
Ahli ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berpendapat bahawa sasaran untuk meraih pendapatan purata isi rumah sebanyak RM10,065 sebulan sukar dicapai tanpa dasar dan strategi yang baik. Beliau yang diwawancara oleh Ekonomi Rakyat di Bukit Tunku, Kuala Lumpur menyatakan bahawa pendapatan isi rumah tumbuh begitu perlahan meskipun pada era sebelum Covid-19.
Dari tahun 2016 hingga 2019, pendapatan purata isi rumah hanya tumbuh sebanyak 4.3% dari RM6,958 sebulan kepada RM7,901 sebulan. Manakala pendapatan penengah isi rumah pula hanya tumbuh sekitar 3.95% dari RM5,228 kepada RM5,873 sebulan.
” Sekarang ini kita nak capai RM10,000 sebulan ( pendapatan purata isi rumah ), kita kena naik 7%. Bagaimana kita nak naik? Agak sukar dan tak masuk akal. “
Beliau juga berkata bahawa indikator pendapatan purata sebagai tidak tepat kerana ia tidak melambangkan keadaan sebenar majoriti isi rumah di Malaysia. Menurutnya, pendapatan isi rumah penengah sewajarnya digunakan kerana ia lebih mencerminkan pertumbuhan keseluruhan isi rumah di Malaysia.
Beliau menyatakan sasaran kerajaan mewujudkan kira-kira 1.3 juta pekerjaan berkemahiran tinggi tidak cukup untuk menyelesaikan isu underemployment ataupun guna tenaga tidak penuh dalam kalangan tenaga buruh di Malaysia sekaligus sukar buat Malaysia mencapai sasaran yang diletakkan.

Katanya, pekerjaan berkemahiran tinggi amat penting bagi pembangunan ekonomi sesebuah negara kerana ia akan mewujudkan golongan kelas pertengahan yang akan berbelanja dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Pada ketika ini, sasaran 1.3 juta pekerjaan berkemahiran tinggi akan hanya memenuhi tenaga buruh baru yang terdiri daripada kalangan graduan-graduan institusi pendidikan tinggi.
” Untuk menambah pendapatan isi rumah, salah satu caranya adalah melalui gaji yang lebih baik kepada golongan siswazah. Tiap-tiap tahun kita keluarkan lebih kurang 250,000 graduan. Jadi menjelang 2025, kita sasarkan lebih kurang 1.3 juta pekerjaan mahir kepada mereka. Tetapi kita lupa, sekarang ini kita ada 1.9 juta graduan underemployed. Golongan siswazah yang bekerja dibawah kemahiran mereka. “
Kata beliau, Malaysia sepatutnya meletakkan sasaran untuk mewujudkan 3 juta pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang tahun 2025. Langkah ini bagi memastikan kedua-dua golongan graduan baru dan graduan yang bekerja dibawah kelayakan mereka mendapat pekerjaan yang sewajarnya dengan gaji yang setimpal.
Ketika ditanya mengenai topik yang lebih dekat dengannya iaitu berkaitan ketidaksamaan, beliau berpendapat bahawa Rancangan Malaysia Ke-12 tidak menjurus kepada negara yang inklusif. Beliau mengambil dua indikator sebagai contoh iaitu pekali Gini dan agihan pendapatan golongan B40.
Sasaran yang diletakkan di dalam pekali Gini yang mengukur jurang ketidaksamaan pendapatan hanyalah 0.388 iaitu lebih tinggi berbanding sasaran RMK-11 iaitu 0.385. Pekali Gini yang tinggi melambangkan bahawa negara tersebut mempunyai jurang pendapatan yang tinggi dalam kalangan isi rumah.

RMK-12 juga hanya menyasarkan agihan B40 sebanyak 16.7% menjelang tahun 2025, jauh lebih rendah berbanding 20% yang disasarkan di dalam RMK-11.
” Bagi saya matlamat yang kita gunakan itu tidak tepat. Kita tidak serius untuk mengurangkan jurang di antara orang kaya dan orang miskin. Sasaran kita mestilah sasaran yang baik. Kita tengok negara mana yang inklusif, tengok negara-negara Nordic, Sweden, Finland Denmark dan sebagainya. Apakah indikator yang mereka gunakan “
Jurang ketidaksamaan di Malaysia kian melebar didorong krisis Covid-19 yang memberi kesan besar terhadap golongan berpendapatan rendah di Malaysia. Pekali Gini telah meningkat dari 0.401 pada tahun 2019 kepada 0.407 pada tahun 2020.
Agihan pendapatan buat golongan B40 dan M40 juga menurun masing-masing kepada 15.9% dan 36.9%. Manakala agihan pendapatan kumpulan T20 melonjak dari 46.8% kepada 47.2% pada tahun 2020.
Dalam kata lain, jika Malaysia mempunyai 10 orang dengan pendapatan keseluruhan RM100. Empat orang berpendapatan paling rendah hanya berkongsi pendapatan sebanyak RM15.90. Empat orang lagi berkongsi pendapatan sebanyak RM36.90 manakala dua orang berpendapatan paling tinggi meraih RM47.20.
Menjelang Belanjawan 2022, beliau berharap agar kerajaan berbelanja pada kadar yang lebih besar kepada golongan B40 dan M40. Dr Muhammed juga mengingatkan kerajaan untuk lebih cermat dalam berbelanja dan tidak menggunakan peruntukan-peruntukan kerajaan untuk perkara-perkara tidak sepatutnya.