Tauke Supermax Raih RM3.6 Bilion Sewaktu Krisis Covid-19

Saham Supermax share price
Share it

Tatkala para pekerja dihimpit dengan pelbagai cabaran akibat Covid-19 seperti diberhentikan kerja, pemilik syarikat Supermax, pengeluar sarung tangan kesihatan meraih laba yang cukup besar sewaktu krisis Covid-19 ini.

Pasangan suami isteri, Dato’ Seri Thai Kim Sim dan Datin Seri Tan Bee Geok mempunyai masing-masing 278 juta dan 206 juta saham di dalam syarikat ini. Nilai saham mereka di dalam syarikat ini yang berjumlah 37% kini bernilai Rm4.3 bilion, meningkat dari RM668 juta pada awal tahun ini.

Kekayaan pasangan ini meningkat secara mendadak membolehkan mereka tersenarai di tangga ke-15 di dalam Senarai 50 Orang Terkaya di Malaysia yang dikeluarkan oleh majalah Forbes jika senarai ini dikemaskini.

Prestasi suku ke-3 bagi tahun berakhir 2020 Supermax menunjukkan syarikat ini meraih keuntungan sebanyak RM72 juta iaitu peningkatan 107% berbanding suku sebelumnya pada tahun lalu manakala hasil meningkat dari 24% kepada RM447 juta dalam tempoh yang sama. Keuntungan selepas cukai Supermax pada tahun lalu berjumlah RM123 juta.

Saham syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan didagangkan aktif dan meningkat dan naik dengan begitu tinggi ketika dunia sedang menghadapi wabak Covid-19. Harga saham Supermax naik 543% dari RM1.38 pada 1 Januari kepada RM8.88 pada 5 Jun 2020.

Saham Kossan naik 116% dari RM4.16 pada awal tahun kepada RM8.98 pada semalam begitu juga saham TopGlove naik 252% dari RM4.65 kepada RM16.38 dalam tempoh yang sama.

Pasaran saham KLCI turut menunjukkan trend peningkatan belakangan ini dengan naik sebanyak 27.5% dari 1220 mata iaitu paras terendah pada pertengahan Mac kepada 1556 mata semalam meskipun realiti ekonomi kekal mencabar pada ketika ini.