Suatu ketika dahulu, manusia terpaksa bergantung samada kepada kekuatan kaki sendiri ataupun tenaga haiwan tunggangan seperti kuda untuk pergi dari sebuah tempat ke tempat yang lain. Namun segalanya berubah apabila dunia memasuki fasa pengindustrian besar-besaran ketika Revolusi Industri sekitar abad ke 19.
Pada ketika itu, pereka cipta, terutamanya di benua Eropah berlumba-lumba untuk membangunkan model kenderaan yang dapat membawa manusia pergi ke sebuah tempat yang jauh dengan lebih cepat. Perjalanan yang memakan masa berhari-hari bertukar menjadi beberapa jam sahaja hasil kemajuan teknologi yang menghasilkan pelbagai jenis kenderaan seperti kereta, kapal terbang dan keretapi.
Sejarah industri automotif moden bermula apabila seorang jurutera berbangsa Jerman, Carl Benz berjaya menghasilkan kereta moden pertama yang menggunakan minyak untuk bergerak pada tahun 1886. Penghasilan kenderaan secara besar-besaran dipelopori oleh syarikat Ford Motor Company, yang berjaya menghasilkan kereta Ford Model T yang begitu ikonik sekitar awal abad ke 20 sehinggakan Henry Ford menjadi orang paling kaya di dunia ketika itu.
Kepesatan pembangunan industri kenderaan ini turut datang bersama dengan penemuan minyak petroleum, yang pertama kali digali secara moden pada tahun 1859 oleh Colonel Edwin Drake, seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat. Bermula saat itu, petroleum menjadi sebuah komoditi yang cukup berharga buat sesebuah negara kerana sebahagian besar kenderaan moden beroperasi menggunakan produk-produk petroleum seperti petrol, diesel dan minyak tanah (kerosin).
Malah sehingga ke hari ini, petroleum masih mengekalkan dominasi dalam industri pengangkutan global meskipun terdapat alternatif lain seperti kenderaan elektrik (EV).
Negara-negara yang mempunyai petroleum boleh diibaratkan seperti mendapat ‘durian runtuh’ kerana komoditi petroleum seringkali mendatangkan hasil yang begitu besar buat kekayaan negara, dek kerana nilainya yang begitu berharga.
Bahkan, ada sesetengah negara pengeluar minyak seperti Brunei, Algeria, Venezuela dan Azerbaijan bergantung hampir sepenuhnya terhadap hasil yang dijana oleh eksport petroleum. Negara-negara sebegini mempunyai nisbah peratusan eksport minyak melebihi 90% daripada keseluruhan eksport negara.
Mungkin ada yang beranggapan ekonomi negara-negara pengeluar minyak ini lebih terjamin kerana mereka mempunyai minyak sebagai komoditi utama yang boleh menjana kekayaan buat negara. Namun, disebalik sumbangan besar yang dijana minyak terhadap ekonomi negara, satu aspek yang perlu dilihat dengan lebih mendalam ialah harga minyak mudah turun dan naik bergantung kepada sentimen semasa.

Sebagai contoh, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada awal 2020 telah menyebabkan harga minyak jatuh merudum. Hal ini disebabkan permintaan yang secara kebiasaannya tinggi, namun tiba-tiba menjadi perlahan dengan begitu drastik sekali akibat pelaksanaan sekatan aktiviti ekonomi di kebanyakan negara bagi membendung penularan virus tersebut. Kesannya, negara-negara pengeluar minyak terpaksa berhadapan dengan masalah lambakan stok minyak dalam simpanan masing-masing.
Pada Mei 2020, harga kontrak hadapan bagi West Texas Intermediate (WTI) jatuh kepada -AS$37 setong. Harga minyak mentah Brent jatuh serendah AS$9.12 setong pada April 2020.
Kebergantungan yang terlalu besar terhadap hasil yang dijana daripada minyak semata-mata merupakan sebuah resipi terbaik bagi mengundang bencana terhadap ekonomi negara, lebih-lebih lagi sekiranya pengurusan kewangan negara dilingkari dengan penyelewengan dan rasuah.
