TopGlove Belanja RM774 juta Beli Balik Saham, Raih Untung RM1.8 Bilion

TopGlove Beli Balik Saham
Share it

Syarikat pengeluar sarung tangan, TopGlove dilaporkan telah membelanjakan RM774 juta untuk membeli balik saham. Bulan ini saja, TopGlove membeli balik lebih RM400 juta saham daripada pemegang saham menjadikan jumlah saham yang dipegang oleh perbendaharaan syarikat itu kini sekitar 115 juta saham.

TopGlove mula membeli balik saham mereka sejak September tahun ini selepas harga saham mereka meningkat mendadak gara-gara pandemik Covid-19 yang menyaksikan peningkatan permintaan sarung tangan.

Aktiviti membeli balik saham ini seringkali dikritik kerana ia bertujuan untuk memberi pulangan luar biasa kepada pemegang saham sesebuah syarikat. Pemegang-pemegang saham memperoleh keuntungan besar apabila syarikat membeli balik saham pada harga semasa yang lebih tinggi.

Langkah ini juga memberikan gambaran positif buat nilai sesebuah saham syarikat tersebut kerana meningkatkan Pendapatan bagi Setiap Syer ( Earnings Per Share ) disebabkan jumlah saham di pasaran terbuka yang berkurangan apabila syarikat membeli balik saham.

TopGlove merupakan antara pengeluar sarung tangan yang menerima durian runtuh berikutan pandemik Covid-19. Saham syarikat ini meningkat 350% dari RM1.55 kepada RM7.01 sekaligus menjadikan nilai pasaran syarikat ini berjumlah RM57 bilion.

Selain TopGlove, Supermax Berhad yang turut terjebak di dalam Glovemania turut dilaporkan membeli balik saham mereka. Syarikat yang dikuasai oleh Stanley Thai ini telah membeli balik saham mereka berjumlah RM132 juta sejak April lalu.

Nilai saham Supermax Berhad melonjak dengan tinggi apabila meningkat lebih 10 kali ganda dari RM0.69 kepada RM7.89. Artikel Ekonomi Rakyat beberapa bulan lalu menunjukkan pemegang saham terbesar Supermax, Stanley Thai meraih RM3.6 bilion kekayaan berikutan kenaikan harga saham Supermax lantas meletakkan beliau di tangga ke-15 sebagai orang terkaya di Malaysia.

Banyak pihak berpandangan bahawa syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan ini perlu dikenakan cukai durian runtuh kerana meraih keuntungan yang begitu besar akibat Covid-19 ini. Jumlah RM400 juta yang ingin disumbangkan kepada kerajaan sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat dianggap terlalu kecil untuk industri yang meraih keuntungan berbilion ringgit.

Untuk tiga suku pertama tahun ini, keempat-empat syarikat sarung tangan terbesar ini meraih keuntungan bersih RM4.5 bilion. Ini bermaksud keuntungan syarikat-syarikat ini adalah sekitar RM1.5 bilion untuk setiap suku.

Berdasarkan andaian di atas, syarikat-syarikat ini berpotensi untuk meraih keuntungan sekitar RM6 bilion pada tahun ini. Jika tambahan 25% cukai durian runtuh dikenakan terhadap keuntungan bersih syarikat-syarikat ini, kerajaan berpotensi meraih sekurang-kurangnya RM1.5 bilion cukai daripada mereka. Angka ini hampir empat kali ganda lebih besar dari sumbangan yang diberikan mereka kepada kerajaan.

Hasil daripada cukai durian runtuh ini boleh digunakan untuk membantu mereka yang terjejas secara langsung dan tidak langsung susulan Covid-19 ini. Kesannya terhadap syarikat-syarikat besar ini juga agak minimum kerana mereka masih lagi mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi berbanding tahun-tahun yang sebelumnya.

Risiko untuk syarikat-syarikat ini memindahkan operasi mereka ke luar negara juga begitu rendah memandangkan rantaian bekalan yang kukuh di negara ini. Selain itu, tidak realistik untuk sesebuah syarikat untuk memindahkan operasi perniagaan hanya kerana cukai yang dikenakan secara one-off.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *