
Bank Dunia telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia dari 6.0% kepada 4.5% untuk tahun ini susulan krisis Covid-19 yang berlanjutan selain proses vaksinasi yang perlahan.
Menurut badan ini, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) memberikan kesan yang ketara terhadap perbelanjaan peribadi isi rumah di Malaysia. Prospek pertumbuhan ekonomi negara ini bergantung tinggi terhadap tiga faktor iaitu kawalan pergerakan, pengawalan pandemik dan kelajuan proses vaksinasi.
Bank Dunia berharap kerajaan dapat melindungi golongan B40 yang amat terkesan dengan PKP ini termasuklah pekerja informal. Polisi fiskal kerajaan juga harus memberi keutamaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.
Laporan Malaysia Economic Monitor yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan bahawa kadar pengangguran kekal tinggi iaitu berada di paras 4.8% pada suku pertama tahun ini. Isu underemployment iaitu mereka yang bekerja dibawah kemahiran serta bekerja kurang daripada 30 jam seminggu juga kekal tinggi.
Bank Dunia turut berpendapat bahawa proses vaksinasi yang dikendalikan kerajaan berjalan dengan amat perlahan. Langkah-langkah pencegahan penularan yang tidak berkesan juga akan memberi kesan yang buruk terutamanya perniagaan yang berada di dalam sektor perkhidmatan.

Laporan ini juga memberi amaran bahawa bilangan isi rumah rentan yang tidak mendapat bantuan yang mencukupi akan bertambah terutamanya mereka yang berada di dalam golongan B40 dan peniaga-peniaga PKS.
Selain itu, ketidaktentuan politik juga akan memberikan kesan negatif kepada pelabur dan mungkin akan merencatkan pemulihan ekonomi negara. Spekulasi mengenai pelanjutan darurat dan nasib serta masa depan gabungan pemerintahan sedia ada menyumbang kepada ketidakstabilan politik di negara ini.
Bank Dunia berharap agar reformasi-reformasi ekonomi dapat dijalankan susulan krisis ini. Jaringan keselamatan sosial perlu diperluaskan kepada mereka yang bekerja di sektor informal bagi memastikan isi rumah di Malaysia lebih berdaya tahan.
Selain itu, reformasi struktural juga perlu dipertimbangkan termasuklah dengan meluaskan sumber pendapatan negara dengan mempertimbangkan cukai-cukai progresif seperti cukai kekayaan dan cukai keuntungan modal.
