Mengapa Bumiputera Masih Ketinggalan Dalam Sektor Pembinaan?

Share it

Tinjauan Ekonomi Rakyat yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan penguasaan Bumiputera dalam sektor pembinaan masih amat terhad. Daripada 75 syarikat sektor ini yang disenaraikan di Bursa Malaysia, hanya 9% dikuasai Bumiputera.

Dari sudut permodalan pasaran, syarikat-syarikat Bumiputera pula hanya menyumbang 1.2% daripada keseluruhan nilai pasaran pembinaan yang berjumlah RM59.4 bilion.

Angka ini menunjukkan dasar kerajaan selama berdekad-dekad masih gagal mencapai matlamat dalam memperkukuh penguasaan Bumiputera dalam ekonomi. Berdasarkan data rasmi, pemilikan ekuiti Bumiputera secara keseluruhan juga masih rendah, iaitu pada kadar 18%, jauh daripada sasaran 30% yang ditetapkan ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1971.

Sebahagian penyelidik turut mempersoalkan asas sasaran 30% itu, memandangkan populasi Bumiputera ketika itu berjumlah 54% di Semenanjung Malaysia.

Kini, Bumiputera merangkumi 64% daripada keseluruhan penduduk Malaysia.

Dalam banyak kajian, jurang ekonomi yang besar khususnya melibatkan garis etnik, sering dikaitkan dengan risiko ketidakstabilan sosial.

Ekonomi Rakyat bertemu beberapa individu dalam sektor pembinaan bagi memahami punca Bumiputera masih gagal mencapai kemajuan bermakna dalam industri ini.

Seorang bekas kontraktor yang lama berkecimpung dalam sektor tersebut berkata terdapat beberapa cabaran utama yang menyukarkan kontraktor Bumiputera untuk berkembang. Antaranya ialah kekangan kewangan, rasuah, serta ekosistem industri pembinaan itu sendiri.

Menurut beliau, sektor pembinaan beroperasi dengan margin keuntungan yang nipis. Keadaan itu menyebabkan ramai kontraktor Bumiputera hanya bergantung kepada projek sedia ada untuk meneruskan operasi syarikat.

“ Kalau margin pun rendah, untuk mereka mengembangkan kapasiti agak sukar. Tambahan lagi ekosistem yang ada juga tidak membantu. “

Beliau menambah, hampir keseluruhan rantaian perniagaan industri ini dikuasai bukan Bumiputera. Jika jentera rosak atau perlu disewa, kontraktor Bumiputera lazimnya terpaksa mendapatkan alat ganti atau perkhidmatan daripada perusahaan bukan Bumiputera, yang mungkin menyebabkan mereka berdepan dengan diskriminasi.

Menurut beliau lagi, budaya rasuah yang berleluasa dalam industri pembinaan turut menghalang pembangunan kapasiti kontraktor Bumiputera, lebih-lebih lagi apabila kontraktor-kontraktor ini tidak mempunyai modal besar.

Keadaan ini mnyebabkan amalan “Ali Baba” semakin menjadi kebiasaan, apabila kontraktor yang memenangi projek menyerahkan kerja kepada syarikat lain, yang kebanyakannya bukan Bumiputera.

“ Kalau anda di tempat kontraktor itu, dengan modal yang sedikit. Selalu terpaksa melayan pegawai-pegawai di tapak. Cara yang terbaik adalah dengan sub projek tersebut kepada orang lain. Mereka ada financial capacities untuk menguruskan perjalanan projek dan melayan pegawai-pegawai tersebut, sementara menunggu bayaran masuk “

Seorang lagi tokoh korporat, yang pernah berkhidmat di dalam syarikat pembinaan terkemuka di Malaysia menyalahkan ahli politik yang menurutnya tidak bersungguh-sungguh membangunkan kapasiti Bumiputera.

“ Memang ada dasar-dasar diperkenalkan untuk memperkasakan kontraktor Bumiputera. Tetapi semua ini hanya lip service sahaja. Hakikatnya, untuk berpuluh tahun, tidak ada pun yang berubah. Ini sebabnya kita lihat hari ini hanya tujuh syarikat Bumiputera ada di dalam Bursa Malaysia “

Beliau berkata politik dan budaya lobi-melobi merupakan lumrah dalam industri pembinaan, khususnya bagi projek-projek kerajaan. Ini menyebabkan pihak yang mempunyai modal besar lebih berpeluang memenangi kontrak, manakala agenda Bumiputera terus tersisih daripada pertimbangan utama tentang siapakah yang bakal dianugerahkan projek tersebut.

Beliau memetik isu tender sistem LRT Laluan Pulau Pinang yang masih belum dianugerahkan sebagai contoh, tentang bagaimana usaha lobi-melobi berjalan sebelum projek dianugerahkan, sehingga menyebabkan keputusan tender tersebut tertangguh.

Isu ini turut mendapat liputan akhbar perniagaan, The Edge yang menyatakan bahawa pakej sistem LRT Laluan Pulau Pinang dianggarkan bernilai RM3 bilion.

Ketika ditanya sama ada kontraktor Bumiputera mempunyai kapasiti melaksanakan projek mega, beliau yakin tenaga kerja Bumiputera mencukupi dan memiliki pengetahuan pengurusan projek. Namun, itu sahaja tidak menjamin kejayaan.

“ Dalam pembinaan, kemampuan sahaja tidak mencukupi. Bukan tentang teknikal. Tetapi tentang kewangan. Ada cukup kewangan tak untuk anda menjalankan projek ini. “

Apabila ditanya sama ada Bumiputera masih mampu mengejar, beliau bersikap skeptikal kerana melihat keadaan di lapangan masih Business-As-Usual.

Sumbangan Perniagaan Bumiputera Kekal Rendah

Seorang penyelidik, Dr Zouhair Rosli berkata secara keseluruhan Bumiputera masih belum menyumbang secara besar kepada ekonomi negara.

“ Bayangkan ekonomi kita RM100 nilainya, perniagaan Bumiputera hanya menyumbang RM16. Manakala bukan Bumiputera menyumbang RM46. Hampir separuh ekonomi kita digerakkan oleh perusahaan bukan Bumiputera. “

Dalam sektor pembinaan, nilai tambah oleh syarikat-syarikat Bumiputera hanyalah sekitar RM21 bilion, jauh lebih rendah berbanding RM43 bilion yang disumbangkan oleh bukan Bumiputera.

RM1.7 Trilion Diagihkan Kepada Bumiputera Sejak Tahun 2000

Ketika ditanya mengenai isu Ali Baba, beliau berkata perkara itu sememangnya diakui ramai pihak, termasuk ketika Kongres Ekonomi Bumiputera yang berlangsung pada tahun 2024.

“ Masa Kongres Ekonomi Bumiputera. Dia (Datuk Seri Johari Abd Ghani) ada nyatakan berapa banyak Kerajaan letak duit untuk bagi kontrak kepada Bumiputera sejak 25 tahun lepas. RM1.7 trilion. Ini banyak nilainya. Sama dengan nilai ekonomi Malaysia ketika ini. Tapi sumbangan perniagaan Bumiputera masih rendah “

Beliau berkata keadaan itu berlaku kerana banyak pihak mengambil untung atas angin dengan menyerahkan projek yang diperoleh kepada pihak lain. Akibatnya, syarikat yang menerima kontrak gagal membina kapasiti sendiri dan terus kekal lemah.