Pendapatan Pelaburan Kasar KWSP Naik 58% Kepada RM19.3 Bilion Pada Suku Pertama 2021

Share it

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP ) merekodkan prestasi kewangan yang memberangsangkan untuk suku pertama tahun ini. Pendapatan pelaburan kasar KWSP meningkat 58% dari RM12.2 bilion kepada RM19.3 bilon pada tahun ini.

Pelaburan ekuiti menyumbang sebahagian besar daripada pendapatan KWSP. Sebanyak RM14.3 bilion diperoleh dari segmen ini yang bersamaan dengan 74% daripada keseluruhan pendapatan pelaburan. Selain itu, instrumen pendapatan tetap pula membawa pulangan sebanyak RM3.92 bilion buat salah satu tabung pencen terbesar dunia ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan prestasi mantap KWSP ini didorong oleh pemulihan ekonomi global sejak separuh kedua tahun lalu.

Aset pelaburan di bawah kawalan KWSP kini bernilai RM981.7 bilion dengan 36% daripadanya dilaburkan di luar negara. Pelaburan di luar negara menunjukkan pulangan yang lumayan buat pencarum KWSP dimana telah menyumbang 58% daripada keseluruhan pendapatan pelaburan yang diperoleh.

Seminar Saham

Kiraan kasar Ekonomi Rakyat menunjukkan pulangan pelaburan KWSP dari sektor ekuiti adalah sebanyak 13.2% secara tahunan, meningkat berbanding 9.1% pada suku kedua tahun lalu. Manakala pulangan pelaburan melalui instrumen pendapatan tetap pula sekitar 3.5% setahun.

KWSP juga memaklumkan bahawa skim i-Lestari dan i-Sinar telah membantu meringankan ahli KWSP yang tertekan akibat Covid-19. Sebanyak RM20.8 bilion telah diagihkan kepada ahli melalui kemudahan i-Lestari manakala RM50.9 bilion telah diagihkan melalui kemudahan i-Lestari.

Aliran keluar simpanan melalui dua kemudahan ini dianggarkan berjumlah RM80 bilion termasuk RM8 bilion yang masih lagi di dalam proses agihan.