Mengapa Maklumat Yang Terlalu Banyak Menjadi Cabaran Besar Buat Pelabur Hari Ini?

Share it

Walaupun peluang untuk melabur hari ini semakin luas dan mudah diakses, masih ada segelintir rakyat Malaysia masih ragu-ragu untuk melangkah masuk ke dunia pelaburan. Jika suatu ketika dahulu pilihan pelaburan agak terhad dengan unit amanah seperti Amanah Saham Bumiputera sering menjadi pilihan utama, landskap pelaburan hari ini jauh lebih kompleks.

Pelabur kini mempunyai pelbagai pilihan. Daripada saham dan unit amanah, kepada bon, emas, serta instrumen baharu seperti mata wang kripto. Semua ini boleh diakses hanya melalui telefon pintar. Namun kemudahan ini datang bersama risiko baharu iaitu lambakan maklumat yang sukar ditapis.

 

Menurut Kevin Khaw, penganalisis penyelidikan di FSMOne Malaysia, cabaran terbesar pelabur masa kini bukan lagi kekurangan maklumat, tetapi sebaliknya terlalu banyak lambakan maklumat.

“20 tahun yang lalu, cabarannya adalah untuk mendapatkan maklumat. Tapi sekarang, anda boleh mendapatkan maklumat dengan mudah. Google, bahkan AI sekarang boleh kumpulkan maklumat untuk anda. Jadi anda dihujani oleh segala jenis maklumat. Itu cabarannya sekarang. Bagaimana kita meneliti dan menapis maklumat yang berguna.”

Apabila maklumat tidak ditapis, pelabur mudah terdedah kepada penipuan.

Statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan bahawa pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 5,017 kes penipuan pelaburan telah dilaporkan dengan jumlah kerugian mencecah RM667 juta. Tahun ini, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila kerugian meningkat kepada RM1.2 bilion dengan 8,121 kes direkodkan.

Dalam konteks ini, Kevin menjelaskan bahawa FSMOne berperanan untuk memastikan pelabur mendapat maklumat yang berkualiti dan berasaskan analisis yang sahih. Melalui platform FSMOne, pengguna boleh mengikuti perkembangan pasaran dan memahami langkah seterusnya yang wajar diambil berdasarkan keadaan semasa.

Menurut beliau, penggunaan kecerdasan buatan atau AI juga semakin membantu proses penyelidikan pelaburan.

“Daripada pasukan penyelidikan, kami sudah mula menggunakan AI untuk mendapatkan maklumat. AI memang membantu kita mendapatkan maklumat terkini serta menganalisis data yang boleh dimanfaatkan oleh pelabur.”

Dari sudut tingkah laku pelabur pula, Kevin melihat perbezaan yang ketara antara generasi. Pelabur yang lebih berusia cenderung menumpukan kepada instrumen yang menawarkan pendapatan stabil seperti bon, dana pendapatan tetap dan emas. Sebaliknya, golongan muda lebih berani mengambil risiko demi pulangan yang lebih tinggi.

“Gen Z umpamanya, mereka lebih berminat untuk mendapatkan keuntungan modal. Pulangan 4 hingga 5 peratus yang stabil belum cukup memenuhi selera mereka.”

Beliau turut menyentuh perbezaan kecenderungan pelaburan mengikut etnik. Pelabur Melayu, menurutnya, lebih cenderung kepada instrumen patuh syariah yang memberikan pulangan tetap serta pelaburan emas. Pelabur Cina pula lebih pelbagai dari segi pendekatan.

“Ada yang inginkan pendapatan yang stabil, ada juga dalam kalangan mereka yang inginkan pendapatan yang tinggi.”

Secara asasnya, instrumen pelaburan yang menawarkan pendapatan stabil lazimnya memberikan pulangan sederhana. Sebaliknya, pelaburan berisiko tinggi yang mengalami turun naik pasaran berpotensi menjana pulangan lebih besar, namun tidak semua pelabur bersedia menanggung risiko tersebut.

FSMOne Invest Expo 2026: Investing Profitably – Then. Now. Next.

Bagi membantu pelabur memahami realiti pasaran yang semakin kompleks, Kevin menjemput orang ramai menghadiri FSMOne Invest Expo 2026 yang dianjurkan setiap tahun. Ekspo ini bertujuan menyediakan maklumat penting mengenai keadaan pasaran semasa serta pilihan pelaburan yang ada.

Untuk edisi kali ini, FSMOne akan menampilkan pakar industri termasuk pengurus dana dan penyelidik pasaran bagi berkongsi pandangan tentang instrumen pelaburan, cabaran ekonomi, serta jangkaan pasaran bagi tahun 2026.

FSMOne turut menyediakan Zon Ask Me Anything, iaitu ruang interaktif yang membolehkan para peserta berhubung secara langsung dengan pakar-pakar dari FSMOne. Melalui sesi ini, peserta berpeluang bertukar pandangan, mengemukakan persoalan berkaitan pasaran, serta mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang langkah pelaburan seterusnya yang sesuai.

FSMOne Invest Expo 2026 akan berlangsung pada Sabtu, 10 Januari 2026, dari jam 10.30 pagi hingga 7.00 petang di Pusat Pameran Pavilion Bukit Jalil. Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM15,000.

Kemasukan adalah percuma dan pendaftaran boleh dilakukan melalui pautan dibawah;

https://bit.ly/4qtB8jP