Adakah Malaysia Bersedia Menghadapi Impak Perubahan Iklim? 

Share it

Malaysia bakal berdepan cabaran besar dalam menangani impak perubahan iklim. Menurut Laporan Pembangunan dan Iklim Negara Malaysia (CCDR) oleh Bank Dunia, negara memerlukan AS$32.56 bilion (RM128.81 bilion) dalam tempoh sedekad akan datang hanya untuk mengukuhkan daya tahan terhadap bencana alam. 

Bank Dunia turut menekankan bahawa keperluan pembiayaan tambahan lebih besar lagi di kawasan kritikal lain, dengan AS$69.8 bilion diperlukan untuk infrastruktur bekalan air dan AS$33.5 bilion untuk pengairan dalam tempoh 25 tahun akan datang. 

Ancaman Banjir & Isu Hakisan Pantai 

Statistik menunjukkan bahawa banjir kekal sebagai ancaman paling dominan di Malaysia, merangkumi 85% daripada keseluruhan kejadian bencana sejak tahun 2000. Selain itu, urbanisasi yang pesat tanpa sistem penyerapan air yang cekap memburukkan lagi keadaan. 

Baru-baru ini, beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas dan gangguan kepada pengguna jalan raya di Kuala Lumpur dan Selangor.

Selain itu, masalah hakisan pantai kini semakin parah akibat pelbagai faktor, termasuk perubahan iklim serta aktiviti pembangunan. Untuk rekod, kadar hakisan tahunan dianggarkan antara satu hingga 6.9 meter.

Menjelang tahun 2100, dianggarkan lebih satu pertiga kawasan bandar berisiko tinggi dilanda banjir kilat. Selain itu, kenaikan paras laut mengancam hab ekonomi dan geografi penting seperti Pelabuhan Klang, Pulau Pinang, dan Johor, yang bukan sahaja bakal kehilangan kawasan penempatan, malah hutan bakau dan tanah pertanian. 

Sektor Ekonomi Utama Lumpuh 

Dari sudut ekonomi pula, jika perubahan iklim tidak terkawal, ia berpotensi mengurangkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia sehingga 8.3% menjelang 2050. Sektor pertanian pula dijangka mengalami penurunan hasil tanaman sehingga 6%, manakala sektor pelancongan mungkin merosot sehingga 21.3%. Lebih buruk lagi, tekanan haba juga dijangka menjejaskan produktiviti buruh secara signifikan. 

Golongan Rentan Paling Terkesan 

Golongan berpendapatan rendah dijangka paling terkesan kerana lebih terdedah kepada risiko bencana dan kekurangan sumber untuk pemulihan. 

Laporan sama turut mendedahkan kira-kira 23% daripada populasi Malaysia kini sudah terdedah kepada kejutan iklim, dengan isi rumah berpendapatan rendah lebih berisiko berdepan kesan ekonomi jangka panjang.

Walau bagaimanapun, langkah adaptasi proaktif seperti pembangunan infrastruktur berdaya tahan, pertanian tahan iklim dan pengurusan bencana yang efektif berpotensi mengurangkan sehingga separuh daripada kerugian ekonomi yang dijangka. 

Namun, Bank Dunia memberi amaran bahawa cabaran pelaksanaan masih wujud, termasuk kelemahan tadbir urus, kekangan pembiayaan di peringkat tempatan serta jurang penyelarasan antara agensi, yang boleh memperlahankan usaha memperkukuh ketahanan iklim.