Mengapa Keputusan Membenarkan Graduan Asing Bekerja Akan Memburukkan Lagi Nasib Graduan Tempatan?

Share it

Hubungan antara buruh dan pembangunan ekonomi adalah sangat berkait rapat. Tenaga kerja yang mahir, di samping penggunaan kaedah pengeluaran yang berintensifkan modal, adalah diperlukan untuk memacu pembangunan ekonomi dengan lebih produktif. Kebergantungan yang tinggi terhadap kaedah pengeluaran tradisional yang berintensifkan buruh, terutamanya tenaga buruh berkemahiran rendah, hanyalah akan menyebabkan ekonomi negara tidak berjaya berkembang ke potensi yang sebenar. 

Pasaran buruh di Malaysia didominasi pekerja separuh mahir, iaitu seramai 9.7 juta (60%), diikuti dengan pekerja mahir (28%) dan pekerja berkemahiran rendah (13%)

Ketika ini, komposisi pekerja di Malaysia didominasi oleh pekerja dalam kategori separuh mahir dan yang berpendidikan menengah. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), setakat suku keempat 2023, Malaysia memiliki seramai 16.4 juta penduduk bekerja. Hampir 60% atau seramai 9.7 juta merupakan pekerja separuh mahir, diikuti dengan pekerja mahir (28%) dan pekerja berkemahiran rendah* (13%). 

*Pekerja berkemahiran rendah tidak sama sekali bererti mereka tidak mahir. Malah, ada sesetengah pekerjaan dalam kategori berkemahiran rendah seperti buruh pembinaan memerlukan kemahiran ‘hands-on’ yang mungkin tidak dapat dilakukan oleh seorang pekerja di pejabat yang dikategorikan sebagai pekerja berkemahiran tinggi. Penggunaan terma ‘berkemahiran rendah’  juga adalah bermasalah kerana ia menimbulkan persepsi yang negatif terhadap pekerja tersebut. Walau bagaimanapun, penggunaan istilah tersebut dalam artikel ini hanya mengikut pengelasan berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan, Malaysia (MASCO) 2013 yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan digunakan dalam laporan-laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Tahap kemahiran seseorang pekerja juga mempunyai hubung kait yang rapat dengan tahap pendidikan mereka. Disebabkan itu, trend yang hampir sama dapat dilihat antara taburan pekerja di Malaysia mengikut tahap kemahiran dan pendidikan yang dimiliki mereka.

Bilangan pekerja berpendidikan menengah adalah yang paling tinggi iaitu seramai 9.41 juta (58%) orang, diikuti dengan pekerja yang berpendidikan tertiari (32%). Selebihnya ialah pekerja yang berpendidikan rendah (8%) dan tiada pendidikan rasmi (3%).

Pecahan berdasarkan tahap pendidikan mendapati pekerja berpendidikan menengah adalah yang paling ramai di Malaysia, iaitu sebanyak 9.41 juta (58%). Kedua tertinggi ialah pekerja yang berpendidikan tertiari (32%). Selebihnya merupakan pekerja yang berpendidikan rendah (8%) dan tiada pendidikan rasmi (3%).

Baru-baru ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan graduan asing IPT tempatan bekerja di Malaysia. Cadangan ini dikatakan sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja mahir di Malaysia. 

Menurut beliau, isu kekurangan tenaga buruh mahir di Malaysia ini adalah sesuatu yang mustahak untuk diselesaikan bagi mengekalkan pelabur sedia ada serta menarik kedatangan pelabur baharu ke nagara ini. Beliau memetik contoh industri elektrik dan elektronik (E&E) yang memerlukan seramai 50,000 jurutera. Walau bagaimanapun, kata beliau, IPT di Malaysia setakat ini cuma mampu mengeluarkan seramai 5,000 graduan setahun dalam bidang itu. Ini dikatakan boleh menyebabkan pelabur ‘hilang sabar’ kerana masa yang lebih lama diperlukan untuk IPT di Malaysia memenuhi permintaan industri ini.

IPT di Malaysia Menghasilkan Hampir 90,000 Graduan Dalam Bidang Kejuruteraan, Pembuatan dan Pembinaan Pada Tahun 2022

IPT di Malaysia menghasilkan seramai 89,379 graduan dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan. 93.2% atau seramai 83,380 merupakan graduan tempatan.

Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2022, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia menghasilkan seramai 89,379 graduan* dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan. Daripada jumlah tersebut, 93.2% atau seramai 83,380 merupakan graduan tempatan. Graduan asing dalam bidang tersebut pula hanya mewakili 6.8% atau seramai 5,999.

*termasuk graduan daripada Universiti Awam (UA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Kolej Vokasional, Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dan Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP)

Persoalan yang wajar dibincangkan ialah adakah IPT di Malaysia tidak mampu mengeluarkan graduan yang cukup untuk menampung keperluan industri? Ataupun sebenarnya industri di Malaysia yang tidak mampu mencipta peluang pekerjaan yang cukup untuk menyerap graduan-graduan tersebut setiap tahun, sehingga menyebabkan berlakunya isu ketidaksepadanan pekerjaan?

Kerajaan Mengumumkan Kemasukan Pelaburan Berbilion Ringgit Saban Tahun, Namun Sejauh Manakah Ia Berjaya Mencipta Pekerjaan Mahir?

Saban tahun, sudah menjadi acara wajib Kerajaan untuk mengumumkan kemasukan pelaburan yang bernilai berbilion-bilion ringgit daripada luar. Pelaburan-pelaburan tersebut dikatakan mampu mencipta ratusan ribu peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. 

Misalnya, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia berjaya menarik sejumlah RM204.3 bilion pelaburan yang diluluskan sepanjang tahun 2018. Ia terdiri daripada pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM80.1 bilion (39.2%) dan pelaburan langsung domestik (DDI) sebanyak RM124.2 bilion (60.8%). Pelaburan-pelaburan ini dikatakan mampu mewujudkan sehingga 129,734 peluang pekerjaan dalam negara.

Namun, peluang pekerjaan yang bagaimanakah yang dicipta tersebut? Adakah pelaburan-pelaburan yang dibawa masuk ini hanya kebanyakannya mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran sederhana dan rendah?

Hanya 30% pekerjaan yang dicipta pada tahun 2022 ialah pekerjaan mahir. Sebahagian besarnya ialah pekerjaan separuh mahir.

Imbas ke hadapan beberapa tahun kemudiannya, sebanyak 116.7 ribu pekerjaan dicipta dalam pasaran buruh negara pada tahun 2022. Namun, 61% daripadanya, atau sebanyak 71 ribu ialah pekerjaan berkemahiran sederhana. Hanya 30% ialah pekerjaan mahir. Daripada 13 ribu pekerjaan yang dicipta dalam sub-sektor produk elektrik, elektronik & optikal, hanya 2 ribu (16%) merupakan pekerjaan dalam kategori mahir.

Jika diperhatikan pada trend penciptaan pekerjaan di Malaysia, jumlah pekerjaan mahir yang dicipta adalah hampir menyamai dengan pekerjaan separuh mahir. Malah, ada tahun-tahun tertentu seperti 2016 dan 2017 yang menyaksikan pekerjaan mahir dicipta lebih banyak berbanding pekerjaan separuh mahir. Walau bagaimanapun, kemampuan industri untuk mencipta pekerjaan mahir didapati merosot secara berterusan sejak tahun 2017 sehingga 2021, hanya meningkat sedikit sahaja memasuki tahun 2022. 

Isu Ketidaksepadanan Pekerjaan di Malaysia Semakin Meruncing

Hampir 1.9 juta pekerja di Malaysia berhadapan dengan isu ketidaksepadanan pekerjaan.

Lebih merisaukan, ramai dalam kalangan pekerja di Malaysia sebenarnya bekerja di bawah tahap kelayakan dan pendidikan mereka. Menurut DOSM, terdapat seramai 1.94 juta pekerja yang memiliki tahap pendidikan tertiari, namun bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah dan separuh mahir. Insiden ini juga disebut sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.

Kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran di Malaysia mencecah 37.4% pada suku keempat 2023. Ia mempamerkan trend peningkatan yang konsisten saban tahun, iaitu sebanyak 7.5 mata peratusan berbanding 29.9% yang dicatatkan pada suku pertama 2017. Kadar tersebut juga didapati agak tinggi dalam kalangan pekerja yang lebih muda, iaitu mereka yang berada dalam kumpulan umur 15-24 tahun (63.3%) dan 25-34 tahun (31.3%). Ini memberi gambaran wujudnya isu ketidaksepadanan pekerjaan yang berlaku dalam pasaran buruh di Malaysia, terutamanya melibatkan golongan muda.

Dalam Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2022, apabila ditanya kepada hampir 30 ribu graduan yang belum bekerja pada ketika itu, hampir 70% daripada berkata mereka sedang aktif mencari pekerjaan. Hampir 40% menyatakan telah menghadiri sesi temu duga sebanyak 2 hingga 4 kali. Malah, 9% juga berkata mereka telah pun menghadiri sesi temu duga lebih daripada lima kali.

Peluang Pekerjaan Harus Diberi Keutamaan Kepada Graduan Tempatan

Melihatkan kepada angka-angka di atas, adalah wajar untuk Kerajaan memperhalusi cadangan untuk membenarkan graduan asing IPT tempatan bekerja di Malaysia. Hal ini kerana sebarang peluang pekerjaan yang wujud, terutamanya pekerjaan mahir, haruslah diberi keutamaan kepada rakyat tempatan, terutamanya dalam merawat isu ketidaksepadanan pekerjaan yang dihadapi graduan tempatan. Ia sejajar dengan matlamat Ekonomi MADANI yang mahu menyokong anjakan mobiliti sosial dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi gaji dan pekerjaan yang bermakna.

Sejak puluhan tahun yang lepas, Malaysia telah menghadapi isu kebergantungan tinggi terhadap tenaga buruh asing berkemahiran rendah. Tindakan membenarkan graduan asing bekerja di Malaysia akan menyebabkan Malaysia bukan sahaja bergantung kepada pekerja asing berkemahiran rendah, tetapi juga yang berkemahiran tinggi di masa hadapan.

Kebergantungan Kepada Pekerja Asing Berisiko Merendahkan Gaji Pekerja Tempatan

Pelbagai kajian lepas juga telah menunjukkan kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing berkemahiran rendah akan menyebabkan gaji pekerja tempatan menjadi rendah. Misalnya, menurut kajian yang dilakukan Özden dan Wagner (2014), mereka mendapati bagi setiap peningkatan sebanyak 10% dalam bilangan pekerja asing di Malaysia akan berisiko menyebabkan pengurangan hampir 1% gaji pekerja tempatan yang bekerja dalam pekerjaan yang kurang mahir.

Meskipun graduan asing yang bakal diambil bekerja kelak ialah bagi mengisi kekosongan dalam pekerjaan mahir, kesan yang sama mungkin akan berlaku. Hal ini kerana pekerja asing secara kebiasaannya lebih sanggup untuk menerima gaji rendah berbanding pekerja tempatan.

Hampir tiga per empat graduan di Malaysia menerima gaji di bawah RM2,000 pada tahun 2022. Hanya 24% sahaja yang menerima gaji RM3,000 dan ke atas, menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2022.

Majikan Mungkin Akan Lebih Cenderung Mengambil Graduan Asing, Berbanding Graduan Tempatan

Sekiranya keputusan tersebut dibenarkan, majikan juga mungkin akan lebih cenderung untuk mengambil graduan asing bekerja, berbanding graduan tempatan, bagi tujuan menjimatkan kos. Walaupun majikan perlu membayar levi bagi mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementera (PLKS) untuk pekerja asing, kadar levi yang dikenakan terhadap sektor pembuatan hanyalah sebanyak RM1,850 setahun. 

Majikan boleh membuat penjimatan kos kerana mereka tidak perlu membayar caruman KWSP sekiranya mereka mengambil graduan asing bekerja. Hal ini kerana caruman KWSP pada ketika ini adalah tidak diwajibkan kepada pekerja asing. Penyertaan dalam skim caruman KWSP untuk pekerja asing hanya dilakukan secara sukarela, dengan syer sumbangan majikan sebanyak RM5 sebulan pada kadar yang tetap. 

Katakanlah dalam sebuah situasi antara seorang graduan tempatan dan graduan asing yang diambil bekerja dengan gaji RM3,000 sebulan. Untuk pekerja graduan tempatan, majikan perlu membayar sebanyak RM4,680 setahun ke dalam caruman KWSP (pada kadar caruman 13% sebulan). Manakala, levi tahunan yang dibayar untuk pekerja graduan asing pula hanyalah sebanyak RM1,850 setahun.

Bercakap soal gaji, timbul juga persoalan sejauh manakah pemain-pemain industri di Malaysia bersedia untuk menawarkan gaji yang kompetitif untuk mengambil graduan asing bekerja? Apa yang dibimbangkan ialah keputusan ini hanyalah akan menjadi sebuah cara untuk majikan-majikan mendapatkan pekerja mahir dengan murah, iaitu dengan mengambil kesempatan terhadap kesanggupan pekerja asing ini untuk menerima gaji yang rendah.

Di samping itu, cadangan ini seolah-olah memberi gambaran bahawa kualiti graduan asing adalah lebih baik berbanding graduan tempatan, sedangkan kedua-duanya mempelajari silibus yang sama di IPT. 

Sekiranya benar Kerajaan merasakan graduan tempatan tidak cukup mahir dan tidak bersedia untuk menampung permintaan industri dalam bidang-bidang baharu seperti dalam kecerdasan buatan (AI), maka ia menjadi tanggungjawab Kerajaan menerusi kementerian-kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk duduk bersama-sama dengan pihak industri bagi menyelesaikan isu ketidaksepadanan kemahiran yang wujud dalam kalangan graduan tempatan.

Silibus-silibus yang lapuk perlu diperbaharui dari semasa ke semasa bagi memastikan ia selari dengan keperluan industri yang semakin berkembang. Malah, ada antara subjek-subjek yang tidak berkaitan dengan bidang pengajian para pelajar mungkin perlu dirombak semula supaya subjek-subjek yang diambil mereka adalah lebih relevan dengan hala tuju kerjaya mereka.

