Doi Moi – Meneroka Formula Kejayaan Ekonomi Vietnam

Share it

Sebelum memasuki abad ke-21, Vietnam telah melalui fasa peperangan tanpa henti yang berlanjutan selama puluhan tahun. Peperangan ini berlaku melibatkan beberapa negara kuasa besar seperti Perancis, Amerika Syarikat dan China. Vietnam juga pernah berperang dengan negara jiran Kemboja yang pada ketika itu dikuasai oleh rejim Khmer Rouge dan diktator Pol Pot. Akibatnya, jutaan nyawa orang awam telah terkorban serta kemusnahan yang dahsyat terhadap ekonomi Vietnam.

Pertumbuhan ekonomi Vietnam adalah antara yang terpantas di dunia, dengan purata 6.6% antara tahun 1986-2019

Namun, siapa sangka Vietnam yang suatu ketika dahulu merupakan antara negara termiskin kini bangkit memiliki pertumbuhan ekonomi antara yang terpantas di dunia. Purata kadar pertumbuhan ekonomi Vietnam adalah setinggi 6.6% antara tahun 1986 dan 2019. Malah, Vietnam merupakan antara negara ASEAN, selain Laos, yang mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi tahunan yang positif sejak pandemik COVID-19 melanda pada tahun 2020. Antara tahun 1985 sehingga 2022, Vietnam langsung tidak pernah mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK yang negatif.

Pencapaian sekolah-sekolah di Vietnam dalam Ranking PISA 2022 adalah lebih baik berbanding Malaysia

Ada beberapa indikator penting dalam aspek pendidikan serta penyertaan kaum wanita dalam tenaga buruh di Vietnam ketika ini adalah lebih baik jika dibandingkan dengan Malaysia. Misalnya, dalam ranking pencapaian murid PISA 2022 yang diterbitkan oleh OECD, Vietnam menduduki tangga ke-31 daripada 81 buah negara bagi subjek matematik, ke-34 dalam membaca dan ke-35 dalam subjek sains. Sebaliknya, Malaysia menduduki tangga ke-54 bagi subjek matematik, ke-60 dalam membaca dan ke-52 bagi subjek sains.

Vietnam memiliki kadar penyertaan tenaga buruh wanita antara yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN

Begitu juga dengan kadar penyertaan tenaga buruh kaum wanita sebanyak 70% di Vietnam. Ia merupakan antara yang tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN termasuklah Malaysia (56%), Singapura (59%) dan Thailand (59%).

Pelaburan Asing dan Keterbukaan Ekonomi: Formula Kejayaan Ekonomi Vietnam

Sebagai sebuah negara yang diperintah oleh parti berfahaman komunisme, Vietnam memgamalkan pendekatan ekonomi sosialisme yang berasaskan ‘state-planning’. Dahulu, tidak ada istilah sektor swasta dan perniagaan milik persendirian di Vietnam. Akibatnya, Vietnam yang mengharungi beberapa siri peperangan selepas peperangan berhadapan kesukaran untuk membangunkan ekonomi dengan baik. Ia dapat dilihat pada KDNK per kapita yang berada sekitar AS$200 – AS$300 pada tahun 1984. 

Namun, segalanya berubah apabila Parti Komunis Vietnam mula melaksanakan dasar Doi Moi pada tahun 1986 yang mengiktiraf hak-hak tanah persendirian serta menghapuskan amalan bercucuk tanam secara kolektif. Malah, syarikat-syarikat milik Kerajaan mula perlahan-lahan diswastakan supaya lebih kompetitif dalam pasaran.

KDNK per kapita Vietnam naik hampir 10 kali ganda antara tahun 1986 dan 2022

Impak positif pelaksanaan polisi Doi Moi ini hanya dapat dilihat bermula awal 1990an, iaitu selepas konflik antara Vietnam dan China semakin reda. KDNK per kapita Vietnam naik hampir 10 kali ganda daripada AS$430.2 pada tahun 1986 kepada AS$4,163.5 pada tahun 2022. Pada tahun 1993, enam daripada 10 rakyat Vietnam tergolong dalam kategori miskin. Namun, kadar kemiskinan di Vietnam telah menurun kepada hanya 4.4% pada tahun 2021. Daripada sebuah negara termiskin di dunia, Vietnam kini telah menjadi sebuah negara berpendapatan pertengahan rendah (upper middle income countries).

Antara reformasi penting yang dilakukan Kerajaan Vietnam ialah dengan meluluskan Akta Syarikat dan Akta Pelaburan pada tahun 1999. Kedua-dua akta tersebut menjadi rangka kerja undang-undang yang menggalakkan perkembangan sektor swasta dan kemasukan pelaburan asing. Dalam erti kata lain, Kerajaan Vietnam mula mengamalkan dasar ekonomi yang lebih terbuka serta mesra pelabur dan sektor swasta.

Jumlah FDI yang diterima Vietnam meningkat lebih 17 kali ganda antara tahun 1999 dan 2022

Hasilnya, pelaburan langsung asing (FDI) yang diterima Vietnam telah meningkat daripada hanya AS$1.4 bilion pada tahun 1999 kepada AS$17.9 bilion pada tahun 2022. Aliran masuk FDI pada tahun lalu ialah yang terbesar pernah direkodkan dalam sejarah negara itu. Malah, FDI yang diterima Vietnam sebanyak AS$17.9 billion pada tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada FDI yang diterima Malaysia, iaitu sebanyak AS$17.1 bilion pada tahun yang sama, menurut data ASEANStats.

Kini, sektor swasta telah berkembang dengan begitu pesat di Vietnam, memberikan peluang pekerjaan kepada 83% tenaga kerja. Malah, sektor swasta menjadi enjin utama yang menggerakkan pertumbuhan ekonomi dengan menyumbangkan hampir separuh daripada KDNK Vietnam pada ketika ini. 

Antara sektor-sektor utama yang memacu pertumbuhan ekonomi ini termasuklah sektor perkhidmatan dan pembuatan. Kemasukan pelabur-pelabur asing serta bekalan tenaga buruh yang murah telah melonjakkan ekonomi Vietnam menerusi penghasilan pelbagai produk tekstil dan kasut serta produk elektrik dan elektronik (E&E). 

Nilai eksport produk tekstil dan kasut mencecah AS$71 bilion pada tahun 2022. Beberapa jenama sukan terkenal seperti Adidas dan Nike turut menjadikan Vietnam sebagai hab penghasilan produk-produk mereka sehingga menjadikan barangan pakaian sukan ini sudah menjadi sinonim dengan “Made in Vietnam”. 40% produk Adidas dilaporkan telah dikeluarkan di Vietnam pada tahun 2021. 

Polisi dan dasar Kerajaan yang tidak menentu di China seperti pelaksanaan polisi Sifar COVID-19 pada tahun lalu telah menyebabkan Vietnam dilihat sebagai alternatif pelaburan yang lebih berisiko rendah. Misalnya, Foxconn, iaitu syarikat pembekal jenama Apple, telah mengumumkan kilang baharu mereka di Saigon, Vietnam. Ia merupakan salah satu strategi diversifikasi perniagaan mereka keluar dari China. Syarikat-syarikat lain seperti Mazda dan Dell turut mengumumkan pelan untuk mengeluarkan kilang pembuatan mereka dari China dan masuk ke pasaran Vietnam.

Risiko ‘Middle Income Trap’ buat Vietnam

Kadar pertumbuhan ekonomi yang pantas dan peningkatan kemasukan pelaburan asing yang sedang dinikmati Vietnam pada ketika ini sebenarnya hampir sama seperti situasi di Malaysia semasa era 1990-an. Pada waktu itu, Malaysia mencatatkan purata kadar pertumbuhan ekonomi sekitar 8%-9% sebelum berlakunya Krisis Kewangan Asia 1997. Malah, Malaysia turut disebut-sebut sebagai Harimau Asia yang dikatakan mampu menjadi kuasa besar ekonomi Asia pada masa hadapan. Keyakinan ini telah mendorong Malaysia meletakkan sasaran untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Namun, segala cita-cita dan impian tidak kesampaian apabila Malaysia dilanda Krisis Kewangan Asia 1997. Meskipun Malaysia akhirnya berjaya pulih daripada krisis tersebut, momentum ekonomi tersebut semakin pudar. Lebih memburukkan keadaan, Malaysia terus terdedah kepada beberapa siri krisis ekonomi global yang berlaku selepas itu. 

Antara faktor yang menyebabkan Malaysia gagal mencapai status negara maju atau negara berpendapatan tinggi ialah kerana model industri yang bergantung terlalu besar kepada kaedah pengeluaran berasaskan buruh yang lapuk, terutamanya dengan pengambilan pekerja asing yang terlalu ramai dan pelaksanaan waktu kerja yang terlalu panjang serta tidak produktif. 

Kajian yang dilakukan oleh Profesor Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah mendapati Korea Selatan berjaya meningkatkan KDNK sebenar per jam daripada AS$4.7 (1980) kepada AS$25.4 (2010) dengan mengurangkan waktu bekerja daripada 49 jam kepada 44 jam. Namun, Malaysia pula hanya mampu menaikkan KDNK sebenar per jam daripada AS$5.3 (2000) kepada AS$7.1 (2010) dalam keadaaan waktu bekerja dikekalkan pada 49 jam seminggu.

Dalam kajian yang dilakukan oleh Bank Dunia (2015), peningkatan aliran masuk pekerja asing sebanyak 10% didapati telah menyebabkan gaji pekerja tempatan yang berpendidikan rendah di Malaysia berkurangan sebanyak 0.74%. Kemasukan pekerja asing berisiko menekan gaji pekerja tempatan untuk kekal rendah, sepertimana yang ditunjukkan dalam sebuah lagi kajian oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2018. Gaji yang rendah menjejaskan taraf hidup rakyat dan seterusnya menggagalkan usaha Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Kemajuan ekonomi yang dicapai oleh Malaysia semasa awal 1990-an gagal dimanfaatkan dengan baik. Sepatutnya, Malaysia mengambil kesempatan tersebut dengan menaik taraf industri ke arah pengeluaran yang lebih berasaskan modal, dengan membawa masuk lebih banyak teknologi terkini agar dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti dan bergaji tinggi. Malangnya, Malaysia terus menerus bergantung kepada teknologi lapuk. Akibatnya, Malaysia bergelut dengan masalah industri yang terus terperangkap dalam segmen rantaian nilai tambah yang rendah.

