Kudeta Kelab Bolasepak Gergasi Eropah Gagal, Kuasa Penyokong Mendominasi

Share it
Manchester City, Arsenal, Liverpool, Juventus, Real Madrid & Barcelona antara pasukan pengasas Liga Super Eropah

Dunia bola sepak Eropah cemas minggu lalu apabila beberapa kelab bola sepak gergasi Eropah melakukan cubaan merampas kuasa untuk mewujudkan Liga Super Eropah yang bakal menggantikan Liga Juara-Juara Eropah UEFA. 

Cubaan ‘kudeta’ ini diketuai oleh Presiden Real Madrid, Florentino Perez dan disokong oleh pemilik Juventus, Andrea Agnelli. Turut sama bersubahat di dalam langkah ‘nakal’ ini adalah tiga pemilik kelab bolasepak Inggeris iaitu Joel Glazer ( Manchester United ), John Henry ( Liverpool ) dan Stan Kroenke ( Arsenal ) .

Keadaan mulai tegang apabila badan pengurusan Liga Perdana Inggeris mengeluarkan kenyataan minggu lalu menentang sekeras-kerasnya langkah mewujudkan liga elit ini selain menyifatkan tindakan ini sebagai bertentangan dengan semangat kesukanan.

Reaksi cemas Liga Perdana Inggeris ini ada asasnya. Enam daripada 12 kelab yang menjadi pengasas liga ini merupakan kelab Inggeris sekaligus menyebabkan mereka berpotensi kehilangan pasukan-pasukan gergasi dari liga mereka. Pasukan-pasukan ini juga mempunyai penyokong yang bertaburan di serata pelusuk dunia.

Bagi Presiden Real Madrid, langkah mewujudkan liga elit perlu disebabkan situasi kewangan yang meruncing akibat pandemik Covid-19. Walaubagaimanapun, ramai berpendapat bahawa ini hanyalah alasan segelintir pemilik kelab-kelab besar untuk menswastakan liga bolasepak untuk meraih keuntungan luar biasa.

Bank Amerika Syarikat, JP Morgan merupakan tok dalang yang cuba merencanakan projek Liga Super Eropah. Menurut laporan, sejumlah RM14 bilion bakal diagih-agihkan dalam kalangan kelab-kelab pengasas untuk pelaburan infrastruktur dan menampung kerugian akibat Covid-19.

Bantahan mula kedengaran dari pelbagai pihak. Ada yang mempertikaikan kewajaran pasukan seperti Juventus yang ingin bermain di liga elit ini sedangkan mereka tumpas di dalam Liga Juara-juara Eropah di tangan Ajax dan Porto untuk beberapa musim yang lalu.

Dengan jaminan tiada penyingkiran di dalam liga elit ini, langkah mewujudkan liga kayangan ini bakal menjamin kelab-kelab untuk kekal bermain di dalam liga tanpa perlu bersaing. Bagi tiga pemilik kelab Inggeris yang berasal dari Amerika Syarikat, perkara ini suatu yang normal buat mereka.

Di Amerika Syarikat, Major League Soceer dipertandingkan dalam kalangan 27 kelab yang tidak berdepan dengan penyingkiran kerana kesemua mereka merupakan pemilik francais liga tersebut.

Penyokong Membantah

Pengumuman besar yang dibuat oleh Perez disambut dengan reaksi kritikal dalam kalangan penyokong bolasepak kelab-kelab terlibat. Penyokong Chelsea berhimpun beberapa hari di Stamford Bridge bagi membantah keputusan pihak pengurusan Chelsea. Manakala legenda Manchester United, Eric Cantona menyifatkan bahawa kelab-kelab elit ini langsung tidak menghormati pandangan penyokong mereka.

Penyokong Arsenal pula membantah dengan menggunakan tanda pagar KroenkeOut, satu tanda pagar yang sebenarnya selalu dihamburkan kepada pengurus-pengurus mereka.

Setelah menerima tekanan berterusan dari pelbagai pihak, satu per satu kelab yang terlibat telah memutuskan untuk menarik diri dari saingan Liga Super Eropah. Bahkan bukan itu saja, pihak pengurusan kelab-kelab ini juga terpaksa memohon maaf kepada penyokong-penyokong mereka.

Kapitalisme Bolasepak Tewas

Kejayaan penyokong-penyokong bola sepak menggagalkan usaha menswastakan liga bola sepak Eropah merupakan kekalahan besar buat pihak yang ingin mengkomersialkan bola sepak ke peringkat tertinggi demi keuntungan peribadi.

Penulis akhbar The Guardian, Larry Elliot menyifatkan kelab-kelab ini cuba memonopoli liga untuk kepentingan peribadi dan enggan bersaing secara saksama. Dengan kegagalan yang memalukan, kelab-kelab ini hanya berjaya melakukan satu perkara saja, iaitu merosakkan jenama mereka sendiri.

Kutukan ini bukan hanya datang daripada luar. Akhbar ekonomi England, The Economist yang dimiliki oleh Andrea Agnelli ( melalui Exor Group ) turut memperli pemilik mereka sendiri dengan mengeluarkan artikel bertajuk ” Liga Super Eropah menjaringkan gol sendiri dengan hebat ” .