
Dolar Amerika merupakan matawang paling berkuasa di dunia. 60% daripada keseluruhan rizab matawang asing bank-bank pusat di dunia disimpan melalui Dolar Amerika. Segala transaksi perdagangan global juga akan di’quote‘ harganya menggunakan Dolar Amerika.
Bukan itu sahaja, 40% daripada keseluruhan hutang-hutang global juga dikeluarkan menggunakan Dolar Amerika.
Tatkala dunia menjadi medan tempur pada perang dunia pertama dan kedua, suasana di Amerika kekal tenang dan aman meskipun mereka turut menjadi sebahagian daripada aktor utama di dalam perang dunia. Keadaan ini antara penyumbang kepada kebangkitan ekonomi negara berkenaan.
Kini, suasana ekonomi di Amerika Syarikat seringkali menjadi penanda aras kepada situasi ekonomi global. Matawang Dolar Amerika disimpan oleh pelabur-pelabur kerana dianggap sebagai sebuah matawang yang stabil dan selamat.
Namun, ada sisi gelap yang jarang diceritakan melibatkan Dolar Amerika.
Sejarah Dolar Amerika boleh ditelusuri sewaktu nilai Dolar Amerika diikat atau dijamin pada emas. Setiap auns emas adalah bersamaan dengan $35 dari tahun 1934 hingga 1972. Ini bermaksud jika anda hidup pada waktu itu, anda boleh menukar not $35 kepada satu auns emas di bank.
Namun gold-standard system ini tidak bertahan lama kerana bank-bank pusat di negara lain mula menukarkan simpanan Dolar Amerika mereka kepada emas pada awal tahun 70-an. Langkah ini menyebabkan rizab emas yang disimpan oleh Amerika Syarikat terus susut.
Pada tahun 1971, Presiden Nixon telah mengeluarkan arahan untuk melarang penukaran dolar ke emas sekaligus membuka jalan kepada sistem matawang fiat (tidak dijamin oleh mana-mana komoditi) yang ada sekarang.
Presiden Nixon sedar akan implikasi bahawa nilai matawang Amerika akan susut apabila gold-standard system tidak lagi diamalkan. Lantas, tokoh realpolitik terkemuka, Henry Kissinger yang merupakan Setiausaha Luar ditugaskan untuk mencari jalan untuk menstabilkan Dolar Amerika.
Turut membantu misi tersebut adalah Setiausaha Perbendaharaan, William Simon yang dilaporkan terbang ke Jeddah, Arab Saudi pada Julai 1974 bagi berunding beberapa perkara dengan Raja Faisal yang mengawal sebahagian besar pasaran minyak dunia.
Pada detik itu, Arab Saudi dan beberapa negara pengeluar minyak utama dunia baru saja menghentikan sekatan minyak terhadap Amerika Syarikat dan beberapa negara sekutu mereka. Punca sekatan adalah kerana sokongan Amerika Syarikat terhadap Israel yang terlibat dalam peperangan Yom Kippur dengan beberapa negara Arab.

Akibatnya, harga minyak mentah dunia ketika itu meningkat empat kali ganda dari $3 setong kepada $12 setong.
Kissinger faham bahawa hubungan Amerika Syarikat dan Arab Saudi amat penting bagi menjamin kestabilan politik di Timur Tengah serta ekonomi Amerika Syarikat. Tanpa import minyak dari Arab Saudi, hampir mustahil aktiviti ekonomi dapat berjalan dengan lancar di negara Uncle Sam itu.
Apatah lagi sektor automotif yang dipacu oleh General Motors, Ford & Chrysler berada di zaman kegemilangan mereka setelah mengeluarkan jutaan unit kereta setiap tahun. Amerika perlu memastikan bekalan minyak yang terjamin dan harga minyak yang murah bagi memastikan industri automotif mereka kekal rancak.
Mujur kesepakatan dapat dicapai dengan wakil Kerajaan Arab Saudi pada tahun 1974. Menurut laporan Bloomberg pada tahun 2016, Amerika Syarikat dilaporkan memberi jaminan untuk membeli minyak daripada Arab Saudi di dalam matawang Dolar Amerika dan membekalkan alatan ketenteraan kepada Arab Saudi.
Sebagai balasan, Arab Saudi yang menerima hasil yang lumayan melalui pembelian minyak tersebut perlu melabur di dalam bon-bon milik Amerika Syarikat. Keadaan ini telah mewujudkan situasi yang dinamakan sebagai Petrodollar dimana hasil-hasil jualan minyak berlegar di dalam matawang Dolar Amerika.
Perjanjian ini membolehkan Amerika Syarikat membiayai defisit fiskal mereka ketika itu melalui pembelian bon oleh Arab Saudi. Selain itu, Amerika Syarikat juga mempunyai kelebihan yang tinggi di dalam urusan jualbeli minyak mentah kerana matawang Dolar Amerika yang merupakan medium utama pembelian minyak mentah dibawah kawalan mereka.
Dalam erti kata lain, jika mereka tidak ada duit untuk membeli minyak, boleh saja mereka untuk mencetak dolar Amerika untuk membeli minyak daripada negara-negara pengeluar minyak.
Kewujudan Petrodollar juga membantu mengukuhkan nilai matawang Dolar Amerika itu sendiri. Ini kerana permintaan untuk matawang Dolar akan sentiasa terjamin kerana transaksi bernilai berbilion dolar melibatkan sektor minyak sentiasa menggunakan matawang tersebut.
Situasi ini membolehkan Dolar Amerika kekal mendominasi sebagai matawang utama dunia. Ada beberapa percubaan untuk mencabar dominasi Dolar Amerika di dalam pasaran dagangan dunia, namun sehingga kini, tidak ada ancaman yang mampu menyisihkan kebergantungan dunia terhadap matawang itu.