Hutang Pendidikan Bebankan Graduan

Share it
Anak muda dibebankan dengan hutang PTPTN yang tinggi

Hutang pendidikan antara hutang pertama yang membebankan anak-anak muda di Malaysia. Selesai sahaja konvokesyen, surat-surat yang sampai daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ( PTPTN ) menimbulkan rasa seram buat mereka yang baru saja bergraduasi.

Perkara ini bukan hanya dihadapi oleh anak muda di Malaysia saja. Di Amerika Syarikat, isu hutang pendidikan antara agenda penting yang mendapat perhatian Presiden Joe Biden. Beliau juga telah  mempertimbangkan untuk memberikan pengampunan hutang kepada sebilangan peminjam.

Pada ciapan di Twitter pada Mac 2020, Joe Biden menyatakan hutang pendidikan ditanggung bekas pelajar patut dilupuskan dengan jumlah sekurang-kurangnya $10,000.

Setelah mendapat kuasa pada Januari lepas, warga Amerika kembali menuntut janji ini dilaksanakan dimana petisyen pelupusan hutang yang dibuat telah ditandatangani lebih satu juta orang. Hutang pendidikan di Amerika Syarikat kini bernilai $1.7 trilion yang bersamaan 7.5% saiz ekonomi Amerika dengan anggaran purata hutang peminjam sebanyak $38,000 seorang.

Manakala di Malaysia, hutang PTPTN dianggarkan berjumlah RM40 bilion dengan purata hutang sebanyak RM13,800. Isu hutang PTPTN ataupun hutang pendidikan ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan terus menghantui graduan dengan perkembangan mutakhir ini.

Kajian yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan gaji permulaan graduan semakin menurun. Hampir 54% graduan baru memperoleh gaji dibawah RM2,000. Bukan itu saja, terdapat juga sebilangan besar graduan baru yang melaporkan bahawa mereka menerima pendapatan dibawah paras gaji minimum.

Syed Saddiq yang diwawancara menyatakan sistem pendidikan tinggi negara perlu distrukturkan semula. Menurut beliau, universiti-universiti swasta telah mengaut keuntungan lumayan hasil daripada sistem pembiayaan PTPTN ini apabila menyediakan pengajian yang tidak berkualiti selain tidak mengikuti kehendak industri.

” Anak-anak muda ditipu, dengan ciptaan naratif dimana, tak mengapa kamu ditolak untuk masuk IPTA, jangan risau kami kolej swasta akan memberikan kamu ijazah, kami pastikan kamu dapat ijazah tersebut walhal kamu akan dibebankan dengan hutang PTPTN yang sangat tinggi kerana kos pembiayaan itu yang lebih tinggi.

Dan apabila kamu jadi salah seorang graduan, there’s only one out of two, ataupun dalam kadar 50% saja kamu akan dapat pekerjaan. Kalau dapat pun gaji yang sangat rendah. “

Penjelasan Ahli Parlimen Muar ini ada asasnya, carian Ekonomi Rakyat menunjukkan bahawa sebilangan besar syarikat-syarikat pendidikan swasta yang tersenarai bergantung tinggi dengan pembiayaan dari PTPTN.

Sebagai contoh, 65% penghutang SEGI International merupakan hutang daripada peminjam PTPTN. Manakala laporan akhbar The Edge pada 2010 menunjukkan Masterskill Berhad ( kini Minda Global ) bergantung tinggi kepada PTPTN untuk membiayai 95% kos pengajian pelajar mereka.

Syed Saddiq juga menyuarakan kebimbangan dengan sebilangan universiti swasta yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan sekaligus merugikan pelajar.

” Tetapi hutang PTPTN paling tinggi bagi anak muda yang menyertai universiti swasta, masalahnya lebih besar apabila mereka masuk di universiti swasta, ambil hutang. Tetapi akhirnya bila mereka jadi graduan, it’s not even accredited. Kita lihat baru-baru ini apa berlaku di Limkokwing University. “

Syed Saddiq turut berpendapat agar tempoh pengajian pendidikan tinggi di Malaysia untuk dipendekkan. Katanya, pelajar-pelajar di Malaysia menghabiskan tempoh masa yang lama di alam universiti sekaligus membebankan mereka dan kerajaan.

” Apabila kita bincangkan soal hutang yang salah seorang graduan itu akan bawa apabila mereka masuk ke bidang pekerjaan adalah untuk kita menstrukturkan semula sistem pendidikan di Malaysia. Kalau kita lihat di luar negara, even in best universities, Ivy League universities, mereka perlukan hanya tiga maksimum empat tahun untuk menjadi salah seorang graduan.

Dan apabila mereka graduate pada umur yang lebih muda. mereka ada masa yang agak lapang. terus bekerja atau timba pengalaman melalui latihan amali ataupun internship. Tetapi di Malaysia ia memakan masa empat ke enam tahun. Kerana kita ada asasi, selepas itu, banyak sangat university mandated courses. Ini adalah subjek-subjek yang kadangkala tidak ada kena mengena dengan kursus yang seseorang itu ambil. “

Beliau berkata jika perkara ini dapat diselesaikan semula, penjimatan yang terhasil ini dapat digunakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan serta membantu golongan yang memerlukan. Syed Saddiq juga berharap penekanan dapat diambil terhadap industri TVET yang turut memberikan peluang pekerjaan dan pendapatan yang agak baik kepada pelajar.

Industri pendidikan negara kini boleh dianggap berada pada tahap kritikal. Dengan peluang pekerjaan yang terhad selain gaji permulaan yang semakin rendah, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan anak muda tidak terus dibebani hutang yang tidak wajar selain memastikan masa depan yang cerah buat graduan.

Syed Saddiq sarankan pendekkan tempoh pengajian di universiti

Bagi mereka yang dibebani hutang, pengampunan pinjaman pendidikan mungkin boleh dipertimbangkan untuk meringankan beban mereka. Perkara ini bukan sesuatu yang mustahil, kerajaan negeri Sarawak misalnya telah melunaskan sebahagian pinjaman anak negeri mereka dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY