Laporan suku kedua 2021 Jalinan Digital Negara ( JENDELA ) menunjukkan kelajuan jalur lebar mudah alih menurun dari 25.6 mbps pada 31 Disember 2020 kepada 24.44 mbps pada 31 Mac 2021. Walaubagaimanapun, liputan premis yang mempunyai akses kepada internet fiber telah meningkat dari 5.4 juta kepada 5.7 juta dalam tempoh yang sama.
Kerajaan menerusi inisiatif fasa pertama JENDELA menyasarkan untuk memberikan liputan internet fiber kepada 7.5 juta premis menjelang akhir 2022. JENDELA juga menyasarkan kelajuan internet dapat ditingkatkan kepada 35 mbps manakala liputan 4G dapat ditingkatkan kepada 96.9%
Pada ketika ini, liputan 4G berada di paras 93.51% bagi kawasan yang mempunyai penduduk. Kerajaan juga menjangkakan rangkaian 3G dapat ditutup pada akhir tahun ini.
Di dalam fasa kedua, kerajaan akan memulakan kerja-kerja menyiapkan sistem 5G di dalam negara setelah liputan 4G berjaya dipenuhi sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12.
JENDELA merupakan perancangan prasarana digital komprehensif yang bertujuan untuk memenuhi permintaan terhadap akses internet mudah alih dan tetap yang berkualiti. Pelaksanaan JENDELA ini akan memberikan sokongan terhadap aktiviti yang dijalankan dari rumah seperti pengajian dan perniagaan atas talian.
Pelaksanaan JENDELA dijangka mengambil masa selama lima tahun dan akan dilaksanakan melalui dua fasa.
Laporan JENDELA ini juga melaporkan terdapat peningkatan aduan pengguna pada suku pertama tahun ini setelah Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dimulakan. Pada suku keempat 2020, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menerima 28,577 aduan. Pada suku pertama tahun ini, terdapat peningkatan aduan kepada 54,538 aduan.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa liputan 4G yang lemah sebagai punca utama aduan dibuat. Syarikat Celcom merupakan pengendali yang mempunyai aduan paling banyak dengan 14,460 aduan diikuti Digi dan Maxis untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY