Undi 18 – Siapa Untung? Kerajaan atau Pembangkang?

Share it
Gambar Dirakam oleh Vaneesha Krishnasamy dari DepthofV

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia ( SPR ) telah mengumumkan melalui kenyataan media beberapa hari lalu bahawa pendaftaran undi automatik dan penurunan usia mengundi 18 tahun hanya dapat dilakukan selepas September tahun hadapan susulan kekangan yang dialami oleh SPR.

Pengumuman ini tidak disambut baik oleh sebilangan pihak. Protes dapat dilihat di alam maya dari segenap spektrum politik termasuk daripada kepimpinan UMNO yang terlibat dengan pemerintahan sedia ada.

Ahli Parlimen Muar yang juga pemimpin MUDA, Syed Saddiq turut menghantar tweet sindiran berbunyi ” Kahwin bawah umur boleh, undi18 tidak boleh ” sebagai reaksi terhadap pengumuman berkenaan. Hanya kepimpinan PAS yang dilihat teguh mempertahankan langkah ini.

Pada Sabtu, protes yang disertai ratusan individu diadakan di hadapan bangunan Parlimen bagi menuntut Undi 18 disegerakan. Penggerak misi ini, Persatuan Pengundi Muda mengeluarkan kenyataan media menyatakan bahawa mereka akan membawa perkara ini ke mahkamah pada 4 April ini.

Langkah menuntut usia mengundi diturunkan ada asasnya, 94% negara di dunia membenarkan rakyat mereka yang berusia 18 tahun mengundi. Malaysia merupakan antara 11 negara di dunia yang menetapkan usia mengundi pada umur 21 tahun.

Kebanyakan Negara Di Dunia Membenarkan Rakyat Berusia 18 Tahun Untuk Mengundi – Statistik Diambil dari Kajian ISEAS

Menurunkan Usia Mengundi Mungkin Tidak Untungkan Gabungan Politik Kerajaan Semasa

Menurut SPR, terdapat 1.2 juta individu di dalam lingkungan usia 18 hingga 20 tahun pada ketika ini. Manakala terdapat 4.4 juta individu berusia 21 tahun ke atas yang masih belum mendaftar mengundi.

Langkah menangguhkan penurunan usia mengundi mempunyai sifir politik yang tersendiri. Umum mengetahui bahawa majoriti pengundi muda lebih terbuka berbanding pengundi-pengundi yang sudah berumur. Dengan akses maklumat yang tidak terhad, golongan ini lebih terbuka dengan pendekatan politik yang dibawa oleh parti-parti pembangkang ketika ini.

Berbeza dengan pengundi-pengundi berusia yang mana politik identiti lebih sebati dengan mereka. Jika Undi 18 dan pendaftaran automatik dilaksanakan, ia akan mengurangkan pengaruh pengundi-pengundi tua yang menjadi tonggak pemerintahan sedia ada terutamanya dalam kalangan pengundi PAS dan UMNO.

Dengan sentimen anak muda kini, amat sukar untuk melihat sokongan pengundi muda terhadap gabungan Perikatan Nasional. Memasuki Pilihan Raya Umum ke-15 dengan membenarkan pengundi muda untuk mengundi mungkin bakal menjadi political sucide buat gabungan ini.

Siapa Yang Keluar Mengundi?

Seorang operatif politik yang pernah membantu Pakatan Harapan pada PRU-14 menyatakan salah satu gerak kerja yang dilakukan bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dahulu adalah dengan mendaftarkan pengundi-pengundi yang belum berdaftar.

Menurut beliau, mendaftarkan pengundi banyak memberi manfaat kepada Pakatan Harapan pada ketika itu kerana sentimen kemarahan terhadap pemerintahan Barisan Nasional. Andaian beliau ketika itu meramalkan bahawa majoriti pengundi baru yang didaftarkan cenderung untuk menyokong PH.

Ini seterusnya membantu kemenangan PH pada PRU-14.

Jika pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik dilaksanakan segera, ia akan memakan diri gabungan kerajaan sedia ada. Sebahagian besar kumpulan anak muda mungkin masih tidak berminat dengan politik. Namun jika ada sekumpulan kecil yang mengundi, ia cukup untuk memberikan kelebihan kepada pembangkang.

Parti-parti Politik Melayu Mungkin Raih Manfaat dari Undi 18

Ini kerana apa yang bakal berlaku adalah hampir keseluruhan pengundi-pengundi muda yang keluar mengundi pada PRU-15 bakal mengundi pembangkang.

Namun begitu, teori di atas hanya bersandarkan terhadap sentimen negatif anak muda terhadap kerajaan. Berbeza dengan kajian yang dilakukan oleh Institute of Southeast Asian Studies ( ISEAS ) di Singapura yang menyatakan PAS dan UMNO bakal memperoleh untung dari penurunan usia mengundi.

Hal ini kerana pendaftaran pengundi baru bakal meningkatkan komposisi pengundi Bumiputera. Ini bakal memberikan kelebihan buat parti-parti Melayu terutamanya PAS dan UMNO. Menurut ISEAS, 72.8% daripada keseluruhan individu berusia 15-19 tahun pada 2018 adalah Bumiputera.

Manakala peratusan etnik Cina dan India dalam kumpulan umur ini hanyalah 19.5% dan 6.6%.

Kejayaan Pakatan Harapan/Rakyat dalam PRU yang lalu juga boleh dilihat dari peratusan pengundi Cina di Malaysia. Pada PRU-13 lalu, jumlah pengundi Cina dari keseluruhan pengundi di Malaysia dilaporkan berada pada 30%, lebih tinggi dari populasi etnik Cina iaitu 24%.

Ini bermaksud pengundi Cina all out keluar mengundi bagi memenangkan Pakatan Rakyat ketika itu.

Jika Undi 18 dibenarkan, parti-parti Melayu mungkin akan mendapat menerima manfaat dengan syarat pengundi-pengundi muda Melayu keluar mengundi.

Jangkaan ISEAS Mengenai Kerusi Selamat Pada PRU15 Jika Undi 18 Dilaksanakan

Umum mengetahui bahawa kawasan parlimen yang diwakili oleh PAS, BN dan BERSATU rata-ratanya mempunyai komposisi pengundi Bumiputera yang tinggi. Dalam erti kata lain, parti-parti politik ini mungkin bakal meraih lebihan undi namun ia tidak menjanjikan kemenangan mutlak kerana teori di atas tidak mengambil kira kerjasama politik pelbagai parti.

ISEAS menjangkakan jika penurunan usia mengundi berlaku, kerusi selamat buat Pakatan Harapan bakal menurun dari 94 kerusi pada PRU14 kepada 65 kerusi dengan andaian berlaku pertembungan tiga penjuru diantara Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan PAS pada PRU15.

Menurut kajian yang ditulis oleh Cassey Lee, sesuatu kerusi itu dianggap selamat jika calon yang memenangi kerusi tersebut mendapat undi majoriti melebihi 1,000 undi pada PRU14. Kerusi dianggap tidak lagi selamat jika jumlah pengundi baru lebih tinggi berbanding majoriti kemenangan pada PRU14.

Tindakan menangguhkan pendaftaran automatik dan penurunan usia mengundi mungkin bakal menguntungkan gabungan Perikatan Nasional, namun dari sudut lain, ia memberi peluru buat pembangkang dan juga UMNO dalam membangkitkan isu dalam kalangan anak muda. Tambahan lagi anak muda lah yang paling terkesan dengan isu pengangguran, hutang PTPTN dan gaji permulaan yang rendah.

Karya seni untuk featured image direka oleh Roshinee Mookaiah