Kadar pengangguran dalam kalangan Ketua Isi Rumah di Projek Perumahan Rakyat ( PPR ) sekitar Kuala Lumpur meningkat dua kali ganda kepada 15% pada Disember 2020 berbanding 7% pada September lalu.
Kajian berpanjangan yang dilakukan oleh UNICEF Malaysia dengan kerjasama UNFPA ini menunjukkan golongan rentan kekal sengsara apabila 42% daripada isi rumah ini berada di dalam kemiskinan meskipun pelbagai bantuan kerajaan diterima.
Situasi lebih buruk menimpa Ketua Isi Rumah ( KIR ) yang diketuai oleh wanita dan Orang Kurang Upaya. Pendapatan isi rumah ini masing-masing telah menurun 20% dan 31% pada Disember berbanding September yang lalu.
Kadar kemiskinan dalam kalangan isi keluarga yang mempunyai KIR wanita pula meningkat dari 47% kepada 61% dalam tempoh yang sama. Bagi keluarga KIR Orang Kurang Upaya, kadar kemiskinan mutlak kekal tinggi iaitu pada 55% manakala hampir keseluruhan mereka tinggal di dalam kemiskinan relatif.
Bantuan kerajaan sedikit sebanyak telah membantu golongan ini mengharungi pandemik Covid-19 yang kian berlarutan. Peratusan bantuan kerajaan berbanding pendapatan isi rumah telah meningkat dua kali ganda kepada 16% berbanding 8% pada sebelum krisis berikutan pemberian tunai Bantuan Prihatin Nasional pada tahun lalu. Purata bantuan zakat juga naik 27% kepada RM144.
Program Geran Khas Prihatin juga kelihatan tidak banyak membantu dalam kalangan golongan yang bekerja sendiri di PPR. Hanya 3% daripada keseluruhan pekerja yang bekerja sendiri menerima bantuan ini dan hampir 87% tidak menerima apa-apa bantuan yang disediakan kerajaan untuk pekerja yang bekerja sendiri.
Meskipun kerajaan optimis dengan prospek perkembangan ekonomi pada tahun ini, namun pandangan berbeza diraih dalam kalangan KIR dari PPR ini. 41% responden menjangkakan masa depan kekal suram pada Disember 2020 berbanding 37% pada September lalu.
Bagi KIR wanita, sekitar 46% daripada mereka menjangkakan keadaan kewangan mereka bertambah buruk dalam tempoh enam bulan akan datang, meningkat dari 34% pada September yang lalu.
Data juga menunjukkan keadaan kesihatan mental bertambah buruk dari masa ke semasa. Kadar tekanan dalam kalangan responden telah meningkat dari 19% pada September kepada 24% pada Disember tahun lalu. Bagi KIR wanita, kadar tekanan meningkat 10% dari 23% kepada 33% dalam tempoh yang sama.
Kajian Families on the Edge ini merupakan siri yang ketiga dikeluarkan sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dan temuramah dalam kalangan ketua isi rumah dijalankan dari 14 Oktober 2020 hingga 23 Disember 2020.