” Yaaa Sheikhh….. Duit Minyak Dah Habis “

Share it
Abu Dhabi

Negara-negara Timur Tengah dibekalkan dengan kurniaan sumber asli yang melimpah ruah. Wilayah itu mempunyai hampir separuh daripada keseluruhan simpanan minyak dunia yang telah dibuktikan. Negara-negara Arab seperti Arab Saudi, Qatar dan Kuwait antara negara yang mendapat manfaat daripada emas hitam tersebut.

Industri gas dan minyak di Arab Saudi misalnya bersamaan dengan separuh nilai ekonomi negara mereka. Begitu juga dengan Qatar dimana sumber minyak dan gas memberikan hasil sebanyak 60% daripada keseluruhan pendapatan negara itu.

Namun sumber alam bukanlah khazanah tanpa had. Terdapat laporan yang menjangkakan dunia akan kehabisan sumber fosil tersebut sekitar tahun 2067 berdasarkan penggunaan semasa. Ini bukanlah satu perkembangan baik buat negara-negara Arab yang bergantung tinggi terhadap hasil minyak.

Tidak hairanlah, Arab Saudi sudah pun merencanakan projek mega yang dikenali sebagai Wawasan Saudi 2030 yang ingin mengurangkan kebergantungan mereka terhadap minyak dan mempelbagaikan aktiviti ekonomi di negara itu.

Beberapa langkah yang kurang ortodoks diambil seperti membenarkan wanita untuk memandu bagi menggalakkan penglibatan wanita di dalam sektor ekonomi. Setelah lebih tiga dekad diharamkan, panggung wayang dibenarkan dibina bagi meneroka industri hiburan.

Bahkan pada penghujung tahun ini, Arab Saudi dijangka akan menjadi hos perlumbaan berprestij F1 sekaligus mengikut jejak langkah musuh tradisi mereka, Qatar dalam menjadi tuan rumah acara perlumbaan itu.

Langkah paling signifikan yang dilakukan oleh Arab Saudi dalam usaha mentransformasikan ekonomi negara itu adalah dengan menyenaraikan Saudi Aramco di Bursa Saham Saudi dengan modal pasaran hampir $2 trilion. Ini menjadikan syarikat minyak negara itu sebagai salah satu syarikat paling besar di dunia dengan hasil sekitar RM900 bilion setahun.

Menurut laporan, Saudi Aramco menggunakan sebahagian besar wang yang diraih dari 1.5% pegangan saham yang ditawarkan kepada orang awam untuk membiayai perbelanjaan untuk membangunkan industri domestik.

Apa Yang Tok Arab Buat Dengan Duit Minyak?

Kekayaan hasil minyak di Timur Tengah tidak dinikmati oleh semua pihak. Pemimpin-pemimpin Arab yang rata-ratanya memegang tampuk pimpinan berdasarkan keturunan antara mereka yang mendapat manfaat besar daripada pendapatan hasil minyak.

Emiriah Arab Bersatu yang dipimpin oleh Syeikh Khalifa al-Nahyan misalnya membelanjakan sebahagian besar wang mereka untuk membina infrastruktur mega di bandar-bandar utama seperti di Dubai ataupun Abu Dhabi.

Selain itu, negara-negara ini juga berbelanja besar untuk industri pertahanan. UAE dilaporkan membelanjakan hampir $20 bilion ataupun bersamaan dengan 5.6% KDNK untuk memperkukuhkan angkatan tentera mereka. Begitu juga dengan Arab Saudi yang membelanjakan sekitar $48 bilion ( 8.4% ) untuk tujuan pertahanan.

Sebagai perbandingan, Malaysia pula hanya membelanjakan sekitar $4 bilion ( 1.8% ) bagi membiayai aktiviti pertahanan.

PSG membelanjakan RM1.1 bilion untuk yuran perpindahan Neymar

Ada yang membuat jenaka sebelum ini, perbelanjaan pertahanan yang dibuat UAE bukan hanya untuk negara mereka, tetapi juga untuk kelab bolasepak yang dimiliki mereka. Manchester City yang dimiliki oleh Abu Dhabi Group melalui City Football Group telah membelanjakan hampir RM2 bilion untuk membeli pemain pertahanan seperti Ruben Dias, Joao Cancelo dan Aymeric Laporte.

Bahkan ada laporan pada tahun 2018 yang menyatakan bahawa perbelanjaan pertahanan Manchester City melebihi perbelanjaan pertahanan sebenar lebih 50 negara di dunia.

Obsesi Tok Arab dengan industri bola sepak juga semakin kelihatan belakangan ini. Qatar yang memiliki kelab Paris Saint-Germain turut membelanjakan sekitar RM3.8 bilion sejak tahun 2015 untuk membeli bintang besar seperti Neymar dan Mbappe.

Belanja Mewah…..

Sepanjang beberapa dekad lalu, negara-negara Arab yang kaya seperti Qatar, Arab Saudi dan UAE tidak banyak berbelanja bagi membangunkan industri tempatan mereka. Dunia hanya disajikan berita-berita tentang kemewahan putera-putera raja mereka yang membelanjakan ratusan juta ringgit di tengah-tengah kota London ataupun kota New York.

Selain itu, pembelian lukisan Leonardo da Vinci, Salvator Mundi oleh putera Arab Saudi turut mendapat liputan luas media antarabangsa. Begitu juga dengan transaksi pembelian kapal layar mewah milik anak raja UAE.

Hakikatnya, tatkala pemimpin-pemimpin negara teluk menikmati hasil alam yang diwarisi mereka, saudara-saudara sebangsa mereka seperti di Yaman, Syria dan Palestin mengharungi nasib yang jauh berbeza.

Timur Tengah sudah terlalu sinonim dengan isu konflik yang berlarutan untuk sekian lama. Tidak dinafikan, rakyat Malaysia antara yang paling cakna dengan penderitaan mereka disana, namun tidak bagi segelintir pemimpin sebangsa mereka yang hanya dikenali dengan kemewahan luar biasa hasil duit minyak yang kian kehabisan.