
Felo Kanan Institut Penyelidikan Asia Tenggara, Dr Lee Hwok Aun berpendapat bahawa dasar penswastaan yang dijalankan pada era pemerintahan Perdana Menteri keempat telah meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera, namun hanya memanfaatkan segelintir pihak yang berpengararuh.
Beliau yang ditemubual melalui e-mel turut menyatakan bahawa peningkatan ekuiti Bumiputera dari 12.5% pada tahun 1980 kepada lebih 19% pada tahun 90-an turut disumbangkan oleh kewujudan skim pelaburan Amanah Saham Bumiputera yang membantu menguruskan pelaburan Bumiputera.
” Kesan dasar penswastaan amat ketara, di mana ekuiti Bumiputera meningkat pada tahun 90-an. Saya rasa penubuhan Amanah Saham Bumiputera juga telah menyumbang kepada hasil tersebut. Penswastaan telah diketengahkan sebagai teras projek Masyarakat Industri dan Komersial Bumiputera (BCIC, Bumiputera Commercial and Industrial Community), yang bertujuan mengagihkan semula ekuiti dan juga menubuhkan kapitalis Bumiputera untuk mengetuai syarikat-syarikat yang diswastakan.
Kebanyakan syarikat dan kapitalis itu tenggelam akibat krisis ekonomi 1997-1998. Dasar penswastaan gagal mencapai matlamatnya. Ia juga sangat dicemari politik, di mana manfaat diperuntukkan berdasarkan pengaruh atau pertalian politik, bukan keupayaan atau pengalaman. “
Selain itu, Dr Lee turut mengkritik obsesi sebilangan pihak yang terlalu menekankan terhadap sasaran 30% pemilikan ekuiti ketika berbicara mengenai Dasar Ekonomi Baru. Menurut beliau, penekanan yang terlalu tinggi terhadap pemilikan ekuiti telah memesongkan polisi ke arah keuntungan jangka pendek sekaligus gagal meningkatkan keupayaan dan daya saing Bumiputera.
Pada masa yang sama, kita juga perlu menghentikan tabiat pemikiran yang terlalu memusatkan pemilikan ekuiti di dalam dasar awam, khususnya dasar pembangunan Bumiputera. Dasar Ekonomi Baru kerapnya disamakan dengan sasaran 30% ekuiti Bumiputera yang merupakan hanya salah satu daripada pelbagai objektif DEB. Penerusan DEB dijustifikasikan atas sebab masyarakat Bumiputera belum mencapai 30%.
Walaupun pemilikan saham sememangnya penting, tetapi penekanan yang melampau akan memesongkan polisi ke arah keuntungan jangka pendek sekaligus kurang meningkatkan keupayaan dan daya saing Bumiputera.
DEB pada asalnya telah menyarankan agar dasar pembangunan Bumiputera, atau tindakan afirmatif (affirmative action), yang lebih meluas, yang bertunjangkan perkongsian ekonomi penuh (full economic partnership) Bumiputera.
Hasrat ini sewajarnya merangkumi penyertaan dan pencapaian Bumiputera di arena pendidikan tinggi, pekerjaan kemahiran tinggi khususnya professional dan pengurusan, keusahawanan (termasuk PKS dan syarikat besar/korporat), dan pemilikan kekayaan (termasuk ekuiti).

Beliau turut mencadangkan agar penekanan terhadap penyertaan Bumiputera di dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana ( PMKS ) diberi keutamaan. Hal ini kerana statistik menunjukkan bahawa penyertaan Bumiputera di dalam sektor PMKS lebih tertumpu di dalam kategori mikro iaitu perusahaan yang mempunyai pekerja kurang daripada lima orang.
Data yang dikongsikan menunjukkan pemilikan Bumiputera di dalam keseluruhan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana hanyalah 38% meskipun hampir 70% penduduk di negara ini merupakan Bumiputera.
88% perusahaan yang dimiliki oleh Bumiputera juga adalah perusahaan Mikro manakala 11% lagi diklasifikasikan sebagai perusahaan kecil dan hanya 1% berada di dalam kategori perusahaan bersaiz sederhana.
Berbeza dengan pemilikan bukan Bumiputera dimana hanya 69% berada di dalam kategori perusahaan mikro manakala terdapat 28% dan 3% berada di dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana.
” Saya rasa amat wajar indikator PKS Bumiputera – dari segi pecahan mikro/kecil/sederhana, serta prestasi PKS – diketengahkan supaya dasar-dasar digemblengkan menujui objektif-objektif ini yang lebih produktif dan kurang berunsurkan kemewahan segera atau keuntungan jangka pendek. ” tambah beliau lagi
Ketika ditanya sama ada dasar afirmatif perlu diteruskan ataupun tidak. Beliau berpendapat bahawa dasar afirmatif akan berterusan dan tidak wajar dihentikan serta merta. Dr Lee turut berharap agar terdapat perubahan di dalam menjalankan dasar ini agar fungsi dan skop dapat diteliti kerberkesanannya.
” Dasar tindakan afirmatif sememangnya akan berterusan, ia tidak boleh dan tidak wajar dihentikan serta merta. Tetapi penerusan dasar ini perlu dihujahkan secara lebih bernas dan menyeluruh. Penerusan tidak bermaksud tiada perubahan. Malah, dasar ini mesti ditambahbaik dan diubah, bersesuaian dengan matlamat muktamadnya, iaitu peningkatan keupayaan dan daya saing Bumiputera, dan pengagihan manfaat yang saksama di dalam masyarakat Bumiputera. “

Dr Lee Hwok Aun merupakan ahli ekonomi yang mempunyai kepakaran luas di dalam isu ketidaksamaan dan tindakan afirmatif. Beliau meraih ijazah sarjana muda Ekonomi dari University of British Colombia dan menyambung pengajiannya di peringkat sarjana di School of Oriental and African Studies di dalam bidang Pembangunan Ekonomi Politik.
Dr Lee turut mempunyai PhD Ekonomi dari University of Massachussets dan baru menerbitkan buku bertajuk Affirmative Action in Malaysia and South Africa, Preference for Parity.
Artikel bahagian pertama : Pemilikan Ekuiti Bumiputera Semakin Rendah, Hanya Tinggal 16.2%
Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY
One thought on “” Dasar Penswastaan Tingkatkan Ekuiti Bumiputera, Namun Sangat Dicemari Politik ” – Dr Lee Hwok Aun”
Comments are closed.