Perkembangan dan kemajuan ekonomi dalam beberapa dekad yang lepas telah menyaksikan berlakunya evolusi dalam industri kopi di Malaysia. Kopi yang dahulunya diminum santai sewaktu sarapan pagi mahupun minum petang, kini telah bertukar menjadi satu gaya hidup ekslusif buat sebilangan orang.
Minum kopi kini bukan lagi semata-mata soal rasa, tetapi juga didorong oleh nilai estetika, status sosial dan kepuasan.
Berbanding dahulu, pilihan yang ada agak terhad. Generasi lama hanya mengenali kopi sebagai kopi ‘o’ dan mungkin versi yang sedikit ‘fancy’ adalah kopi ais atau kopi tarik yang dicampur susu pekat. Namun, inovasi dalam cara penyediaan dan pilihan biji kopi yang lebih meluas telah melahirkan pelbagai pilihan menu yang agak kompleks dan kadangkala penuh dengan jargon-jargon baharu yang mungkin sedikit memeningkan kepala.
Industri Kopi Semakin Mendapat Permintaan Hangat di Malaysia

Antara faktor yang memacu kemunculan pelbagai kedai kopi di negara ini adalah disebabkan oleh peningkatan permintaan, khususnya dari golongan muda, sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Menurut data Statista, sebanyak 850,000 unit beg kopi seberat 60kg telah digunakan rakyat Malaysia pada tahun 2019, iaitu peningkatan mendadak berbanding purata sekitar 600,000 unit beg kopi seberat 60kg yang digunakan pada setiap tahun antara 2013-2018.
Penggunaan kopi di Malaysia turun kepada 635,000 unit beg kopi seberat 60kg pada tahun 2020 susulan penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan operasi industri makanan dan minuman (F&B) terjejas teruk. Namun, pembukaan semula ekonomi pasca-pandemik telah melonjakkan kembali permintaan kopi kepada 800,000 unit beg kopi seberat 60kg pada tahun 2021 dan 2022.
Kesibukan bekerja merupakan antara salah satu penyumbang utama kepada peningkatan permintaan terhadap kopi di Malaysia. Hal ini kerana kopi sering sinonim dengan kesannya yang mampu membuatkan peminum berasa lebih segar untuk melakukan kerja. Malah, ada sebilangan rakyat Malaysia juga gemar menjadikan kedai-kedai kopi, terutamanya yang mempunyai Wi-Fi percuma, sebagai pilihan untuk menyiapkan kerja atau mengulang kaji pelajaran.
Faktor media sosial juga turut memainkan peranan penting. Perasaan ingin cuba atau ‘fear of missing out’ (FOMO) yang dimiliki oleh golongan muda menyebabkan mereka lebih teruja dalam mencuba pelbagai kedai-kedai kopi dan menu baharu yang ditawarkan. Perbuatan meminum kopi dianggap sebagai gaya hidup yang lebih ‘trendy’ dan ‘classy’ yang perlu dikongsi dengan pengikut-pengikut di media sosial.
Namun, tidak semua yang meminum kopi hanya untuk ‘cuba-try’ semata-mata. Ada dalam kalangan mereka merupakan penggemar kopi yang lebih mementingkan kualiti berbanding jenama dan imej semata-mata. Pendekatan sebegini telah melahirkan apa yang disebut sebagai ‘gelombang ketiga kopi’. Bagi mereka, apa yang lebih penting bukanlah hanya rasa kopi tersebut, namun juga aspek-aspek lain yang lebih menyeluruh seperti kualiti dan kemampanan penanaman dan pemprosesan biji kopi, sehinggalah ke penyediaan minuman.
Gelombang Industri Kopi di Malaysia
Di Malaysia, rangkaian kedai-kedai kopi dikuasai sebahagian besarnya oleh jenama-jenama francais antarabangsa seperti Starbucks dan Coffee Beans & Tea Leaf. Selain itu, jenama-jenama francais tempatan seperti Zus Coffee, San Francisco Coffee dan Richiamo Coffee juga semakin mendapat tempat dalam hati rakyat Malaysia. Tidak kurang juga terdapat pelbagai kedai kopi sama ada moden berkonsepkan ‘hipster’ dan ‘estetik’, atau masih mengekalkan ciri-ciri tradisional seperti kopitiam yang rata-ratanya dimiliki oleh perniagaan-perniagaan yang lebih kecil dan sederhana.

