Ekonomi 101: Tiga Faktor Utama Mempengaruhi Turun Naik Nilai Ringgit

Share it

Antara isu ekonomi yang kadang kala mendapat tumpuan umum secara ‘bermusim’ ialah turun naik nilai matawang ringgit. Bagi perniagaan-perniagaan yang bergantung besar kepada aktiviti import atau eksport, turun naik nilai ringgit berbanding dolar AS akan menentukan prestasi keuntungan mereka. Begitu juga dengan para pelabur, mereka sering memerhati rapat pergerakan ringgit bagi menentukan keputusan pelaburan yang ingin dibuat kelak.

Bagi rakyat Malaysia secara amnya, mungkin kebanyakan mereka tidaklah sebegitu tekun dalam mengikuti turun naik ringgit di pasaran, cukup sekadar mendengar berita-berita pergerakan matawang yang dilaporkan dalam media arus perdana. Namun begitu, apa yang penting untuk disedari ialah isu nilai ringgit ini kadang kala mudah untuk dimanipulasikan golongan tertentu. Kejatuhan nilai ringgit sering dijadikan modal politik untuk menyalahkan Kerajaan. Manakala di saat nilai ringgit mengukuh pula dikatakan menjadi petunjuk keyakinan yang mantap terhadap pentadbiran Kerajaan.

Dengan adanya pengetahuan yang mencukupi berkenaan faktor yang mempengaruhi turun naik nilai ringgit akan membantu untuk memahami dengan lebih jelas mengenai pergerakan matawang negara ini.

Malaysia Import Barangan Berjumlah $238.2 Bilion Pada Tahun 2021

Hal ini kerana meskipun rata-rata rakyat Malaysia mungkin tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti pelaburan atau perniagaan seperti yang disebutkan di atas, implikasi daripada turun naik ringgit ini turut mempengaruhi kuasa membeli mereka di dalam pasaran, terutamanya melibatkan barangan import. Pada tahun lepas misalnya, jumlah import naik 31.3% ke paras tertinggi dalam sejarah, mencecah RM1.3 trillion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. Manakala dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia merekodkan sejumlah AS$238.2 billion import pada tahun 2021, lebih tinggi berbanding Indonesia (AS$196.2 billion) dan Filipina (AS$134.0 billion).

Meskipun Malaysia saban tahun mencatatkan lebihan dagangan, terdapat beberapa barangan yang terpaksa diimport daripada luar negara demi menampung permintaan domestik. Antaranya ialah bahan makanan, terutamanya sayur-sayuran. Malaysia mengimport sejumlah RM55.5 billion makanan pada tahun 2020, berbanding RM33.8 billion bahan makanan yang dieskport. Dalam tempoh hampir tiga dekad, kebergantungan Malaysia terhadap import komoditi pertanian meningkat dari 7.3% (1987) kepada 13.7% (2015). Sekiranya matawang negara tidak stabil, perkara ini akan menjejaskan kos barangan makanan yang diimport, serta turut berisiko mengakibatkan kadar inflasi menjadi tidak terkawal.

Daging Lembu/Kerbau Antara Bahan Makanan Yang Bergantung Tinggi Terhadap Bekalan Import

Secara umumnya, turun naik nilai matawang adalah sebuah situasi yang normal, bergantung kepada permintaan dan penawaran dalam pasaran. Terdapat beberapa faktor yang seringkali mempengaruhi nilai ringgit dalam pasaran, termasuklah kestabilan politik dan prestasi ekonomi negara, kadar inflasi, keputusan kadar faedah bank pusat, sentimen pasaran dan keyakinan para pelabur, prestasi dagangan serta kekuatan matawang dolar AS. Ada antara faktor ini yang berasal dari dalam (internal), mahupun luar negara (external).

Disebabkan ini, kadang kala agak sukar untuk menentukan samada sesuatu peristiwa yang berlaku di dalam atau luar negara itu yang menjadi punca turun naik nilai matawang ringgit kerana terdapat begitu banyak faktor yang memainkan peranan dalam masa yang sama.

