Sampah, Bukan Sekadar Sampah

Bagi mereka yang lahir antara tahun 1990an sehingga awal 2000an, pastinya biasa menonton filem animasi WALL-E yang ditayangkan di pawagam sekitar tahun 2008. Filem animasi berdurasi 97 minit ini mengisahkan mengenai kehidupan sebuat robot yang bernama WALL-E, yang ditugaskan untuk mengutip timbunan sampah sarap yang begitu banyak di Bumi pada masa hadapan.

Digambarkan dalam filem animasi WALL-E ini, pada ketika itu manusia terpaksa berpindah dari planet Bumi kerana timbunan sampah sarap yang terlampau banyak ini menyebabkan Bumi tidak lagi sesuai untuk didiami manusia dengan selamat. Amalan membeli-belah serta pembaziran yang keterlaluan telah menyebabkan begitu banyak sampah terhasil sehingga memenuhi hampir keseluruhan kawasan Bumi.

Mungkin situasi planet Bumi pada ketika ini belum sampai tahap sebegitu teruk seperti yang digambarkan dalam filem animasi WALL-E. Namun, sedar ataupun tidak, sisa ataupun sampah semakin lama semakin banyak dihasilkan oleh manusia, baik yang berpunca dari aktiviti domestik isi rumah mahupun aktiviti komersial seperti aktiviti pertanian, projek pembinaan serta kilang pembuatan.

Malaysia Bakal Kehabisan Ruang Pembuangan Sampah Menjelang 2050

Di Malaysia misalnya, hampir 39,936 tan sampah dibuang setiap hari sepanjang tahun 2022, menurut data penjanaan kutipan sampah yang diterbitkan Harian Metro bertarikh 20 Julai 2021. Secara tahunannya, Malaysia menghasilkan hampir 13.5 juta tan sampah. Apa yang lebih merisaukan, angka ini semakin lama semakin bertambah seiring dengan pertambahan jumlah penduduk Malaysia.

Sebagai perbandingan, hanya 19,000 tan sampah dibuang setiap hari di negara ini pada tahun 2005, atau secara puratanya seorang rakyat Malaysia membuang kira-kira 0.8kg sampah sehari. Walaubagaimanapun, angka purata itu meningkat kepada 1.1kg sampah sehari pada tahun lepas, bersamaan dengan 39,936 tan sampah sehari!

Mungkin bagi rakyat Malaysia secara amnya, apa yang penting dalam hal ini ialah membuang sampah di tempat pembuangan sampah yang sepatutnya. Namun begitu, meskipun wujud tempat pembuangan serta pelupusan sampah, sekiranya sampah sarap ini terus menerus bertambah saban tahun, maka tidak mustahil tempat pembuangan sampah ini akan kehabisan ruang suatu hari nanti.

Menurut kenyataan Ketua Pegawai Operasi Alam Flora, Azahari Zainal Abidin, Malaysia dijangka kehabisan tempat pembuangan sampah menjelang tahun 2050 sekiranya trend peningkatan pembuangan sampah ini berterusan, lapor NST bertarikh 11 Mac 2023.

Lebih-lebih lagi, tidak semua sampah ini mempunyai tempoh pelupusan yang sama. Bagi sampah dalam kategori plastik misalnya, ada yang mengambil masa mencecah puluhan, malahan ratusan tahun untuk terurai secara semula jadi.

Mungkin ada yang beranggapan masalah sudah selesai apabila sampah ini dibuang ke tong sampah. Namun begitu, meskipun sampah ini berjaya dikumpulkan di tapak pembuangan sampah sekalipun, sebuah lagi masalah yang perlu dihadapi ialah pencemaran bau serta alam akibat pelepasan gas berbahaya seperti gas metana yang terhasil dari penguraian bahan kimia organik oleh bakteria.

Gas metana ini bersifat mudah terbakar serta berbahaya sekiranya dihidu oleh manusia. Beberapa tahun lepas, beberapa buah sekolah di Pasir Gudang, Johor terpaksa ditutup seketika apabila sekumpulan pelajar pengsan akibat terhidu gas metana yang dilepaskan ke sebuah sungai berhampiran oleh sebuah kilang yang tidak bertanggungjawab.

Dalam masa yang sama, segelintir rakyat Malaysia juga lebih suka membuang sampah merata-rata berbanding membuangnya di tempat pembuangan sampah yang sepatutnya. Golongan sebegini mempunyai tanggapan bahawa lambat-laun sampah tersebut akan dikutip juga oleh syarikat pengurusan sampah.

Sikap yang sedemikian menyebabkan kos menguruskan sampah menjadi lebih rumit serta mahal kerana sampah tidak dibuang di tempat yang sepatutnya. Sampah yang dibuang secara sesuka hati ini juga seringkali menjadi punca kepada longkang dan saluran air tersumbat, sehingga mengakibatkan fenomena banjir semakin memburuk sejak kebelakangan ini, terutamanya di bandar-bandar besar di seluruh negara.

Kos wang dan tenaga juga terpaksa dikeluarkan dengan begitu tinggi, semata-mata untuk membersihkan sampah yang terkumpul daripada sesuatu acara sambutan sahaja. Sebagai contoh, Alam Flora Sdn Bhd dilaporkan terpaksa mengutip hampir 9 tan sampah di sekitar KLCC, Bukit Bintang dan Dataran Merdeka ketika Sambutan Tahun Baru 2020.

Pengurusan Sampah di Malaysia Perlu Lebih Mampan dan Sistematik

Antara jalan keluar bagi memastikan pengurusan sampah di Malaysia lebih mampan dan sistematik ialah dengan menyemak semula kaedah bagaimanakah sampah-sampah ini diuruskan dari mula sehingga akhir.

Di Malaysia, undang-undang berkaitan pengurusan sampah tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672). Akta ini mula dikuatkuasakan pada 1 September 2011 di seluruh Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan kecuali Labuan, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Kelantan.

Lazimnya, perkhidmatan pengurusan sampah dan kebersihan awam bagi sisa pepejal isi rumah diswastakan kepada syarikat-syarikat seperti Alam Flora Sdn Bhd (Pahang, Putrajaya dan Kuala Lumpur) dan E-Idaman Sdn Bhd (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), terutamanya di negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan yang berada di bawah Akta 672.

Manakala di negeri-negeri yang tidak menandatangani Akta 672 seperti Selangor misalnya, syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management Sdn. Bhd. (KDEB) diamanahkan bagi menguruskan sisa pepejal di negeri tersebut.

Meskipun ketika ini terdapat 176 tapak pelupusan sampah di seluruh negara, konsep yang sering digunakan dalam pengurusan sampah di negara ini lebih tertumpu kepada pendekatan linear semata-mata, iaitu pengumpulan, penghantaran serta pemprosesan sampah semata-mata.

Sedangkan di negara-negara maju, kebanyakannya sudah mula menggunakan konsep ekonomi pekeliling (circular economy) yang lebih mampan dalam menguruskan sampah. Apa yang menariknya, konsep sebegini tidak memandang sampah itu sebagai sesuatu yang layak dibuang semata-mata tanpa sebarang nilai. Bahkan, konsep ekonomi pekeliling ini cuba sedaya upaya untuk memanfaatkan sampah yang dihasilkan ini, dengan pendekatan ‘waste-to-wealth’.

Sebagai contohnya di Singapura, sampah dibakar menggunakan insinerator. Haba yang terhasil daripada pembakaran sampah dalam insinerator ini dimanfaatkan untuk menjana elektrik bagi kegunaan domestik, turut dikenali dengan konsep waste-to-energy (WTE). Insinerator di Singapura mempunyai kapasiti pembakaran sampah sebanyak 2.8 juta tan setahun.

Abu yang terhasil daripada pembakaran sampah dalam insinerator ini seterusnya ditukarkan menjadi pasir yang dikenali sebagai NEWSand, yang boleh digunakan sebagai bahan projek-projek pembinaan. Penggunaan pasir ini dalam sektor pembinaan di Singapura lantas melengkapkan konsep ekonomi pekeliling tersebut.

Namun, apa yang menyedihkan di Malaysia, konsep ‘waste-to-wealth’ ini tidak digunakan untuk menguruskan sampah domestik dengan berkesan. Sebaliknya, konsep ini seakan-akan disalah erti apabila sesetengah golongan kapitalis di Malaysia tidak segan silu mengimport sampah yang dihantar daripada negara-negara maju seperti UK, Canada dan Perancis.

Lebih ironi, negara-negara maju ini turut sama tidak segan silu menerbitkan data dan statistik pembuangan sampah, konon-kononnya negara mereka lah yang paling sedikit mengeluarkan sampah. Manakala, negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Filipina dan Indonesia ditampilkan seolah-olah antara yang paling banyak membuang sampah didunia.

Undang-undang juga perlu dikuatkuasakan supaya insiden-insiden pembuangan sisa berbahaya seperti bahan kimia dan radioaktif oleh pihak industri yang tidak bertanggungjawab tidak berulang lagi sehingga menjejaskan tahap kesihatan penduduk setempat serta mencemarkan alam sekitar. Hukuman yang lebih berat wajar dikenakan ke atas mereka sebagai satu pengajaran yang lebih berkesan.

Sebagai contoh, baru-baru ini Kerajaan telah meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dengan menaikkan denda pencemaran air daripada RM100,000 kepada RM1 juta kepada pelaku jenayah pencemaran air. Hukuman penjara juga dipanjangkan daripada hanya setahun kepada 15 tahun.

Penggunaan Insinerator Mungkin Jawapannya, Namun Mampukah Malaysia?

Walaupun penggunaan insinerator yang mengguna pakai konsep WTE ini kedengaran seperti solusi yang terbaik buat Malaysia, namun beberapa isu perlu dilihat dengan lebih mendalam. Antaranya ialah kos operasi yang mencecah jutaan ringgit. Selain itu, bayaran yuran tipping bagi insinerator juga melebihi RM100 bagi satu tan sampah, jauh lebih tinggi berbanding RM30-RM40/tan yang dikenakan oleh tapak pelupusan sampah ketika ini.

Insinerator juga sesuai untuk dilaksanakan di Singapura kerana sisa makanan yang dihasilkan mereka begitu sedikit, kira-kira hanya 10% daripada keseluruhan sisa pepejal perbandaran (MSW) yang terkumpul. Manakala di Malaysia pada tahun 2018, lebih 15,000 tan sisa makanan dihasilkan dalam masa hanya satu hari, atau menyamai separuh daripada MSW yang dihasilkan, seperti yang disebut dalam sebuah kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sisa makanan yang secara semula jadinya basah ini menimbulkan kesukaran untuk dibakar dalam insinerator.

Namun, kajian UKM tersebut menekankan kepentingan kaedah pra-rawatan seperti pengeringan sisa makanan dijalankan terlebih dahulu supaya penggunaan insinerator akan menjadi lebih mudah untuk melupuskan sisa makanan ini. Hal ini kerana secara kebiasaannya, tidak ada masalah bagi insinerator untuk membakar sisa makanan. Apa yang menjadi masalah ialah jika sisa makanan itu basah, kerana akan menjejaskan haba dan tekanan insinerator tersebut.

Sebenarnya, sisa makanan juga berpotensi untuk ditukarkan menjadi pelet makanan haiwan ternakan dan peliharaan. Namun, disebabkan sisa makanan ini tidak diasingkan dengan begitu baik dan sering bercampur dengan sampah-sampah lain, maka proses dan kos untuk mengasingkan sisa makanan ini menjadi mahal dan rumit.

Maka disebabkan inilah, di samping memupuk kesedaran rakyat Malaysia supaya tidak membuang sampah merata-rata, apa yang lebih penting ialah memupuk mereka supaya bersederhana dalam membeli belah, agar sisa makanan dapat dikurangkan, terutamanya ketika musim perayaan atau musim bulan Ramadan. Hal ini kerana ketika musim sebeginilah, jumlah pembuangan sampah, terutamanya makanan, melonjak dengan begitu ketara sekali. Menurut SWCorp, sisa makanan dari bazar Ramadan di Negeri Sembilan sahaja dijangka naik 15% tahun ini kepada 2,500 tan metrik.

Sekiranya semua pihak gagal memainkan peranan masing-masing dalam menguruskan sampah dengan lebih efektif dan mampan, maka tidak mustahil suatu hari nanti apa yang digambarkan dalam filem animasi WALL-E sebentar tadi akan benar-benar menjadi kenyataan di planet Bumi ini pada suatu hari nanti.

Share via
Copy link