Hutang negara atau dalam bahasa formalnya dipanggil Hutang Kerajaan Persekutuan sering kali mempunyai konotasi negatif buat khalayak awam. Hutang dianggap sebagai sesuatu yang buruk dan kemampuan kerajaan untuk tidak berhutang kerap dipuji dan dianggap sebagai pencapaian yang membanggakan.
Hakikatnya, hutang yang diambil oleh sesebuah negara berbeza dengan hutang yang diambil oleh isi rumah. Seperti yang kita tahu, ada hutang yang dianggap baik dan ada juga pinjaman yang dianggap sebagai hutang jahat.
Jika seseorang itu mengambil hutang untuk membeli rumah, secara amnya kita melihat langkah tersebut sebagai tindakan yang positif kerana rumah sesuatu aset yang harganya kebiasaannya meningkat, dan ia juga mengelakkan seseorang itu untuk membelanjakan wangnya untuk membayar sewa kediaman.
Pembelian kereta melalui pinjaman pula ada kalanya dianggap sebagai hutang yang negatif kerana susut nilai yang tinggi. Tetapi, jika tujuan pembeliannya digunakan untuk perkara yang betul, membuat pinjaman kereta bukanlah sesuatu yang benar-benar bermasalah.
Di Malaysia dan kebanyakkan negara-negara di dunia, kerajaan mengambil hutang dengan mengeluarkan bon bagi membiayai perbelanjaan pembangunan. Ini bermaksud hutang-hutang yang diambil oleh kerajaan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.
Pengambilan hutang yang diumumkan setiap tahun ketika pembentangan Belanjawan boleh digunakan untuk membina sekolah, projek infrastruktur ataupun membina hospital.
Mengikut beberapa akta yang digubal, hutang yang dibuat kerajaan juga tidak boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan operasi. Dalam kata lain, perbelanjaan seperti membayar gaji penjawat awam tidak boleh dibiayai daripada hutang yang dibuat kerajaan.
Ini bagi memastikan perbelanjaan mengamalkan prinsip pengurusan fiskal yang berhemah.
Buat masa sekarang, Malaysia membenarkan hutang negara setinggi 60% daripada saiz ekonomi Malaysia. Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz beberapa hari lalu pula menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan had hutang negara kepada 65% bagi memberi ruang fiskal kepada kerajaan untuk berbelanja.
Selain itu, kerajaan juga tidak dibenarkan untuk membelanjakan lebih daripada 15% hasil bagi tujuan pembayaran faedah. Langkah ini juga dibuat bagi memastikan disiplin fiskal terjaga.
Tempoh pentadbiran Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan pada tahun 90-an seringkali dijadikan sebagai bukti kecekapan pentadbiran beliau kerana kerajaan untuk beberapa kali telah membentangkan belanjawan lebihan yang bermaksud kerajaan tidak mengambil hutang bagi membiayai segala perbelanjaan kerajaan.
Hakikatnya, keadaan sedemikian sememangnya perlu diambil kerana kadar pertumbuhan pada ketika itu begitu tinggi iaitu sekitar 7%. Secara tidak langsung, perkembangan saiz ekonomi negara yang begitu rancak memberikan pilihan untuk mendapatkan hasil negara yang tinggi selain tidak perlu berbelanja besar untuk tujuan-tujuan sosial kerana keadaan ekonomi yang sihat.
Jika pada hari ini kerajaan membuat belanjawan lebihan ( tidak mengambil hutang untuk berbelanja ), ahli-ahli politik sudah pasti mengecam kerana ia bermaksud kerajaan enggan berbelanja lebih kepada rakyat. Bahkan jika belanjawan lebihan diamalkan, ini juga bermaksud bahawa kerajaan mengutip lebih banyak cukai berbanding menyalurkan kembali hasil cukai dan pendapatan kerajaan kepada rakyat.
Menurut ahli ekonomi terkemuka, Prof Jomo KS, belanjawan lebihan harus diamalkan apabila ekonomi semakin rancak manakala apabila ekonomi mula lembap, belanjawan defisit perlu diambil bagi melawan kitaran tersebut.
Ada Juga Hutang Buruk!
Hutang 1MDB, antara yang hutang jahat yang perlu dibayar oleh segenap rakyat Malaysia. Meskipun hutang 1MDB tidak berada di dalam komponen hutang kerajaan persekutuan, namun ia tetap terpaksa dibayar oleh kerajaan setelah entiti berkenaan gagal untuk membayar balik ansuran hutang mereka.
Pada tahun 2020, kerajaan menjamin hutang 1MDB sebanyak RM32.3 bilion. Dan apa yang lebih mengecewakan, dari April 2017 sehingga September 2020, kerajaan terpaksa membelanjakan RM9.4 bilion bagi memenuhi komitmen hutang 1MDB.
Jumlah ini bukanlah sedikit, ia hampir bersamaan dengan satu pusingan Bantuan Prihatin Rakyat yang boleh diagihkan kepada jutaan isi rumah rentan di Malaysia. Namun rakyat Malaysia terpaksa membayar kepada satu pinjaman ‘peleburan’ yang tidak mendatangkan apa-apa hasil buat negara melainkan hanya merosakkan nama baik negara sahaja.
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul juga pernah menempelak hutang-hutang off-balance sheet yang dibuat pentadbiran terdahulu dimana banyak pinjaman yang diambil oleh 1MDB, SRC dan SSER tidak menjana pendapatan dan hasilnya juga tidak diketahui.
Hutang Harus Digunakan Untuk Tujuan Yang Betul
Hutang yang dibuat kerajaan kelak harus digunakan untuk tujuan yang benar-benar bermanfaat buat rakyat. Ini penting bagi memastikan kerajaan boleh membantu negara keluar dari krisis ekonomi yang telah dua tahun berlarutan.
Malaysia pada tahun 80-an ketika krisis komoditi pernah mencatatkan hutang negara melebihi 100% berbanding saiz ekonomi namun ia berjaya dikurangkan apabila ekonomi negara kembali rancak selepas itu.
Pada saat ini, usaha kerajaan untuk meningkatkan had hutang negara kepada 65% perlu disambut baik oleh semua pihak jika perbelanjaan yang dibuat itu benar-benar ingin memastikan pemulihan ekonomi negara dapat dicapai secepat mungkin.
Peningkatan kadar hutang ini sudah semestinya akan menimbulkan persoalan mengenai bagaimanakah kerajaan dapat mengutip hasil bagi membayar balik pinjaman di kemudian hari. Perkara ini perlu dibincang kemudian, yang penting sekarang, memetik semangat Mario Draghi, kita perlu ” do whatever it takes ” untuk keluar dari krisis ini secepat mungkin.