Umrah dan Haji – Lubuk Wang Buat Arab Saudi

2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia menunaikan ibadah tersebut pada tahun 2019

Ketika ini, terdapat kira-kira 1.8 billion orang Islam atau 24% daripada keseluruhan populasi penduduk dunia. Bagi seseorang individu Muslim, menunaikan haji di Mekah merupakan sebuah kewajipan terakhir yang dituntut untuk ditunaikan menerusi lima prinsip rukun Islam.

Saban tahun, umat Islam berduyun-duyun dari segenap pelusuk negara datang ke bumi Mekah, Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji. Pada tahun 2019, dianggarkan terdapat hampir 2.5 juta jemaah haji, dengan 1.9 juta merupakan jemaah haji yang datang dari luar Arab Saudi.

Kehadiran jutaan jemaah haji ke bumi Mekah memberi sumbangan yang besar terhadap ekonomi penduduk tempatan, serta kepada negara Arab Saudi secara umumnya. Hasil yang dijana oleh ibadah haji dan umrah dianggarkan bernilai sekitar 70 billion Saudi Riyal (AS$18 billion), bersamaan 2.7% daripada keseluruhan KDNK, atau 11.6% daripada KDNK bukan-minyak Arab Saudi pada tahun 2019, menurut Safa Soft, sebuah syarikat teknologi pelancongan yang berpengkalan di Mesir.

Ibadah haji memberi pulangan yang begitu lumayan kepada Arab Saudi kerana kebanyakan jemaah haji ini berbelanja besar untuk datang serta semasa mereka sedang berada di Mekah. Menurut Laporan Indeks Destinasi Global Mastercard 2019, setiap pelawat yang datang ke Mekah membelanjakan kira-kira $135 setiap hari.

Dalam masa yang sama, ibadah haji turut mencipta ratusan ribu peluang pekerjaan untuk menguruskan pelbagai perkhidmatan bagi memastikan jemaah dapat menunaikan haji dengan lancar. Menurut Statistik Haji yang diterbitkan Badan Statistik Arab Saudi, terdapat 350,830 tenaga buruh yang bekerja dalam perkhidmatan haji di Arab Saudi pada tahun 2019.

Melihatkan kepada ibadah haji dan umrah yang memberi impak begitu besar kepada ekonomi Arab Saudi, maka tidak hairanlah sehinggakan ada yang menggelarnya sebagai ‘sumber minyak’ baharu negara tersebut.

Namun, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada tahun 2020 turut menyebabkan industri haji dan umrah di Arab Saudi tidak terlepas daripada turut terjejas. Ibadah haji dibuka semula pada tahun 2021, namun Kerajaan Arab Saudi terpaksa mengehadkan kuota jemaah haji hanya kepada 60,000 penduduk tempatan sahaja. Hanya pada tahun 2022 barulah Kerajaan Arab Saudi membenarkan kemasukan jemaah haji antarabangsa. Pembukaan semula kota Mekah ini memberi peluang kepada umat Islam untuk kembali melaksanakan ibadah haji.

Walaubagaimanapun, ibadah haji yang sepatutnya ditunaikan dengan tenang apabila cukup syarat berkemampuan seolah-olah hilang makna yang sebenar apabila keuntungan dan pulangan yang lumayan ini terus diletakkan sebagai matlamat utama mengatasi niat ibadah yang lebih murni.

Beberapa bulan lepas, tular di media sosial mengenai kenaikan mendadak kos menunaikan umrah. Pengusaha-pengusaha perniagaan di sana seperti penginapan hotel dan pengangkutan dilapor sengaja mengenakan bayaran yang tinggi, berkali-kali ganda lebih mahal berbanding sebelum ini.

Keterujaan umat Islam untuk menjejakkan kaki semula di Mekah memberi mereka peluang untuk mengambil kesempatan demi meraih keuntungan bagi menampung kerugian yang dialami akibat penggantungan ibadah haji semasa penularan wabak Covid-19. Sekiranya semasa musim umrah mereka tidak segan silu menaikkan harga, apatah lagi ketika musim haji kelak yang sudah pasti mempunyai lebih ramai jemaah?

Bagi negara yang mempunyai rakyat majoriti beragama Islam seperti Malaysia, ibadah haji menjadi acara tahunan yang seringkali mendapat liputan luas media tempatan, lebih-lebih lagi kerana ibadah haji ditunaikan menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha pada bulan Zulhijjah.

Ketika ini, Malaysia menerima kuota seramai 31,600 jemaah haji daripada Kerajaan Arab Saudi. Penetapan kuota ini adalah berdasarkan Mesyuarat OIC pada tahun 1988 di Amman, Jordan, yang menetapkan kuota haji setiap negara adalah sebanyak 0.1% daripada jumlah penduduk sesebuah negara.

Di Malaysia, pengurus terbesar urusan haji diamanahkan kepada Lembaga Tabung Haji yang ditubuhkan sejak tahun 1963, hasil ilham tokoh ulung ekonomi Profesor Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz. Pada ketika itu, Pak Ungku melihat kesungguhan orang Melayu sehingga ada yang sanggup menggadai tanah serta pelbagai aset lain demi menyahut panggilan menunaikan haji.

Lantaran itu, Lembaga Tabung Haji telah ditubuhkan untuk memudahkan orang Melayu mengumpul wang simpanan mereka sendiri serta menerima subsidi dari pihak Kerajaan untuk mengurangkan beban kos yang terpaksa ditanggung mereka untuk pergi menunaikan haji.

Namun begitu, disebabkan oleh gabungan beberapa faktor seperti inflasi, tukaran matawang asing dan peningkatan kadar cukai VAT sebanyak 15% di Arab Saudi bermula Julai 2020, kos menunaikan haji saban tahun semakin mahal.

Kos menunaikan haji dan umrah juga sudah tentunya turut terkesan dengan pengkomersialan besar-besaran ibadah haji dan umrah yang giat dijalankan Kerajaan Arab Saudi. Semenjak beberapa dekad lepas, pelbagai projek berskala besar melibatkan hotel-hotel mewah dibangunkan sekitar Masjidil Haram.

Kos penginapan semalam di Royal Clock Tower bermula pada kadar RM2,400 semalam

Beberapa lokasi bersejarah di Mekah dilapor terpaksa dimusnahkan bagi memberi laluan kepada projek-projek mega ini.

Misalnya, projek gergasi 10,000 bilik hotel mewah Abraj Kudai dianggarkan melibatkan kos AS$3.5 billion, dibiayai oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, yang merupakan antara dana kekayaan berdaulat terbesar di dunia.

Tabung Haji membelanjakan RM299 juta pada tahun 2019 bagi tujuan subsidi haji kepada jemaah

Semenjak subsidi haji diperkenalkan Lembaga Tabung Haji pada tahun 2001, kos menunaikan haji telah meningkat 139% daripada RM9,578 (2001) kepada RM22,900 (2019), dengan jumlah peruntukan subsidi mencecah RM1.9 billion sepanjang tempoh berkenaan.

Meskipun subsidi hanya diberikan kepada jemaah yang menunaikan haji buat pertama kali, pemberian subsidi ini dibuat secara universal dengan tanggungan sebanyak RM17,652 (62%) buat golongan B40 dan RM15,652 (55%) buat golongan M40 dan T20. Menerusi pemberian subsidi ini, kos sebenar yang perlu dibayar oleh seorang jemaah haji hanyalah sebanyak RM9,980.

Pemberian subsidi yang menelan belanja begitu besar ini menimbulkan sebuah persoalan sejauh manakah Lembaga Tabung Haji mampu untuk terus menerus memberikan subsidi ini? Lebih-lebih lagi melihatkan kepada kos menunaikan haji yang saban tahun terus naik, dengan kadar inflasi di serata dunia yang kebanyakannya masih tinggi ketika ini.

Mekanisme pendaftaran kelayakan menunaikan haji yang ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji juga mungkin boleh ditambah baik. Hal ini kerana syarat kelayakan yang ditetapkan pada ketika ini hanyalah memerlukan seseorang itu mempunyai baki simpanan minimum RM1,300 dalam akaun Tabung Haji, sedangkan angka itu begitu kecil jika dibandingkan dengan kos sebenar menunaikan haji yang mencecah belasan ribu ringgit.

Dalam masa yang sama, pendaftaran haji dibenarkan seawal umur 12 tahun, sedangkan antara syarat wajib menunaikan haji ialah apabila seseorang itu mencapai akil baligh dan tidak wajib kepada kanak-kanak. Meletakkan kanak-kanak ini terlalu awal dalam senarai ‘waiting list’ panggilan menunaikan haji merupakan antara sebab mengapa ada individu lain yang sudah cukup syarat, namun terpaksa menunggu sehingga 130 tahun untuk mendapat panggilan tersebut.

Antara jalan keluar yang boleh dilaksanakan oleh Lembaga Tabung Haji untuk memastikan tahap kewangan tidak terbeban ialah samada mengurangkan kadar subsidi atau melaksanakan program subsidi secara bersasar bagi membantu golongan berpendapatan rendah menunaikan haji.

Pendapat ini turut dilontarkan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor dan  Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid. Walaubagaimanapun, mengurangkan kadar subsidi mungkin bukan sebuah langkah popular yang boleh dilaksanakan pada ketika ini, terutamanya dari aspek politik.

Namun begitu, walau apa pun keputusan yang dibuat Lembaga Tabung Haji, aspek kemampuan individu itu sendiri untuk menunaikan haji juga perlu diambil kira. Hal ini kerana antara syarat utama wajib menunaikan haji ialah apabila seseorang individu itu berkemampuan, baik dari segi fizikal mahu pun kewangan, terutamanya untuk membiayai perjalanan menunaikan ibadah haji tersebut. Mazhab Syafie turut menekankan seseorang itu perlu menyediakan keperluan nafkah yang mencukupi kepada tanggungannya apabila mereka pergi menunaikan ibadah haji.

Mungkin secara ekstrimnya suatu hari nanti akan wujud sebuah fenomena kesenjangan jemaah haji, di mana hanya individu yang benar-benar kaya sahaja yang melepasi syarat berkemampuan untuk menunaikan haji.

Share via
Copy link