Keengganan Malaysia untuk mentransformasikan model industri kepada pengeluaran berasaskan modal (capital intensive) sekali lagi menjadi episod sejarah berulang ketika pandemik COVID-19 melanda. Beberapa sektor seperti perladangan dan pembuatan dilanda isu kekurangan buruh dengan begitu teruk ketika pembukaan semula ekonomi pasca pandemik COVID-19 sehingga menjejaskan tahap produktiviti dan pengeluaran mereka.

Misalnya, sektor getah negara dilaporkan mengalami kerugian RM30 bilion antara tahun 2019-2021 akibat kekurangan tenaga buruh, menurut Majlis Getah Malaysia (MRC). Sekiranya industri berfikiran lebih jauh dan tidak kedekut melabur lebih banyak dalam teknologi, sudah pasti isu sebegini tidak akan timbul, terutamanya ketika musim krisis.

Vietnam kini sedang berhadapan dengan satu persimpangan atau fasa ‘make it or break it’ yang akan menentukan hala tuju ekonomi negara mereka untuk masa akan datang. Apa yang diperlukan ialah Vietnam harus mengambil peluang pertumbuhan ekonomi pantas ini dengan menambah baik kaedah pengeluaran mereka dalam industri. 

Antara industri yang berpotensi ialah sektor tenaga hijau dan kelestarian alam sekitar, terutamanya industri kenderaan elektrik (EV). Vietnam merupakan negara Asia Tenggara pertama yang berjaya menghasilkan EV tempatan menerusi syarikat VinFast. Ia berbeza dengan pendekatan kebanyakan negara ASEAN lain yang hanya menjadi hab pemasangan atau dijadikan ibu pejabat bagi syarikat-syarikat pengeluar EV antarabangsa seperti Tesla, Volvo dan BYD. VinFast telah disenaraikan di Nasdaq sekitar pertengahan Ogos 2023.  

Menurut Counterpoint Research, jumlah jualan EV di Asia Tenggara naik 894% tahun-ke-tahun bagi suku kedua 2023, sekali gus mencerminkan permintaan yang tinggi terhadap EV di rantau ini. Meskipun syarikat baharu, VinFast mempunyai kelebihan dengan menawarkan model EV yang lebih murah berbanding pesaing-pesaingnya. Misalnya, model VF5 Plus SUV dijual pada harga bermula AS$23,000 di Vietnam. Malah, VinFast juga telah berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat sejak Mac lalu.

Vietnam Perlu Melabur Dalam Teknologi dan Program R&D Untuk Menjadi Negara Maju

Pelaburan dalam teknologi dan program-program penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan membuka ruang untuk lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi diwujudkan dalam negara. Perjanjian-perjanjian pelaburan dengan negara-negara luar juga harus disemak dengan lebih teliti supaya syarikat-syarikat luar ini tidak hanya mengambil kesempatan atas kos tenaga buruh yang murah di Vietnam, sebaliknya menyokong agenda ke arah industri yang lebih cekap dan efektif seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

Langkah ini selari dengan perancangan jangka panjang. Hal ini kerana lebih daripada 40% graduan di universiti-universiti di Vietnam merupakan daripada bidang sains dan kejuruteraan. Vietnam juga dilaporkan antara 10 negara yang memiliki graduan teramai dalam bidang kejuruteraan di dunia, menurut data World Atlas. Adalah tidak masuk akal jika melihat pada data ini, bersama dengan pencapaian pelajar-pelajar Vietnam yang cukup baik dalam ranking PISA, namun peluang pekerjaan yang tersedia buat mereka nanti hanyalah kerja-kerja berkemahiran rendah.

Lebih parah, bakat-bakat yang ada dalam kalangan rakyat Vietnam ini mungkin akan mengambil keputusan untuk keluar ke negara lain, menyebabkan berlakunya insiden ‘brain drain’ yang kronik. Lebih-lebih lagi, rata-rata penduduk di Vietnam merupakan golongan muda, dengan purata usia berumur 35 tahun.

Sekiranya anjakan model ekonomi ini tidak diuruskan dengan baik, mungkin hasrat Vietnam untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2045 tidak tercapai. Polisi-polisi ekonomi yang dilaksanakan pada ketika inilah yang akan menjadi penentu sama ada Vietnam akan menembusi senarai negara-negara berpendapatan tinggi, atau hanya terperangkap dalam ‘middle income trap’ sepertimana yang telah berlaku kepada Malaysia.