Pertama, kestabilan politik dan prestasi ekonomi negara berkait rapat dengan keputusan para pelabur samada untuk meneruskan pelaburan mereka dalam ekuiti atau bon di Malaysia. Sekiranya Malaysia mampu mengekalkan kestabilan politik dan prestasi ekonomi yang baik, perkara ini akan memberi petunjuk yang positif serta jaminan kepada pelabur untuk meneruskan pelaburan mereka di negara ini. Permintaan terhadap matawang ringgit akan meningkat, lantas menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Bahmani-Oskooee et al. (2019) melibatkan 31 buah negara sedang dan pesat membangun termasuklah Malaysia, mereka mendapati bahawa sesebuah negara yang mempunyai masalah penyelewengan yang teruk serta landskap politik yang tidak stabil akan lebih cenderung mengalami penyusutan kadar tukaran matawang sebenar. Hal ini kerana ketidakstabilan politik akan menyebabkan para pelabur berasa tidak selamat untuk melaburkan wang mereka, lantas mereka lari keluar dari negara berkenaan.

Kedua, kadar faedah yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) memberikan implikasi secara langsung terhadap nilai matawang ringgit dan dolar AS. Seperti dijelaskan dalam sebuah artikel yang dimuatkan dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016 berjudul ‘Exchange Rate Volatility and Disconnect: Structural or Cyclical?’, perbezaan antara polisi kewangan yang dijalankan oleh Fed dan negara-negara maju yang lain sering menyebabkan perubahan ketara terhadap aliran modal serta pergerakan turun naik matawang di negara-negara membangun.

Penetapan kadar faedah merupakan salah sebuah instrumen polisi kewangan yang digunakan oleh bank-bank pusat untuk mengawal aliran wang dalam ekonomi, demi mencapai sasaran kadar inflasi yang diinginkan.

Ketika pandemik COVID-19 mula-mula melanda, kebanyakan bank pusat di seluruh dunia mengambil keputusan untuk menurunkan kadar faedah bagi memberi peluang kepada lebih banyak pinjaman dibuat bagi merancakkan kembali aktiviti ekonomi dan pelaburan.

Di Malaysia misalnya, kadar dasar semalaman (OPR) diturunkan sebanyak 25 mata asas empat kali berturut-turut, daripada 3.0% pada November 2019 kepada 1.75% pada Julai 2020. Manakala di Amerika Syarikat juga lebih kurang sama apabila kadar dana persekutuan dipotong sebanyak 100 mata asas pada 16 Mac 2020, menjadikan kadarnya antara 0% hingga 0.25%.

Walaubagaimanapun, apabila pandemik COVID-19 beransur pulih sekitar tahun 2022, bank-bank pusat ini mengambil keputusan untuk menaikkan semula kadar faedah, terutamanya bagi membendung tekanan inflasi yang berisiko menjejaskan pemulihan ekonomi negara masing-masing. Kenaikan kadar faedah ini juga sebahagian dari proses normalisasi yang dijalankan untuk mengembalikan kadar faedah ke paras normal pra-pandemik, selaras dengan kedudukan ekonomi yang semakin pulih ketika ini.

Sejak Mei tahun lalu, BNM telah giat menaikkan OPR berjumlah 125 mata asas secara keseluruhannya, kepada 3.0% yang terkini. Begitu juga dengan Fed, kadar dana persekutuan telah dinaikkan berjumlah 450 mata asas kepada 5.25% antara Mac 2022 hingga Mei 2023. Persoalannya, bagaimanakah turun naik kadar faedah ini mempengaruhi turun naik ringgit?

Daripada perspektif pelaburan, para pelabur akan cenderung untuk melabur di negara yang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi. Hal ini kerana kadar faedah yang lebih tinggi membolehkan mereka memperoleh pulangan pelaburan yang lebih lumayan. Disebabkan inilah sekiranya terdapat ura-ura bahawa kadar faedah akan dinaikkan di AS, para pelabur akan berpusu-pusu menjual pegangan ekuiti mereka di Malaysia untuk membeli ekuiti AS demi meraih pulangan yang lebih tinggi. Permintaan yang tinggi terhadap matawang asing (dolar AS), menyebabkan nilai matawang tempatan (ringgit) susut.

Sebagai contoh, data MIDF merekodkan jualan bersih ekuiti Malaysia oleh pelabur asing selama empat minggu berturut-turut antara 9 Januari hingga 3 Februari 2023. Sejumlah RM380.8 juta ekuiti Malaysia dijual oleh pelabur asing semasa minggu berakhir 3 Februari 2023, iaitu 89.6% lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya. Peningkatan mendadak penjualan ekuiti oleh pelabur asing ini didorong oleh pengumuman kenaikan kadar faedah oleh Pengerusi Fed Jerome Powell sebanyak 25 mata asas pada 2 Februari 2023 menerusi mesyuarat pertama Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS tahun 2023. Akibatnya, nilai ringgit menyusut 0.3% kepada RM4.2587/USD semasa dagangan ditutup pada hari Jumaat (3 Februari 2023). Sebagai rekod, pada waktu ini BNM membuat keputusan untuk tidak menaikkan OPR.

Begitu juga dengan ketika ini, ringgit semakin kukuh berbanding dolar AS, ditutup pada nilai tertinggi dalam tempoh dua minggu, 4.4350/4400 pada Jumaat (5 Mei 2023). Nilai ringgit yang semakin kukuh ini didorong oleh nilai dolar AS yang semakin lemah. Hal ini kerana meskipun Fed mengumumkan kenaikan kadar dana persekutuan untuk kali yang kesepuluh berturut-turut Rabu lepas, kebanyakan pihak meramalkan Fed sudah sampai dalam fasa penamatan kitaran kenaikan kadar faedah, memandangkan tekanan inflasi semakin reda di Amerika Syarikat. Ini bermaksud Fed mungkin akan berhenti menaikkan kadar faedah tidak lama lagi.

Ketiga, perdagangan eksport dan import turut mempengaruhi nilai matawang ringgit. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip ekonomi terbuka, Malaysia mengambil bahagian dengan begitu aktif dalam perdagangan melibatkan banyak negara termasuklah China, Kesatuan Eropah dan Singapura, sama ada secara dua hala atau pelbagai hala.

Antara indikator utama untuk menentukan prestasi perdagangan sesebuah negara disebut sebagai terma perdagangan, yang merujuk kepada nisbah harga eksport dan import. Sekiranya harga eskport sesebuah negara itu naik lebih tinggi berbanding harga import, terma perdagangan akan bertambah baik. Perkara ini memberi kelebihan kerana satu unit eksport mampu membeli lebih banyak unit import, menyebabkan barangan import menjadi lebih murah serta taraf hidup dapat ditingkatkan. Situasi ini akan mendorong permintaan yang lebih tinggi terhadap eksport serta matawang tempatan, lantas menyebabkan nilai matawang tempatan turut naik.

Sebuah lagi faktor yang kadang kala turut mendorong turun naik nilai ringgit ialah harga minyak mentah global. Secara teorinya, harga minyak mentah yang tinggi memberi impak positif kepada nilai ringgit, memandangkan minyak mentah merupakan antara komoditi utama negara. Kajian oleh Pejabat Penyelidikan Makreokonomi ASEAN +3 (AMRO) bertajuk ‘Menilai Impak Harga Minyak Terhadap Ekonomi Malaysia’ pada tahun 2021 mendapati kenaikan harga minyak sebanyak 1% akan mendorong kepada pengukuhan nilai ringgit sebanyak 0.03% pada keesokan harinya. Ketika pandemik COVID-19 mula tercetus pada awal 2020, harga minyak mentah global menjunam berikutan penurunan permintaan secara drastik. Akibatnya, nilai ringgit menjadi lemah berbanding matawang-matawang utama seperti dolar AS, dolar Singapura, paun sterling British dan juga yen. Namun, hubung kait diantara Ringgit dan harga minyak mentah kelihatan sudah semakin berkurangan ketika ini.

Sebagaimana dijelaskan di atas, turun naik matawang dalam pasaran merupakan sebuah fenomena yang normal, dengan syarat turun naik tersebut tidak bersifat ekstrim. Hal ini kerana sekiranya nilai ringgit terus jatuh merudum, perkara ini akan menyebabkan Malaysia bakal berdepan dengan banyak masalah. Dalam masa yang sama, amat penting untuk difahami juga bahawa terdapat banyak faktor yang mempengaruhi turun naik sesebuah matawang. Kefahaman yang jelas mengenai faktor-faktor ini akan membantu seseorang memahami pergerakan matawang serta menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa sesetengah pihak yang mungkin memanipulasikan isu turun naik matawang ini.

One thought on “Ekonomi 101: Tiga Faktor Utama Mempengaruhi Turun Naik Nilai Ringgit

Comments are closed.