Peningkatan permintaan terhadap kopi telah mendorong syarikat-syarikat ini untuk membuat keputusan lebih berani dalam mengembangkan perniagaan mereka. Misalnya, Starbucks memasuki Malaysia menerusi pembukaan outlet pertama mereka di KL Plaza pada Disember 1998 dan sehingga kini, Starbucks memiliki sebanyak 356 outlet di kesemua negeri dan wilayah di Malaysia. Secara puratanya, Starbucks membuka kira-kira 14 outlet baharu pada setiap tahun di negara ini sejak 1998 sehinggalah kini.
Jenama kopi dari seberang, Kenangan Coffee juga mula menapak di Malaysia sejak tahun lepas menerusi pembukaan sebanyak lima buah outlet. Syarikat F&B bertaraf unicorn pertama di Asia Tenggara itu kini telah memiliki 22 buah outlet di Malaysia setakat Oktober 2023. Malaysia merupakan negara pertama yang menjadi destinasi pembukaan outlet Kenangan Coffee di luar Indonesia.

Begitu juga dengan Zus Coffee yang baru sahaja dilancarkan pada tahun 2019, namun telah berkembang kepada 307 cawangan di seluruh Malaysia ketika ini. Kos perniagaan Zus Coffee naik lima kali ganda kepada RM52.2 juta pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya (2021: RM10.4 juta). Namun, langkah berani Zus Coffee mengembangkan perniagaan mereka nampaknya membuahkan hasil walau diuji dengan pandemik COVID-19.
Jenama kopi yang cukup popular dengan minuman ‘signature’ Buttercream Latte ini berjaya meraih hasil sebanyak RM86.92 juta pada tahun lepas, iaitu peningkatan lebih enam kali ganda berbanding RM15.68 juta yang dicatatkan pada tahun 2021. Keuntungan bersih turut melonjak 28 kali ganda dari RM133,690 (2021) kepada RM3.84 juta (2022).
Prestasi kewangan ini amat baik memandangkan Zus Coffe baru sahaja memasuki ulang tahun yang keempat. Syarikat lazimnya akan mengalami kerugian pada fasa perkembangan perniagaan dek kerana kos tinggi menerusi aktiviti pemasaran serta terpaksa berbelanja besar bagi tujuan pembukaan outlet baru.
Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan Zus Coffee ialah digitalisasi perniagaan mereka secara besar-besaran menerusi aplikasi telefon pintar yang membolehkan para pelanggan membuat pembelian secara terus. Aplikasi tersebut turut menjadi medan utama bagi Zus Coffee menarik lebih ramai pembeli, khususnya golongan muda, menerusi pemberian diskaun dan ganjaran seperti kempen ‘beli satu percuma satu’ dan sebagainya.
Zus Coffee juga bijak mengeksploitasi pasaran minuman kopi berharga pertengahan (mid-range price) dengan menawarkan harga yang lebih mampu milik jika dibandingkan dengan pesaing-pesaingnya seperti Starbucks.
Dalam masa yang sama, Zus Coffee masih mampu mengekalkan imej prestij dan nilai estetika menerusi reka bentuk kedai yang minimalis serta pilihan logo dan warna biru yang unik. Memetik laman sesawangnya, Zus Coffee dilaporkan telah berjaya menjual hampir 8.8 juta cawan kopi sepanjang hampir empat tahun penubuhannya.

Selain Zus Coffee, antara jenama tempatan yang semakin popular pada ketika ini ialah Gigi Coffee, yang kini telah memiliki 107 outlet di kesemua negeri di Semenanjung Malaysia. Gigi Coffee juga bakal menembusi pasaran Borneo menerusi pembukaan outlet baharu di Kuching, Sarawak.
Sebagaimana Zus Coffee, Gigi Coffee juga turut menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Gigi Coffee berjaya meraih hasil sebanyak RM31.2 juta pada tahun lalu, naik lebih empat kali ganda berbanding RM7.7 juta yang dicatatkan pada tahun 2021. Keuntungan bersih turut naik hampir enam kali ganda kepada RM2.97 juta pada tahun 2022.
Potensi Besar Malaysia Dalam Industri Kopi Global
Malaysia terletak di laluan ‘coffee belt’ yang meliputi sejauh 5,100 kilometer, bersama-sama dengan hampir 69 buah negara lain merentasi lima benua. Laluan tersebut dinamakan sebagai coffee belt kerana sebahagian besar penghasilan biji kopi global dihasilkan di negara-negara yang berada di sepanjang laluan ini seperti Brazil, Vietnam, Ethiopia dan Mexico. Iklim tropikal dan kondisi tanah di negara-negara coffee belt ini sesuai untuk penanaman kopi berskala besar.
Menurut statistik Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, lima negara Asia Tenggara termasuk Vietnam, Indonesia, Laos Thailand dan Filipina merupakan antara 30 negara pengeluar kopi terbesar dunia. Namun begitu, Malaysia hanya menduduki tangga ke-47 dalam senarai pengeluar kopi terbesar dunia, meskipun terletak di laluan coffee belt dan mempunyai ramai penggemar kopi dalam negara.

Malaysia menghasilkan sebanyak 4,150 tan metrik kopi, atau mewakili kira-kira hanya 0.04% daripada penghasilan biji kopi global pada tahun 2021. Terdapat jurang yang besar antara penghasilan dan penggunaan kopi di Malaysia. Akibatnya, negara terpaksa bergantung besar kepada biji kopi import, terutamanya dari Indonesia, Vietnam, Colombia dan Brazil bagi memenuhi jurang tersebut.
Antara punca penghasilan biji kopi di Malaysia tidak kompetitif ialah disebabkan oleh harga komoditi yang tidak menentu, penuaian dan pemprosesan yang rumit serta saingan dengan tanaman lain yang lebih kompetitif (Nor & Wahab, 2019). Kesannya dapat dilihat pada kawasan penanaman yang mengalami pengurangan hampir 40%, daripada 3,538 hektar kepada 2,114 hektar antara tahun 2008 dan 2019. Pengeluaran turut merosot hampir separuh dalam tempoh empat tahun, iaitu daripada 8,109.2 tan metrik pada tahun 2017 kepada hanya 4,150.5 tan metrik pada tahun 2021.
Menurut Statistik Pertanian 2022 yang diterbitkan Jabatan Pertanian, tanaman kopi di Malaysia hanya diusahakan oleh pekebun kecil sahaja, berbeza berbanding tanaman teh yang majoritinya diusahakan oleh estet secara komersial dan berskala besar.
Hampir 90% kopi yang ditanam di Malaysia merupakan jenis Liberica. Meskipun harga kopi Liberica adalah sekitar RM6.00/kg dan boleh mencecah sehingga RM19.15/kg di pasaran tempatan, tidak ramai petani tempatan yang berminat mengusahakan tanaman ini. Harga biji kopi Liberica adalah 53% lebih tinggi berbanding Robusta yang mempunyai julat harga antara RM2.35/kg hingga RM12.50/kg. Perbezaan harga ini mempunyai peluang besar untuk dimanfaatkan oleh para petani di negara ini (Nik Omar et al., 2022).

Dari sudut produktiviti, industri penanaman kopi di Malaysia mempunyai tahap tuaian hasil (yield) yang cukup baik, malah ‘saing-saing’ dengan Vietnam yang merupakan negara pengeluar kopi kedua terbesar dunia. Tuaian hasil Malaysia pada tahun 2021 ialah sebanyak 2,769.3 kg/hektar, iaitu yang ketiga tertinggi di dunia di belakang China (3,254.3 kg/hektar) dan Vietnam (2,824.6 kg/hektar), menurut statistik FAO PBB. Namun disebabkan oleh kawasan penanaman kopi yang semakin berkurang dari tahun ke tahun, jumlah hasil pengeluaran turut menjadi sedikit.
Industri penanaman kopi di Malaysia mempunyai potensi yang wajar diberi sokongan dan perhatian, terutamanya memandangkan permintaan terhadap minuman kopi yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat sejak akhir ini.
Analisis Revealed Comparative Advantage (RCA) yang dijalankan sekumpulan penyelidik MARDI pada tahun 2022 mendapati Malaysia sebenarnya mempunyai prospek besar dalam mengembangkan industri penanaman biji kopi. Malah, kajian bertajuk “Industri Kopi di Malaysia: Kaji Selidik Umum dan Potensi” ini turut menyebut bahawa Malaysia mampu bersaing dengan negara-negara serantau seperti Filipina dan Thailand, terutamanya bagi ekstrak kopi dan produk panggang.
Penyelidikan dan inovasi (R&D) yang efisien diperlukan bagi terus menyokong aktiviti penanaman kopi di Malaysia supaya kekal kompetitif dengan negara-negara serantau. Dalam masa yang sama, ekosistem perniagaan harus lebih terbuka bagi merancakkan lagi industri kopi dan memudahkan aktiviti perniagaan untuk berjalan, baik untuk syarikat-syarikat besar mahupun yang kecil dan sederhana.
Antaranya, termasuk memudahkan akses kepada pembiayaan perniagaan serta sokongan dari sudut latihan dan bimbingan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Hal ini kerana meskipun kemasukan jenama-jenama besar dari luar negara ini mencerminkan ekosistem perniagaan yang lebih terbuka, sokongan tetap perlu diberikan kepada usahawan-usahawan tempatan supaya dapat kekal berdaya saing dan berpeluang membawa jenama kopi Malaysia ke persada dunia.
Kesemuanya ini akan memberikan impak yang positif kepada negara, termasuklah meningkatkan hasil negara menerusi kutipan cukai perniagaan serta mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat.