan Tenaga Boleh Baharu di Shandong, Politik dan Hub Inovasi di Beijing serta Kewangan dan Pusat Dagangan di Shanghai.
Zaman kegemilangan Hong Kong sebagai salah satu bandar utama di China telahpun berakhir. Jika dahulu, warga China (Mainland Chinese) berhijrah ke Hong Kong untuk mendapatkan peluang kerjaya yang lebih baik. Kini, banyak laporan menunjukkan warga Hong Kong pula mula merantau ke wilayah-wilayah lain seperti Shenzhen dan Guanzhou untuk mencari rezeki dengan prospek kerjaya yang lebih meyakinkan.