Menteri Buruh Turki, Zehra Zumrut bersetuju menaikkan kadar gaji minimum di Turki kepada 2,826 lira ( RM1,536 ) sebulan pada tahun hadapan. Persetujuan ini dicapai setelah lebih tiga minggu rundingan dibuat diantara pihak kementerian Buruh, pekerja serta majikan yang menyaksikan gaji minimum meningkat 21% berbanding 2,324 lira ( RM1,263 ) pada kadar semasa.
Ekonomi Turki kini mengalami impak inflasi yang tinggi berikutan tukaran matawang asing Turki yang jatuh mendadak. Kadar matawang asing Turki telah jatuh lebih 20% berbanding dolar Amerika sekaligus meningkatkan kadar inflasi negara tersebut dimana Bank Pusat mengunjurkan inflasi pada tahun ini naik sekitar 12%.
Sementara itu, New Zealand pada awal bulan ini turut menaikkan gaji minimum bermula April tahun hadapan. Kadar gaji minimum ditingkatkan sekitar 6% dari $18.90 ( RM54.00 ) kepada $20.00 sejam ( RM 58.00 )
Seramai 144,000 orang di New Zealand dijangka menerima manfaat daripada peningkatan gaji minimum ini.
Langkah meningkatkan gaji minimum seringkali mendapat tentangan dari pihak majikan kerana menurut mereka, ia bakal meningkatkan lagi kadar pengangguran di dalam negara. Selain itu, kenyataan seperti kadar inflasi akan meningkat serta perniagaan akan ditutup kerana kos operasi yang tinggi turut menjadi hujah bagi menentang kenaikkan gaji minimum.
Di Malaysia, gaji minimum sepatutnya ditingkatkan pada tahun hadapan berdasarkan Akta Gaji minimum yang menyatakan kadar gaji minimum harus dikaji setiap dua tahun. Kali terakhir Malaysia meningkatkan gaji minimum di seluruh negara adalah pada tahun 2019 dimana gaji minimum ditingkatkan dari RM1,000 kepada RM1,100 sebulan.
Manakala di bandar-bandar besar, gaji minimum ditingkatkan pada Februari tahun ini kepada RM1,200 sebulan.