Percanggahan Polisi, Bukti Kurang Koordinasi Antara Kementerian dan Agensi Kerajaan

Baru-baru ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuat pengumuman membenarkan pelajar tajaan mereka di luar negara untuk menangguhkan kepulangan mereka. Langkah ini dilaksanakan bagi memberi peluang kepada para pelajar bekerja di luar negara untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun selepas menamatkan pengajian. 

Walau bagaimanapun, polisi-polisi sebegini dilihat bercanggah antara satu sama lain. Sekiranya Kerajaan begitu serius mahu menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir dalam negara, sehingga mahu membenarkan graduan asing bekerja di Malaysia, bagaimana pula JPA boleh membuat keputusan membenarkan pelajar-pelajar tajaan mereka di luar negara menangguhkan kepulangan ke tanah air?

Keputusan-keputusan ini bukan sahaja menunjukkan kurangnya koordinasi antara kementerian-kementerian dan agensi-agensi Kerajaan dalam merangka polisi. Malah, ia turut memberi gambaran bahawa sebenarnya tidak begitu banyak pekerjaan mahir yang dicipta di Malaysia untuk diisi oleh pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di luar negara, sekembalinya mereka ke tanah air, sebagaimana yang telah ditunjukkan dalam data-data seperti yang dibincangkan di atas.

Sekiranya Kerajaan sememangnya mahu meneruskan polisi membenarkan graduan asing bekerja di Malaysia, antara aspek yang perlu diberikan perhatian adalah mengenai pemberian visa kerja. Ia harus dirangka dengan teliti bagi mengelakkan polisi yang bakal dilaksana tidak menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan untuk tempoh jangka panjang, serta mengelakkan daripada berlakunya insiden-insiden seperti tinggal melebihi masa yang dibenarkan (overstay).

Antara pelaksanaan cemerlang yang boleh dicontohi ialah inisiatif Visa Kerja Selepas Belajar (Post Study Work Visa) yang dikendalikan Jabatan Imigresen New Zealand. Melalui program visa tersebut, graduan asing dibenarkan untuk bekerja di negara tersebut untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun selepas menamatkan pengajian. Visa ini hanya boleh dimohon sekali sahaja dan pemegang visa juga dikehendaki untuk meninggalkan New Zealand sebelum berakhirnya tempoh visa, bagi mengelakkan insiden ‘overstay’.

Polisi sebegini jika dilaksanakan di Malaysia sudah tentu akan dijadikan sebagai sebuah tarikan unik untuk menarik kemasukan lebih ramai pelajar asing ke IPT. Lebih merisaukan, keputusan membenarkan mereka bekerja di negara ini selepas bergraduasi mungkin sukar untuk sewenang-wenangnya ditarik balik selepas ia dikuatkuasakan.

Utamakan Peluang Pekerjaan Buat Graduan Tempatan Bagi Elak Isu ‘Brain Drain’ Menjadi Lebih Parah

Purata dan penengah gaji yang diterima oleh pekerja mahir adalah lebih tinggi berbanding pekerja separuh mahir dan berkemahiran rendah.

Selain bagi meningkatkan produktiviti negara, pekerja mahir juga penting bagi membantu Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, seperti yang disasarkan menjelang tahun 2028. Hal ini kerana pekerja yang mahir lazimnya menerima pendapatan yang lebih tinggi daripada pekerja berkemahiran rendah dan sederhana.

Untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, ambang pendapatan kasar negara (GNI) yang ditetapkan ialah sebanyak AS$13,205. GNI Malaysia setakat tahun 2022 ialah sebanyak AS$11,056.5 (harga malar 2015). Jika dibandingkan, peratusan pekerja mahir di Malaysia secara relatifnya adalah lebih rendah daripada negara-negara berpendapatan tinggi seperti Singapura (63%), Australia (53%) dan Amerika Syarikat (44%).

Oleh yang demikian, usaha mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi harus dipergiatkan dengan lebih efektif sebagai satu cara untuk meningkatkan pendapatan rakyat agar Malaysia berada di landasan yang tepat menuju status negara berpendapatan tinggi. Pelaburan yang dibawa masuk juga sepatutnya diteliti sewajarnya sebelum ia diluluskan, sama ada ia mampu ataupun tidak untuk mencipta peluang pekerjaan yang berkemahiran tinggi.

Sekiranya isu-isu seperti ketidaksepadanan pekerjaan serta gaji rendah dalam kalangan graduan tempatan ini terus dibiarkan berlaku, dalam keadaan Kerajaan pula membuat keputusan untuk membenarkan graduan asing mengisi kekosongan jawatan mahir yang wujud dalam negara, tidak mustahil akan lebih ramai rakyat Malaysia yang berhijrah untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik di luar negara, sekali gus memburukkan lagi isu ‘brain drain’.