” Kau dok buat apa sekarang? ” tanya Ketua Editor Ekonomi Rakyat kepada rakannya, Shuib ( bukan nama sebenar ) yang kini menanggung hutang PTPTN sebanyak RM30,000 bagi membiayai yuran pengajian ijazah penyiarannya.
” Aku freelance sekarang ini ” jawab Shuib ringkas.
Realitinya, Shuib masih belum mempunyai pekerjaan lagi namun menggunakan jawapan freelancer sebagai jawapan yang lebih menyedapkan hati. Situasi ini bukanlah asing lagi dalam kalangan graduan-graduan kita terutamanya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.
Data menunjukkan hampir 1/3 graduan ijazah pertama dari keluarga berpendapatan RM1,000 ke bawah tidak bekerja. Namun jumlah tersebut lebih rendah untuk keluarga berpendapatan tinggi dimana hanya 21.2% tidak bekerja untuk mereka yang datang dari keluarga yang berpendapatan RM8,500 ke atas.
Kita tidak perlukan diagnosis rocket-science untuk memgetahui kenapa ini berlaku. Kita semua tahu mereka yang datang dari keluarga berada mempunyai lebih akses kepada pasaran pekerjaan.
Contohnya mudah, Husin, anak Dato Rais baru saja tamat pengajian dari universiti. Dato Rais yang merupakan seorang CEO firma penyelidikan besar yang tinggal di Bukit Damansara hanya memerlukan satu panggilan untuk memastikan anaknya dapat pekerjaan di sebuah syarikat milik rakannya. Jika tidak dapat pun, paling kurang dia sendiri yang ambil anaknya bekerja.
Saiful, anak pekerja ladang di Perlis tidak mempunyai kesempatan yang sama. Beliau duduk di Perlis, dimana tidak ada pekerjaan yang cocok dengan kelayakannya. Bapanya pula tidak ada kenalan berpengaruh untuk melobi anaknya untuk diberikan pekerjaan. Saiful terpaksa menaiki KTM ke Kuala Lumpur dan tinggal di rumah saudaranya untuk beberapa minggu bagi menghadiri temuduga pekerjaan. Hakikatnya semua orang tahu, jawatan kosong di syarikat yang dihadiri oleh Saiful itu telah diambil oleh Husin, anak Dato Rais.
Itulah adalah kisah ringkas kenapa anak muda agak sukar untuk mendapat pekerjaan.
Ada yang sedikit bernasib baik iaitu mereka mendapat pekerjaan. Namun pekerjaan yang hadir tidak memberikan pulangan gaji yang setimpal. Seperti yang dilaporkan dalam artikel yang lalu, jumlah graduan yang keluar universiti kini melebihi jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang dicipta.
Perkara ini telah memberi kesan kepada gaji graduan itu sendiri. Menurut laporan Bank Negara, gaji permulaan graduan telah merosot berbanding beberapa tahun lalu selepas ditolak dengan impak inflasi. Sebagai contoh, gaji graduan diploma turun dari RM1,458 pada tahun 2010 kepada RM1,376 pada tahun 2018.
Pemegang ijazah sarjana muda juga mengalami nasib yang serupa. Gaji mereka telah susut dari RM1,993 kepada RM1,983 dalam tempoh yang sama.
Data Kementerian Pengajian Tinggi turut menunjukkan trend yang serupa. Hampir separuh graduan ijazah pertama memperoleh gaji permulaan tidak lebih dari RM2,000. Hanya kira-kira 14% saja graduan-graduan ini mendapat gaji lebih dari RM3,000.
Angka untuk pemegang diploma juga begitu menyedihkan. Lebih 86% daripada mereka memperoleh gaji permulaan kurang dari RM2,000. Hanya 10.7% memperoleh upah diantara RM2,001 hingga RM3,000. Dalam kata lain, graduan-graduan Malaysia tidak memperoleh gaji yang setimpal dengan kelayakan mereka.
Tidak hairanlah ada yang merungut di Twitter kenapa gaji jurutera masih RM1,800 pada tahun 2020. Bahkan terdapat sebuah buku ekonomi yang ditulis beberapa tahun lalu jelas menyatakan bahawa gaji jurutera pengeluaran di Malaysia dianggarkan berjumlah RM2,200 di sektor swasta pada tahun 1992.
Nasib graduan baru pada tahun 2020 lebih menyedihkan kerana mereka akan memasuki ke alam pekerjaan pada waktu ekonomi yang meruncing. Ketika ratusan ribu pekerja telah dibuang kerja dan kadar pengangguran semakin meningkat naik, peluang untuk graduan baru untuk mendapat kerja yang sesuai semakin tipis. Pelbagai kajian yang dilakukan juga menunjukkan terdapat impak negatif terhadap pendapatan kepada mereka yang memasuki pekerjaan sewaktu kemelesetan.
Quo Vadis Malaysia?
Malaysia kini berada di saat yang terbaik untuk menstrukturkan semula ekonomi yang berserabut akibat kelemahan pentadbiran terdahulu. Malaysia perlu mengambil kesempatan dari krisis Covid-19 ini untuk membuat operasi besar-besaran bagi menghantar pulang pekerja asing tanpa izin yang berada di Malaysia.
Umum mengetahui bahawa jumlah pendatang asing di Malaysia ini begitu ramai sehingga kita sendiri tidak tahu berapa jumlahnya. Mengikut perangkaan rasmi, Malaysia mempunyai pekerja asing yang sah sekitar dua juta orang. Mereka ini perlu dibenarkan terus bekerja dan kerajaan perlu memastikan mereka diberikan hak layanan yang baik oleh majikan.
Permasalahannya adalah pendatang asing tanpa izin, jumlah mereka ini juga dikatakan sama besar dengan jumlah pekerja asing yang sah. Tidak hairanlah data pada suatu ketika dahulu terdapat statistik yang menggemparkan kerana menunjukkan bahawa pendatang asing lebih ramai berbanding kaum India di Malaysia.
Lambakan pekerja asing memberi masalah kepada pasaran pekerjaan di Malaysia. Pekerja-pekerja Malaysia terpaksa bersaing dengan warga asing untuk mendapat pekerjaan. Bahkan pada tahun 2016, lebih 80% pekerjaan baru telah pergi ke warga asing bukannya pekerja tempatan. Berbeza dengan tahun 2011 dimana hampir keseluruhan pekerja baru diambil oleh pekerja tempatan.
Membawa pulang pekerja asing yang tidak sah akan memberikan peluang kepada pekerja-pekerja tanpa pendidikan tinggi untuk bersaing mendapatkan pekerjaan pada gaji yang lebih kompetitif. Jika graduan bersaing juga untuk pekerjaan-pekerjaan ini, paling kurang pun gaji yang ditawarkan tidak seteruk dahulu.
Penyelidik ekonomi, Zouhair Rosli berkata terdapat 1.3 juta pekerja asing yang bekerja dalam sektor separa mahir dengan peratusan yang tertinggi di sektor jualan dan perkhidmatan serta operator mesin. Pekerjaan-pekerjaan ini berpotensi untuk digantikan dengan pekerja tempatan sekaligus mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing.
Menurut beliau, gaji purata di sektor jualan dan perkhidmatan sekitar Rm2,000 dan jika tambahan RM300 sebulan diberikan bagi menarik pekerja tempatan untuk menggantikan pekerja asing, keuntungan yang diraih oleh perniagaan hanya berkurang 3% dan perniagaan masih memperoleh keuntungan sebanyak RM38,000 bagi setiap perniagaan.
Langkah ini tidak akan menyelesaikan keseluruhan permasalahan yang menimpa pasaran buruh terutamanya berkaitan graduan, namun ia langkah yang boleh diambil bagi menstrukturkan semula pasaran buruh agar dapat memberikan pampasan yang setimpal terhadap buruh tempatan.