Contoh yang terbaik dalam hal ini ialah Venezuela yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah negara yang menjadi kaya-raya hasil aktiviti pengeluaran minyak berskala besar. Venezuela memiliki rizab minyak terbesar dunia, sebanyak 303.47 billion tong setakat tahun 2021, lebih besar berbanding negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi (267.19 billion tong) dan Iran (208.60 billion tong), menurut data Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Beberapa dekad lepas, ekonomi Venezuela masih mampu bertahan dengan bergantung hampir sepenuhnya kepada hasil minyak, terutamanya selepas harga minyak melonjak naik sekitar awal dekad 2000. Pada ketika itu, Venezuela merupakan negara yang paling kaya di benua Amerika Selatan. Ekonomi Venezuela berkembang dengan baik, sehingga berjaya menurunkan kadar kemiskinan sebanyak 20% antara tahun 2002 hingga 2008. Kerajaan yang dipimpin mendiang Presiden Hugo Chavez melaksanakan pelbagai dasar serta program sosial seperti pembinaan klinik percuma untuk golongan miskin, pemberian subsidi perumahan dan makanan, kesemuanya untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat Venezuela.

Hasilnya, Venezuela berjaya merekodkan KDNK per kapita antara yang tertinggi dalam kalangan negara-negara industri, malah lebih tinggi berbanding Malaysia pada ketika itu. Venezuela mencatatkan KDNK per kapita setinggi AS$13,693 pada tahun 2010, lebih tinggi berbanding Rusia (AS$10,675), Argentina (AS$10,386), Malaysia (AS$8,880) dan Afrika Selatan (AS$8,060).
Venezuela turut memberikan subsidi minyak yang begitu tinggi kepada rakyatnya, sehinggakan minyak boleh dibeli dengan harga yang begitu murah sekali, hanya AS$0.06 segelen pada tahun 2015 di Venezuela. Perbelanjaan untuk menampung subsidi ini menelan belanja sebesar 23% daripada hasil Kerajaan Venezuela.
Namun, segala mimpi indah rakyat Venezuela satu-persatu hancur lebur apabila harga minyak global turun dengan mendadak sekitar tahun 2016. Lebih memburukkan keadaan, sejak berdekad-dekad Venezuela terlalu selesa bergantung terhadap hasil minyak, menyebabkan mereka tidak mempunyai kepelbagaian (diversification) industri yang cukup kukuh bagi menyokong ekonomi sekiranya harga minyak jatuh.
Dalam masa yang sama, pengurusan kewangan Venezuela sering bocor akibat ketirisan-ketirisan yang berlaku seperti penyelewengan dan rasuah. Ekonomi Venezuela juga tidak mesra terhadap pelabur-pelabur yang ingin membuka perniagaan di negara itu.
Venezuela berada pada ranking ke 180 daripada 185 buah negara dalam Laporan Doing Business 2013 yang diterbitkan oleh Perbadanan Kewangan Antarabangsa. Sebagai contoh, syarikat automotif terbesar Amerika Syarikat General Motors, terpaksa menutup kilang mereka di Venezuela pada April 2017 setelah dirampas secara tidak sah oleh Kerajaan Venezuela.
Akibatnya, kadar inflasi di Venezuela melonjak ke paras yang langsung tidak masuk akal, sehingga memasuki tahap hyperinflasi. Kadar inflasi dilaporkan mencecah 1.35 juta peratus menjelang hujung tahun 2018. Kadar inflasi yang naik di luar kawalan ini menyebabkan Kerajaan Venezuela menghentikan penerbitan data inflasi mereka kerana tidak mampu lagi untuk mengenal pasti angka inflasi yang berubah begitu mendadak setiap hari.
Nilai matawang Venezuela bolívar jatuh begitu teruk akibat hyperinflasi yang menjejaskan keyakinan pasaran terhadap negara berkenaan, sehingga menyebabkan Kerajaan Venezuela membuat keputusan untuk menggantikan matawang rasmi negara sebanyak tiga kali sejak tahun 2008. Situasi yang berlaku di Venezuela ini bukan sahaja memberi impak negatif terhadap ekonomi negara, bahkan mencetuskan ketegangan sosial yang seringkali menyebabkan protes berdarah terjadi di negara itu.
Sama seperti Venezuela, Malaysia juga merupakan sebuah negara pengeluar minyak. Rizab minyak Malaysia adalah yang ke 27 terbesar di dunia. Rizab minyak Malaysia yang mungkin dan terbukti, atau diklasifikasikan sebagai rizab 2P (proven and probable) berjumlah 6.9 billion tong, setakat Februari 2023, menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen baru-baru ini.
Syarikat utama minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia. Setiap tahun, PETRONAS menyumbangkan berbillion-billion ringgit kepada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk bayaran dividen. Sejak 2009 hingga 2022, PETRONAS sudah membayar sejumlah RM419 billion dividen kepada Kerajaan Malaysia. Pembayaran dividen pada tahun lepas, sebanyak RM50 billion, adalah yang kedua tertinggi dalam sejarah pernah dibayar PETRONAS kepada Kerajaan, susulan PETRONAS berjaya mencatatkan keuntungan bersih terbesar RM101.6 billion bagi tahun 2022.
Peperangan Rusia-Ukraine yang tercetus sekitar Februari 2022 menyebabkan harga minyak global naik mendadak, lantas memberikan peluang kepada syarikat-syarikat minyak ini mengaut keuntungan terbesar dalam sejarah. Syarikat minyak dan gas Arab Saudi, Aramco misalnya, turut mencatatkan keuntungan bersih terbesar AS$161 billion tahun lepas.
Selain dividen, PETRONAS turut menyumbangkan hasil kepada Kerajaan Persekutuan menerusi cukai langsung seperti cukai pendapatan serta cukai tidak langsung seperti duti eksport produk petroleum. Secara keseluruhannya, hasil yang dijana daripada industri minyak dan gas di Malaysia bersamaan 28% daripada jumlah hasil yang dijana Kerajaan Persekutuan pada tahun 2022.
Sebagaimana di Venezuela, subsidi minyak menelan belanja yang besar di Malaysia kerana pelaksanaannya dibuat secara universal, walaupun hakikatnya subsidi secara universal ini memberikan manfaat terbesar kepada golongan kaya berbanding golongan miskin. Sebanyak RM50.8 billion dibelanjakan untuk tujuan subsidi minyak petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sepanjang tahun 2022, menyamai hampir separuh daripada jumlah keuntungan bersih yang dicatatkan PETRONAS tahun lalu.
Perbelanjaan terhadap subsidi minyak yang menelan kos tinggi ini membebankan kewangan Kerajaan, serta tidak mencapai tujuannya yang sebenar untuk membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah kerana diberikan secara universal. Dalam masa yang sama, pemberian subsidi secara berterusan ini merupakan satu bentuk gangguan terhadap pasaran untuk beroperasi secara normal, serta menggalakkan lagi aktiviti-aktiviti penyeludupan yang semakin lama semakin membarah, terutamanya di neger-negeri yang bersempadan dengan negara jiran.
Langkah ke arah melaksanakan subsidi secara bersasar ini perlu dirangka dengan begitu kemas, bagi memastikan kewangan negara tidak terus terbeban, serta mengambil kira faktor risiko peningkatan kadar inflasi. Dalam masa yang sama, langkah juga perlu diatur dalam menambah baik sistem percukaian negara menjadi lebih progresif supaya asas hasil negara dapat dikembangkan dengan baik, lantas mengurangkan kebergantungan terhadap hasil daripada minyak semata-mata yang bersifat mudah turun naik.
Apatah lagi, nisbah hasil Kerajaan Persekutuan kepada KDNK bagi Malaysia diramal turun kepada 15% tahun ini, susulan permintaan global yang semakin perlahan serta penurunan harga minyak.
Mungkin ada yang berhujah tiada apa yang perlu dirisaukan kerana situasi di Malaysia ketika ini jauh lebih baik berbanding apa yang telah berlaku di Venezuela. Namun, sekiranya diteliti dalam laporan-laporan tinjauan ekonomi yang diterbitkan Bank Negara Malaysia, Bank Dunia, Kementerian Kewangan serta pelbagai lagi institusi, sebuah isu yang sering disebut saban tahun ialah mengenai industri Malaysia yang sudah berpuluh-puluh tahun tersangkut dalam rantaian pengeluaran yang bernilai rendah. Kebanyakan pemain-pemain industri di Malaysia lebih selesa mengekalkan model pengeluaran berasaskan buruh, tanpa usaha proaktif untuk menuju ke arah pengeluaran berasaskan modal dan teknologi yang lebih bernilai tinggi dan produktif.
Sekiranya Malaysia enggan berganjak ke arah industri yang lebih bernilai tinggi, serta dalam masa yang sama terus dihantui oleh pelbagai isu penyelewengan dalam pengurusan kewangan Kerajaan, maka tidak mustahil nasib negara ini akan menjadi seperti Venezuela, Sri Lanka dan Nauru yang kesemuanya ini pernah pada suatu ketika dahulu pernah menjadi sebuah negara yang kaya.