Peneraju pasaran automotif negara, Perodua, melancarkan kenderaan elektrik pertama mereka, QV-E, disebut sebagai Queue-Vee, pada minggu lalu dengan pada harga RM80,000. Menggunakan tagline Malaysia’s First Homegrown EV, model ini dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan tempatan dengan kos pembangunan sekitar RM800 juta.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkan QV-E sebagai kejayaan anak tempatan.
Projek ini turut melibatkan kerjasama teknikal dengan Magna Steyr dari Jerman, syarikat yang mempunyai pengalaman panjang bersama Audi, BMW, Volkswagen dan Jeep.
Magna Steyr juga merupakan cabang kepada Steyr Daimler Puch, yang terkenal dengan penghasilan raifal Steyr.
QV-E menawarkan pecutan dari kosong ke 100km/sejam dalam tempoh 7.5 saat, dengan jarak pemanduan dianggarkan sekitar empat ratus empat puluh lima kilometer bagi sekali cas.
Walau bagaimanapun, perhatian terhadap pelancaran ini tidak kekal lama. Dua isu lain pula mencuri tumpuan ramai.
Isu pertama berkait dengan kesilapan dalam brosur pemasaran yang menyatakan penggunaan kenderaan hanyalah untuk tujuan patuh syariah. Perodua menjelaskan bahawa ia sekadar salah faham dalam komunikasi dalaman.
Isu kedua yang lebih penting melibatkan model jualan Battery-as-a-Service. Perodua memilih untuk menjual QV-E tanpa bateri. Pengguna perlu menyewa bateri pada kadar RM275 sebulan.
Keputusan ini mencetuskan perbincangan hangat. Perodua berhujah bahawa langkah ini mengekalkan nilai jualan semula kereta kerana pengguna tidak perlu menanggung kos penggantian bateri apabila kenderaan semakin berusia. Ia juga menurunkan kos awal pembelian dan menjadikan kereta elektrik lebih mudah dimiliki.
Perodua turut menegaskan bahawa konsep ini memastikan pelupusan bateri dilakukan secara lebih teratur dan mesra alam.
Namun reaksi pengguna bercampur-baur. Walaupun konsep Battery-as-a-Service pernah disentuh oleh beberapa wartawan automotif secara ringkas termasuk Hazeri Samsuri dari Careta, ia tidak pernah benar benar menjadi perbincangan umum. Terdapat laporan bahawa Perodua memilih model ini selepas meneliti survei pasaran yang mendakwa pengguna sedia menerima pendekatan tersebut.
Di peringkat global, konsep ini telah digunakan. Di China, syarikat NIO melaksanakannya sejak 2023. Sekitar 70% pelanggan mereka memilih pakej sewaan bateri kerana ia mengekalkan kos permulaan yang lebih rendah.
Di Malaysia, keupayaan model ini untuk berjaya masih belum dapat dipastikan. Perodua tetap mengambil langkah berani dengan menjadi perintis. Jika berjaya, ia mungkin membuka jalan kepada pengeluar lain.
Namun cabaran menanti. Pertama, sejauh mana pengguna bersedia membayar hampir RM110,000 untuk sebuah EV ketika Proton menawarkan e.MAS tujuh pada harga bermula RM106,000.
Ansuran bulanan dijangka mencecah RM1,100 sebulan.
Kedua, adakah pengguna benar benar bersedia menerima konsep sewaan bateri.
Dan yang paling penting, adakah penglibatan Perodua dalam pasaran kenderaan elektrik selari dengan identiti mereka sebagai pengeluar kereta mampu milik. Keputusan untuk turut terjun ke dalam segmen ini adalah sesuatu yang berisiko, kerana Perodua sering memasarkan kereta mereka sebagai produk mampu milik yang paling boleh diharap.
Jawapannya hanya akan diketahui dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Ketika itu barulah dapat ditentukan sama ada keputusan Perodua memasuki segmen kenderaan elektrik ialah langkah strategik yang tepat atau sekadar menjadi projek gajah putih, seperti pengeluaran model Perodua Nautica suatu ketika dulu, yang hanya terjual sebanyak 489 unit.
