Dua tahun…. Itu tempoh pelanjutan umur persaraan yang dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri Elisabeth Borne bagi membolehkan usia persaraan bagi pekerja-pekerja di Perancis dinaikkan dari 62 tahun kepada 64 tahun.
Respons dari warga Perancis amat agresif sekali. Protes bermula sejak Januari lalu apabila ura-ura untuk Akta Reformasi Pencen 2023 dibentangkan kembali berlegar di Republik berkenaan. Namun situasi genting ini memuncak apabila Perdana Menteri Perancis menggunakan peruntukan Perkara 49 Perlembagaan Perancis bagi meluluskan Akta berkenaan tanpa melalui proses pengundian di Dewan Rakyat pada 16 Mac lalu.
Protes dirancang secara besar-besaran di Perancis bagi membantah Akta berkenaan. Lebih sejuta pekerja yang kebanyakannya ahli Kesatuan Sekerja turun ke jalanan di bandar-bandar besar bagi menyuarakan bantahan. Menurut laporan, 179 peserta demonstrasi ditahan manakala 149 anggota polis dilaporkan cedera.
Reformasi Pencen – Sentiasa Tidak Popular
Langkah untuk meningkatkan usia persaraan dianggap sebagai satu langkah Kerajaan menarik bantuan terhadap rakyat. Hal ini kerana apabila warga Perancis menginjak usia persaraan iaitu pada umur 62 tahun, Kerajaan Perancis melalui sistem pencen mereka perlu membayar pencen sekurang-kurangnya €920 sebulan kepada pesara.
Bayaran pencen ini dibiayai oleh Kerajaan Perancis melalui caruman persaraan yang dibayar pekerja dan majikan. Pekerja secara amnya perlu mencarum sekitar 9% daripada gaji mereka untuk tujuan bayaran pencen apabila bersara kelak.
Usul yang dicadangkan di Republik berkenaan tidak popular bukan sahaja kerana warga Perancis terpaksa menunggu untuk tempoh yang lebih lama untuk mendapatkan pencen mereka, tetapi juga langkah ini mengakibatkan pekerja di Perancis perlu bekerja untuk tempoh yang lebih lama sekaligus menambahkan lagi jumlah wang yang perlu dicarum kepada skim pencen ini.
Untuk sekian lama, Kerajaan Perancis menanggung beban yang besar dalam membiayai skim pencen kepada 16.4 juta orang pesara di negara berkenaan. Kos melaksanakan skim ini menelan belanja tahunan sebanyak €380 bilion, bersamaan dengan 14.8% daripada saiz ekonomi Perancis, antara yang tertinggi di rantau Eropah.
Sebagai perbandingan, Kerajaan Malaysia yang hanya menyediakan skim pencen terhadap 700,000 pesara Kerajaan dianggarkan akan membelanjakan RM31 bilion pada tahun ini, bersamaan dengan 1.6% daripada keseluruhan saiz ekonomi.
Meskipun tinjauan awal menunjukkan 68% warga Perancis tidak bersetuju dengan langkah untuk meningkatkan usia persaraan, namun Kerajaan Perancis terpaksa mengambil langkah tidak popular ini bagi memastikan sistem pencen mereka kekal mampan.
Salah satu hujah bagi menjustifikasikan langkah berkenaan adalah dengan membandingkan usia persaraan di negara-negara Eropah yang lain. Di Jerman dan Itali misalnya, usia persaraan adalah 67 tahun, lima tahun lebih tinggi berbanding Peracnis.
Manakala usia persaraan di United Kingdom adalah 66 tahun.
Bersara awal bermaksud tenaga-tenaga buruh ini tidak menggunakan masa dan tenaga mereka untuk tujuan produktif. Apatah lagi statistik menunjukkan warga Perancis mempunyai jangka hayat hidup sihat (healthy life span) sehingga usia 72 tahun.
Malaysia Tidak Terkecuali Berdepan Masalah Yang Sama
Malaysia juga tidak boleh lari dari berhadapan dengan isu usia persaraan yang rendah ini. Pada detik ini, usia persaraan di Malaysia adalah 60 tahun. Negara seberang, Singapura pada ketika ini meletakkan umur 63 tahun sebagai usia bersara, namun akan meningkatkan usia persaraan mereka kepada 65 tahun menjelang tahun 2030.
Topik ini sudah semestinya tidak popular bagi warga muda yang berpendapat peningkatan usia persaraan sebagai satu halangan untuk mereka mendapatkan kenaikan pangkat.
Namun dari sudut lain, generasi muda juga bakal berhadapan dengan cabaran lain melalui usia persaraan yang rendah. Jika ibu-bapa mereka tidak mempunyai simpanan yang cukup, usia persaraan yang rendah akan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kebajikan ibu bapa mereka di awal karier.
Harus diingatkan jangka hayat rakyat Malaysia ketika ini adalah 72 tahun. Ini bermaksud rata-rata warga emas yang pencen pada usia 60 tahun akan melalui kehidupan selama 12 tahun tanpa pendapatan kerja.
Keadaan ini sememangnya membimbangkan kerana statistik KWSP menunjukkan separuh ahli yang berusia di dalam lingkungan 50-54 tahun hanya mempunyai simpanan sebanyak RM35,161. Hanya cukup untuk melalui zaman persaraan mereka di atas paras kemiskinan (RM2,206) selama 16 bulan.
Di dalam keadaan yang lebih ekstrem, generasi muda yang berkahwin awal juga mungkin bukan saja terpaksa menanggung nafkah anak-anak, tetapi juga ibu bapa sekaligus mewujudkan situasi yang dipanggil sandwich generation.
Peningkatan usia persaraan secara amnya tidak akan menyelesaikan masalah ini. Tetapi sudah pasti akan meringankan sedikit tanggungjawab anak-anak dalam membantu ibu bapa mereka di usia emas.
Tambahan lima tahun usia persaraan memberi impak yang signifikan terhadap simpanan persaraan pekerja. Kiraan mudah dan ringkas menunjukkan tambahan lima tahun tempoh bekerja dari 30 tahun bekerja kepada 35 tahun bekerja untuk individu yang bergaji RM3,000 sebulan memberi penambahan RM210,000 terhadap simpanan selain melengahkan penggunaan simpanan persaraan mereka.
Menaikkan usia persaraan merupakan langkah perlu untuk memastikan keterjaminan sistem sosial di Malaysia. Jika melihat isu negara tua ini secara menyeluruh, lebih banyak tindakan drastik perlu dipertimbangkan bagi memastikan warga emas di Malaysia dapat menjalani kehidupan di hari-hari terakhir mereka dengan lebih selesa.
Antara polisi yang wajar diteliti termasuklah meluaskan bayaran pencen secara universal kepada semua pesara seperti yang dilaksanakan di Thailand. Selain itu, skim simpanan persaraan KWSP mungkin juga boleh beralih kepada skim anuiti dimana pesara bakal mengeluarkan simpanan mereka secara berkala bagi mengurangkan risiko simpanan persaraan habis di dalam tempoh masa yang singkat.
Skim anuiti ini telah pun dilaksanakan di Singapura kepada pencarum yang mempunyai simpanan lebih dari S$60,000 di dalam akaun persaraan mereka dimana pesara akan menerima bayaran pencen sehingga ke akhir hayat mereka.
Perancangan untuk memperkukuhkan sistem persaraan di negara ini perlu diambil sekarang, bukannya apabila isu ini menjadi barah di depan mata. Bibit-bibit kegawatan sistem persaraan sebenarnya telah pun timbul, apabila sistem kesihatan negara yang merupakan tunjang penting sistem sosial di negara ini terus dirundung krisis sehinggakan mengundang konflik berpanjangan diantara Jabatan Perkhidmatan Awam dan pegawai perubatan kontrak.
Jika perkara ini tidak ditangani segera, Malaysia yang bakal memasuki status negara menua di dalam tempoh 12 tahun akan berdepan masalah besar.