Industri Perbankan Untung RM30 Bilion, Perlu Lanjutkan Moratorium Kepada Mereka Yang Memerlukan

Perbankan Malaysia Hapuskan faedah
Share it

Moratorium ansuran bulanan pinjaman yang diarahkan oleh Bank Negara Malaysia kepada bank-bank di Malaysia bakal berakhir pada September ini. Pelbagai pihak telah menzahirkan kebimbangan terhadap kemampuan sebilangan peminjam untuk membayar balik ansuran bulanan mereka tatkala situasi ekonomi yang masih tidak menentu.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia ( MTUC ) pada beberapa hari lalu mendesak kerajaan untuk melanjutkan moratorium ini sekurang-kurangnya kepada golongan B40 dan M40. Kebimbangan MTUC ini ada asasnya. Bilangan penganggur telah meningkat lebih 50% dari 525,500 orang pada Februari 2020 kepada 826,100 orang pada Mei.

Kadar pengangguran di Malaysia pula dijangka terus meningkat dalam beberapa bulan mendatang. Jabatan Perangkaan pula menjangkakan kadar pengangguran di negara ini meningkat kepada 5.5% akibat Covid-19.

Selain isu pengangguran, tenaga buruh turut semakin susut berikutan kesan Covid-19 ini. Jumlah tenaga buruh jatuh lebih 100,000 orang pada April berbanding bulan sebelumnya. Ada sebilangan pekerja pula diarahkan mengambil potongan gaji oleh pengurusan tertinggi.

Bank Perlu Lanjutkan Moratorium Kepada Mereka Yang Terdesak

Peminjam telah diberikan ruang untuk bernafas apabila bayaran balik pinjaman ditangguhkan sehingga September ini. Namun hakikatnya, ramai lagi masih bergelut untuk keluar dari krisis ini dan tempoh enam bulan mungkin tidak mencukupi untuk sebilangan mereka mendapatkan pekerjaan baru.

Pihak bank perlu mengambil kira situasi peminjam terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan dan mereka yang terpaksa mengambil potongan gaji. Peminjam yang berada dalam keadaan terdesak perlu dilanjutkan tempoh moratorium ansuran mereka untuk beberapa bulan lagi.

Manakala peminjam yang tidak mempunyai pendapatan yang stabil seperti mereka yang bekerja sendiri perlu dibawa ke meja perbincangan agar bayaran ansuran dapat dirunding semula supaya tidak membebankan peminjam.

 

Mampukah Bank Lanjutkan Moratorium?

Industri perbankan Malaysia merupakan antara industri yang konsisten dalam membuat keuntungan di Malaysia. Jumlah keuntungan 10 bank yang tersenarai di Malaysia pada tahun lalu adalah sebanyak RM30 bilion dimana Maybank saja memperoleh lebih RM8 bilion keuntungan.

Bahkan pada tahun 2008 dan 2009 dimana dunia sedang melalui Krisis Kewangan Global, industri bank masih mencatatkan keuntungan yang lumayan. Maybank sebagai contoh masih mencatatkan keuntungan sekitar RM700 juta pada 2009. Bank kedua terbesar berdasarkan nilai pasaran, Public Bank pula merekodkan keuntungan sebanyak RM2.5 bilion pada tempoh yang sama.

Dalam kata lain, industri perbankan di Malaysia boleh dianggap berdaya tahan dalam menghadapi detik yang mencabar seperti ketika ini. Melanjutkan moratorium untuk tempoh beberapa bulan lagi kepada mereka yang terkesan bukanlah sesuatu yang mustahil buat industri perbankan.

Selain MTUC, Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) antara organisasi yang menggesa kerajaan untuk melanjutkan moratorium ansuran bayaran balik pinjaman bank.