Kemiskinan Haid Tak Wajar Dipandang Enteng

Share it

Artikel oleh Amyra Jasmine Rafi

Kemiskinan haid merupakan perkara yang jarang sekali dibincang kerana ‘isu wanita’ sering dianggap remeh dan peribadi yang tidak wajar mendapat perhatian kerajaan dari segi dasar sosial.

Kemiskinan haid berlaku kerana ramai wanita tidak mampu memperolehi tuala wanita sewaktu tempoh haid akibat kekangan kewangan. Kemiskinan haid amat membimbangkan kerana boleh menyebabkan kegagalan dalam penjagaan kebersihan sewaktu haid. Segelintir wanita miskin sering memakai kain kapas, sabut kelapa dan surat khabar sebagai pengganti tuala wanita.

Akibatnya, masalah kesihatan yang serius seperti jangkitan bakteria di bahagian faraj dan infeksi saluran kencing lebih kerap dihadapi kaum wanita. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, golongan wanita lebih berisiko terkena jangkitan saluran kencing kerana mereka mempunyai salur kencing (uretra) yang lebih pendek berbanding lelaki. Sebanyak 50 hingga 80 peratus wanita cenderung untuk mendapat infeksi saluran kencing sepanjang hayat mereka dan golongan ini berdepan risiko yang lebih tinggi apabila kebersihan sewaktu haid tidak diuruskan dengan rapi.

Hakikatnya, kemiskinan haid merupakan satu fenomena global. Pada tahun 2018, Bank Dunia telah menganggar seramai 500 juta wanita di seluruh dunia tidak mampu memperolehi keperluan asas sewaktu haid.

Namun, sehingga hari ini, Malaysia tidak memiliki statistik kadar kemiskinan haid di kalangan wanita. Malahan, kita juga turut ketinggalan dari segi kajian penyelidikan yang dapat mencapai penyelesaian masalah ini.

Tuala wanita dianggap sebagai barang mewah disebabkan belanja yang boleh mencecah belasan ringgit setiap bulan, bergantung kepada aliran darah haid individu. Belanja besar ini menyebabkan kumpulan wanita B70 tidak mampu memiliki barang asas sewaktu haid. Kesannya, sebilangan pelajar perempuan tidak hadir ke sekolah sewaktu tempoh haid setiap bulan. Ketidakhadiran pelajar-pelajar ini sudah tentu menjejaskan prestasi akademik mereka. Lebih menyedihkan, ada juga wanita yang sanggup hamil untuk mengelak daripada membeli tuala wanita selama 9 bulan.

Akan tetapi, terdapat beberapa negara maju yang berusaha menangani cabaran ini. Sebagai contoh, baru-baru ini, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern telah memberi tuala wanita secara percuma kepada semua murid perempuan di sekolah. Menurut Ardern, langkah ini bertujuan memastikan pelajar perempuan tidak ketinggalan dalam pelajaran dan merupakan satu usaha pihak kerajaan New Zealand untuk menyelesaikan masalah kemiskinan haid di negara itu.

Kerajaan Scotland juga telah mengambil langkah yang serupa pada akhir tahun 2019 dengan menyediakan bekalan percuma produk kerbersihan haid bagi pelajar sekolah, kolej mahupun universiti. Negara-negara ini patut dijadikan teladan global, khususnya dalam usaha memajukan hak para wanita. Malaysia wajar mengamal polisi menangani kemiskinan haid untuk meningkatkan kesedaran sekaligus menangani masalah ini.

Selain itu, perbincangan positif tentang menstruasi juga harus digalakkan di kalangan masyarakat sebagai usaha untuk menghapuskan stigma negatif terhadap kitaran haid. Darah haid lazimnya dipandang kotor, kesannya wanita sering berasa tidak yakin dan malu untuk berbincang tentang perkara ini bersama ahli keluarga dan rakan-rakan mereka.

Sehubungan itu, kerajaan patut mempertimbang untuk menerapkan pembelajaran berkaitan haid dalam kurikulum sekolah pada setiap peringkat kerana sudah tiba masanya menstruasi dianggap sebagai proses semula jadi yang dialami setiap wanita, bukan dilihat sebagai isu yang menjijikkan.

Penjagaan kebersihan sewaktu haid adalah suatu keperluan asas manusia, tidak seharusnya dianggap sebagai isu ekslusif yang melibatkan kaum wanita malah tidak wajar dipandang remeh.

Amyra Jasmine merupakan pelatih di Khazanah Research Institute dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik & Kerajaan dari University of Waikato, New Zealand.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY