Industri Penerbangan Dunia Rugi RM484 Bilion, Lebih Tinggi Dari Jangkaan Awal

Industri Penerbangan dunia | ekonomi rakyat
Share it

 

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa ( IATA ) mengunjurkan industri penerbangan global rugi RM484 bilion pada tahun ini. Angka kerugian ini hampir tiga kali lebih tinggi berbanding jangkaan awal yang dikeluarkan IATA pada Mac lalu iaitu sekitar RM126 bilion.

Prospek kewangan industri ini pada tahun hadapan turut diramalkan akan terus berada di dalam kerugian meskipun situasi dijangka semakin pulih. IATA menjangkakan sektor penerbangan dunia kerugian RM158 bilion pada 2021 dengan jangkaan hasil sekitar RM1.8 trilion.

Menurut IATA, krisis Covid-19 ini memberi kesan yang terburuk kepada industri penerbangan semenjak Perang Dunia ke-2. Kerajaan di serata dunia terpaksa memberikan bantuan sebanyak RM706 bilion bagi memastikan syarikat-syarikat penerbangan kekal terapung tatkala kapal terbang mereka kekal di daratan.

Pendapatan bagi industri ini diunjurkan 50% lebih rendah berbanding ramalan asal sebelum Covid-19 disebabkan jumlah penumpang yang berkurangan. Persatuan ini menjangkakan industri penerbangan akan kembali meraih keuntungan pada suku keempat tahun hadapan berdasarkan perkembangan terhadap vaksin Covid-19.

Industri penerbangan antara sektor yang paling terkesan akibat Covid-19. IATA melaporkan sekitar satu juta pekerja di dalam industri ini diberhentikan gara-gara pandemik ini. Jumlah pekerja di dalam sektor ini berkurang dari 2.9 juta pada tahun lalu kepada 1.9 juta pada 2020.

Jumlah kapal terbang yang tersedia juga menurun dari kira-kira 29,700 unit kepada 24,500 unit kapal terbang pada tahun ini.

Di Malaysia, syarikat-syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Malindo telah membuang ribuan pekerja bagi mengurangkan kos operasi mereka. Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airline Berhad pula dilaporkan telah memohon bantuan dari Khazanah Nasional sekitar RM2 bilion untuk kekal beroperasi.

Sektor penerbangan domestik di Malaysia kian suram selepas negara menghadapi gelombang Covid-19 yang ketiga setelah kembali aktif dari bulan Jun hingga September. Polisi negara-negara seluruh untuk mengehadkan kemasukan penumpang asing akan terus menjadi ancaman utama industri penerbangan untuk tempoh beberapa bulan akan datang sementara menunggu bekalan vaksin untuk tiba.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *