Pembeli dari China muncul sebagai pembeli barangan mewah terbesar di dunia pada sekitar tahun 2012. Mereka bukan sahaja membeli di China, malah turut melancong ke luar negara dan membeli barangan mewah di tempat seperti Eropah.
Peningkatan pendapatan dan permintaan terhadap barangan mewah oleh rakyat China terhadap produk tersebut menyebabkan Kerajaan mencari cara untuk menarik perbelanjaan ke dalam pasaran domestik daripada membiarkannya mengalir ke luar negara.
Kemuncak kepada pengukuhan pasaran barangan mewah di China berlaku ketika pandemik COVID-19 yang menyebabkan perjalanan ke luar negara terhad dan keadaan ini membuatkan pengguna China tertumpu kepada produk mewah tempatan sekaligus menjadikan pasaran domestik China sebagai pasaran penting untuk barangan mewah.
Selain memiliki kelebihan tenaga buruh yang murah, China memiliki ekosistem pembuatan yang berdaya saing tinggi melalui gabungan kepakaran teknikal, kepantasan pengeluaran dan konsistensi kualiti.
Rantaian Bekalan Tersembunyi Industri Fesyen Mewah?
Baru-baru ini telah tular gelombang video di Tiktok “mendedahkan” rantaian bekalan tersembunyi industri fesyen mewah.
Tindakan ini merupakan respon kepada tindakan Presiden AS, Donald Trump yang mengenakan tarif sebanyak 145% terhadap China.
Pekerja kilang, pemilik kilang dan penulis blog dari China menggunakan platform tersebut membuat dakwaan bahawa produk daripada jenama seperti Hermes, Gucci dan Louis Vuitton sebenarnya sering dihasilkan di kilang yang sama yang mengeluarkan jenama kurang dikenali, pada kos yang jauh lebih rendah.
China sememangnya memainkan peranan besar dalam rantaian bekalan global, termasuk industri fesyen.
Banyak komponen seperti aksesori logam, kain, atau proses separa siap memang dihasilkan di Asia, termasuk China.
Namun, bagi kebanyakan jenama mewah Eropah, proses akhir termasuk pemasangan, kemasan dan kawalan kualiti dilakukan di negara asal seperti Itali atau Perancis bagi mengekalkan status “Made in Europe”.
Spekulasi bahawa barangan jenama mewah pada umumnya “dihasilkan di China” tidak disokong oleh bukti sahih.
Realitinya adalah sektor ini mempunyai struktur rantaian bekalan global yang kompleks, di mana komponen tertentu mungkin berasal dari beberapa negara termasuk China, tetapi produk mewah premium sering disiapkan dan dikawal kualitinya di Eropah.
Adakah industri barangan mewah tergugat kerana China?
Artikel Forbes melaporkan bahawa permintaan pengguna untuk barangan mewah sedang merosot, dan kesannya menyebabkan penilaian jenama mewah turun selepas beberapa tahun pertumbuhan pesat yang dikenali sebagai “luxury supercycle”.
Bain & Company menjangkakan pasaran barangan mewah peribadi menyusut 2–5% tahun ini selepas turun 1% pada 2024.
Selain itu, laporan Interbrand Best Global Brands 2025 menunjukkan nilai gabungan 13 jenama mewah peribadi merosot 5% kepada AS$249.6 bilion, walaupun nilai keseluruhan 100 jenama global meningkat 4.4%, menandakan segmen mewah kini antara yang paling lemah.
Jualan LVMH pada tahun 2024 susut dari €86.2 bilion kepada €84.7 bilion, dengan segmen Asia (tidak termasuk Jepun) jatuh 11%. Manakala jualan Kering jatuh 12% dari €19.6 bilion kepada €17.2 bilion, dengan jualan di segmen Asia menjunam 24%.
Faktor Kemerosotan Permintaan Barangan Mewah Global
Antara faktor yang menyebabkan kemerosotan permintaan adalah penurunan perbelanjaan pengguna, terutama dari China. Pengguna di China merupakan pemacu utama pertumbuhan industri barangan mewah global.
Selepas lebih 10 tahun menjadi pasaran utama dunia, pertumbuhan ekonomi China yang kini lebih perlahan dan perubahan tabiat pengguna telah menyebabkan jualan jenama mewah antarabangsa semakin perlahan.
Pengguna di China lebih mengutamakan pengalaman dan jenama tempatan seperti Songmont, Laopu dan Mao Geping berbanding memiliki barangan mahal dari luar negara.
Generasi muda seperti Gen Z semakin menjauh daripada barangan mewah tradisional. Kumpulan ini lebih mengutamakan pengalaman, keaslian, kelestarian dan nilai peribadi berbanding pemilikan barangan berlogo besar.
Bagi mereka, status sosial tidak lagi ditentukan oleh jenama semata-mata, sebaliknya melalui identiti dan gaya hidup.
Selain itu, kenaikan harga barangan mewah yang agresif selepas pandemik turut melemahkan permintaan, khususnya dalam kalangan pembeli kelas pertengahan.
Golongan ini sebelum ini menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan industri, namun kini semakin berhati-hati dengan perbelanjaan apabila kos sara hidup meningkat.
Industri juga berdepan krisis persepsi terhadap nilai dan kualiti, apabila media sosial dipenuhi pendedahan kecacatan produk serta dakwaan rantaian bekalan yang kabur.
Ini menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap justifikasi harga premium yang ditetapkan oleh jenama mewah.
Kesimpulannya, industri barangan mewah bukan tergugat kerana China semata-mata, tetapi kerana perubahan tingkah laku pengguna global, tekanan ekonomi, serta kegagalan sesetengah jenama menyesuaikan tawaran mereka dengan jangkaan generasi baharu.

